Ketegangan Agama : Nik Aziz Persalahkan UMNO

Khamis, 28 Januari 2010
KOTA BHARU, 28 Jan: Umno perlu bertanggungjawab terhadap ketegangan yang berlaku di negara ini termasuk insiden kepala babi yang dilontarkan di dua buah masjid di Petaling Jaya semalam.

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata perkara buruk seumpama itu berlaku akibat Umno telah menghilangkan rasa hormat masyarakat kepada agama.

Akibatnya, berlakulah perkara negatif seperti merosakkan rumah ibadat agama lain dan melemparkan kepala babi di masjid tempat orang muslim beribadat.





(GAMBAR: Nik Aziz makan tengahari bersama paderi Kristian di sebuah hotel hari ini. Turut serta 200 pemimpin lima agama utama di Malaysia)

“Astaghfirullahalazaim…saya mendoakan semoga Kelantan terselamat dari gejala itu termasuk Malaysia juga.

“Kalau kita tidak suka pada ajaran agama lain, kita tidak boleh menghianati, kalau buat jahat kita kena dakwah dia," katanya.

Sikap Umno yang menolak dasar Islam dalam perjuangan mereka juga jelasnya telah menimbulkan salah faham khususnya golongan muda yang hanya memahami Islam seperti rukun Islam solat dan puasa sahaja.

Sedangkan Islam lebih luas dari kefahaman itu.

“Perkara sebegini akan ditanggung oleh Umno dunia dan akhirat kerana memandang remeh soal Islam, sepatutnya sejak awal lagi mereka membuang perjuangan kebangsaan,” ujarnya.




Beliau berkata demikian selepas meraikan 200 ketua-ketua pelbagai agama di Hotel New Pasific, di sini tengah hari tadi.

“Apa yang dilakukan sekejap tadi (majlis mahabbah) sebenarnya untuk meneruskan kefahaman, persaudaraan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian sebahagian dari cabang kerja-kerja Islam,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana telah berjaya menghimpun semua ketua-ketua agama di Kelantan dan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau menggunakan kesempatan tersebut bertemu ketua-ketua agama lain dengan mengunjungi dari meja ke meja diiringi anggota-anggota exco kerajaan negeri yang lain.




Dalam pada itu, Pengarah Program, Datuk Mohd Amar Abdullah dalam ucapannya sebelum itu berkata, program mahabbah yang dianjurkan ini sebagai menzahirkan hidup bermasyarakat rakyat pelbagai anutan agama dan kaum.

“Ianya symbol keamanan masyarakat di negeri ini dan mudahan akan menjadi ikutan di negeri-negeri lain,”ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Majlis Perunding Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh, Kalanalagan dan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Dr Herman Sastri.

Di Kelantan sahaja lebih 30 ketua-ketua agama dari rumah ibadat Budha, Hindu dan Sikh hadir pada majlis yang penuh bersejarah itu.

Tiap-Tiap Tahun Baru..Niat?

Jumaat, 1 Januari 2010
Dari Amir Al-mu’minin Abu Hafs ‘Umar Ibn Khattab radiyallahu ‘anh, katanya : Aku dengar Rasulullah sallahu ‘alayhi wasallam bersabda : Hanya segala ‘amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.

Diriwayatkan hadith ini oleh dua orang Imam hadith iaitu Abu ‘Abdullah Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn Al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari dan Abu al-Hussain Muslim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi dalam kitab sahih keduanya, iaitu kitab yang amat sahih di antara segala kitab yang pernah disusunkan.
Alhamdulillahi rabbal’alamin

Bersyukur kita ke hadrat Allah subhanawata’ala dengan nikmat kurniaan-Nya masih lagi kita diberikan kesempatan untuk menghirup nafas baru..nafas tahun baru yang kini sudah memasuki tahun 2010..

Masih juga tidak dilupakan dengan tahun baru Islam yang masih segar juga walupun kini sudahppun memasuki tanggal 15 Muharam 1431 Hijriah.

Apa-apapun jua 2009 sudah pun meninggalkan kita kini kita berteman dengan hari-hari yang baru,bulan-bulan segar,waktu-waktu yang muda dek tahun yang baru..2010. Kalau sekarang ini sudah tentu di pasar-pasar, Mega Mall, Parkson dan banyak lagi kedai-kedai akan dikerumuni oleh insan-insan yang merebut nikmat ‘gelora hujung tahun’. Manakan tidaknya, jualan murah untuk menghabiskan jualan stok di sana sini. Tak kurang juga ada yang berpusu-pusu untuk membeli barangan sekolah..baju baru,alat tulis,kasut,stoking dan macam-macam lagi untuk anak-anak mereka menghadapi zaman persekolahan yang dianggap dunia baru bagi mereka di tahun baru.

Selain itu ada juga yang berazam untuk menjadi orang yang lebih berjaya dari tahun sebelumnya,mahu lebih kaya dari tahun sebelumnya dan segala macam mahu yang dimahunya..

Tetapi sahabat-sahabiah yang dirahmati oleh Allah subhanawata’ala, cuba kita imbas muka dan renungkan sedalam-dalamnya rakaman-rakaman aksi kita sepanjang tahun 2009.

Apa kata hati?
Apa bicara nafsu?
Apa kotak fikir rasa?
Di ruang legar atau sempadan nyata?

Kita sebagai seorang pendakwah di muka bumi Allah..pernahkah kita bertanya…

Apakah kita pernah terfikir apa yang kita azam dan apa yang kita niatkan semuanya semata-mata untuk keredhaan Allah swt?

Apakah amalan kita sepanjang tahun 2009 yang baru berlalu adalah amalan yang benar-benar berkualiti nilainya?

Oleh itu seharusnya pentingnya kita menjaga niat kita kerana niat yang terselit di hati ialah punca yang menentukan akibat amal. Baik amal itu kalau niatnya baik, jahat amal itu kalau niatnya jahat sekalipun amal itu pada zahirnya baik. Malah niat itu pula adakalanya dapat mengubah sesuatu perkara dan adat,menjadikan ia suatu jenis ketaatan dan jalan ke arah perdampingan kepada Allah.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud :

“Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kerana-Nya, dengan menjauhi kesesatan,dan (supaya) mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat,kerana demikian itulah agama yang lurus.”

Jesteru itu,marilah kita sama-sama berazam dan niat dengan seikhlas-ikhlasnya agar apa yang kita buat akan menjanjikan keredhaan Allah swt. Bersama-samalah kita berusaha supaya keikhlasan akan hadir pada diri kita dan sesungguhnya keikhlasan tidak akan hadir tanpa kesungguhan yang tinggi dan istiqamah dalam melakukan sesuatu gerak kerja.

Semoga di tahun baru ini harapnya azam dan niat kita akan terus berusaha untuk menaikkan syiar Islam khususnya di muka bumi Sarawak ini dan boleh memberikan sedikit sebanyak angin perubahan minda dan kata masyarakat .

“Bergeraklah ke gerbang jasa,kalah menang bukan alasannya”


Sedikit rujukan melalui Hadith 40 karya Mustafa 'Abdul Rahman-Hadith pertama

Mohd Hackal Ibn Abu Asr
1/1/2009
11.57
Institut Tahfiz Bintulu