Golongan`Berdarjat` Bagai Duri Dalam Daging Bagi Ummah

Selasa, 30 Mac 2010
`Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (agama) Allah, dan dia mengerjakan amal yang baik, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk golongan orang-orang Islam (yang menyerah diri)" Al-Fusilat 33.

Nabi saw bersabda,`La thoo`ata lilmakhluqi fi maksiatil Khaliq` maksudnya; Tidak ada taat atau ketundukan serta kepatuhan di antara sesama makhluk dalam perkara-perkara yang membawa maksiat kepada Khaliq (Pencipta).

Selawat dan salam penuh penghormatan kepada Junjungan Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat sekelian. Seterusnya kepada alim-ulama` serta mereka yang terus berani memperjuangkan kebenaran walau di mana sahaja, mendepani para tirani.

Ummat Islam di Malaysia seolah-olah terbelenggu oleh sumpah Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dalam perjanjian keramat Sejarah Melayu Klasik supaya tidak menderhaka, mencampuri tugas dan bidang kuasa masing-masing, antara raja dan rakyat jelata. Doktin klasik itu terus berperanan sebagai `makhluk halus` dalam kehidupan di alam melayu bagi menjamin kekuasaan institusi-institusi yang dipertahankan itu. Apa yang berlaku sekarang di Kelantan atau negeri-negeri lain sebelum ini adalah contoh yang jelas bagaimana issu ini tidak pernah mahu dibicarakan di pentas terbuka alam ummah oleh PAS sendiri, berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Puak-puak yang berserban dan berjubah pun pada ketika-ketika tertentu seperti Demang Lebar Daun juga sanggup tunduk menyembah keturunan Sang Sapurba demi daulat `agama baru` mereka politik demokrasi (bertopeng agama). Mereka akan menyanjung dan memberi apa sahaja permintaan golongan itu, permit balak ka atau projek-projek kelas `A` ka, dengan bijak berselindung, menggunakan proksi-proksi kerabat.

Yang pro UMNO (sekular) pula memang telah lama kita maklum dari dulu lagi mahir melayani kemahuan dan kehendak golongan berdarjat apabila mengambil alih tugas `orang putih`. Ummah.. rakyat bawahan tetap hanya mendapat `kuah` sahaja dalam `kek ekonomi` yang puak sekular ini agihkan. Yang bertopengkan agama pun sampai dah berpuluh tahun memerintah sanggup memejam mata dan memekakkan telinga memfaraid harta ummah, baru sekaranglah nampak macam tak tahan nak melayan kemahuan `Sang Sapurba Tua` tetapi begitu intim pula dengan `Sang Sapurba Mahkota`. Tetapi kalau golongan berdarjat itu menguntungkan puaknya seperti di Kedah, tak jadi masalah lagi nampaknya. Hanya.., kalau dah sampai macam di Perak tuu, baru la pakat riuh…kata macam-macam, sampai ada yang angkat kaki tunjuk ke istana.

Beginilah lagak dan kelakuan orang yang meletakkan politik puaknya mengatasi agama Islam itu sendiri. Sedangkan kalau benar-benar memperjuangkan Islam, raja ka, rakyat jelata ka, siapa ka, kita kena ajak mereka supaya ikut dan taat akan perintah Allah swt serta contohi rasulNya Muhammad saw dalam semua perkara. Jangan berbelit-belit bersandewara politik, agama Islam mengajarkan supaya mengutamakan ummah.. tak kan para alim ulama` tak tahu kut! Tetapi kalau ikut agama politik, harus bagi mereka buat-buat tak tahu pun.. malah siap ada nas lagi… mereka akan bacakannya kepada ummah. Menurut rasa hati.., saya tak mau dah menulis hal-hal yang sensitif ini…buang masa saja, tetapi cuma nak ceduk balik, buletin 46 dan 47 dulu.Dengan sedikit tambahan.., ummah tataplah sendiri.

Sebelum penjajahan berlaku ke atas ummat Islam di Kepulauan Melayu, ummat hanya mengenali sistem pemerintahan Islam yang diterajui oleh raja atau sultan yang menjalankan undang-undang syariat Allah swt dalam semua bidang kehidupan. Pemimpin, raja atau sultan ketika itu menjadi ketua bagi ummat Islam dalam semua hal. Semasa era penjajah, raja atau sultan telah dijadikan simbol @ boneka sahaja sebagai ketua agama bagi mewakili ummat keseluruhan. Manakala penjajah sendiri melalui residennya menguasai, mentadbir hal ehwal negara dan rakyat termasuk ummat Islam dengan undang-undang thoghut Inggeris.

Pada ketika ini kuasa @ hak ummah telah mulai diceroboh oleh musuh Islam yang bernama penjajah laknatullah, bila mana semua urusan yang berkaitan dengan ummat Islam telah mereka perkecilkan skopnya dan hanya berunding dengan pihak raja atau wakil sultan sahaja. Sedangkan ummah yang kuat semangat jihadnya tetap masih menentang dan menyusun taktik-taktik penentangan. Ini terbukti dengan kes Sheikh Abdul Rahman Limbung dan ulama`-ulama` yang dikenakan tindakan buang negeri ke Mekah. Begitu juga dengan bukti-bukti sejarah tempatan serangan-serangan oleh ummat Islam ke atas kapal-kapal dan kepentingan kompeni Inggeris di Pulau Pinang yang tidak dicatitkan oleh sejarah moden.

Pada ketika ini ummah benar-benar diuji, apabila ketua atau pembesar yang selama ini diharapkan memimpin ummah telah terkulai layu diulit kesenangan dan kemewahan yang diberikan penjajah. Para ulama` pun mula terbahagi dua yang terpengaruh dengan kemewahan sultan mengeratkan hubungan dengan istana dan secara tak langsungnya bernaung di bawah penjajah dengan segala sistemnya. Ulama`-ulama` yang memperjuangkan kebenaran tetap ada melaksanakan kewajipan mereka kepada Allah swt dan ummat Islam dengan menjadi tulang belakang institusi pendidikan pondok. Sebaliknya ketika itu, bukan sahaja penjajah Inggeris yang memusuhi mereka tetapi pihak sultan dan ulama`-ulama` pengampu pula yang berperanan lebih dari penjajah. Tidak hairan jika banyak kitab-kitab yang telah diharamkan oleh negeri-negeri tertentu atas kehendak sultan dan pengarangnya dihalau dari negeri berkenaan contoh Tuan Hussain Kedah dan Syeikh Daud al-Fatani.

Jangkamasa berlalu…dengan pelbagai peristiwa berlaku di hadapan ummat Islam, sepatutnya ummah mulai mengerti siapa sebenarnya yang bersama-sama ummah mempertahankan kehidupan beragama dan memperjuangkan Islam serta kepentingan ummat di kampung-kampung dan di desa-desa. Atau siapa dan golongan mana yang masih berlakon serta menjadi regu sandewara mengelabui ummat Islam bernaung di bawah istana dan sistem penjajah, hidup bergaya malah selesa menerima segala… termasuk pendidikan penjajah. Buktinya sekolah-sekolah `missionary` dahulu, menunjukkan pelajar-pelajar perintisnya adalah terdiri dari anak-anak golongan beraja dan bangsawan. Tidak ketinggalan ada juga ulama`-ulama` yang terpengaruh dengan kecenderungan semasa melayan tuntutan pendidikan moden terhadap anak-anak mereka sendiri, supaya besar nanti senang dapat kerja dengan `orang putih`.

Oleh itu salah satu sebab penting perjuangan awal ummat Islam dulu menuntut kemerdekaan, berusaha menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Islam bagi Tanah Melayu (MATA) yang benar-benar bebas dari telunjuk penjajah. Ummat Islam mahu memilih sendiri ketua mereka yang akan menjaga kebajikan semua ummah. Inilah suasana yang terdapat dibelakang tertubuhnya Hizbul Muslimin dan Persatuan Ulama` dalam UMNO yang menjadi PAS. Sebab itu bagi saya jika ummat Islam sekarang masih lagi tidak mampu untuk melihat permasalahan ini atau membiarkan ummah diperbodohkan oleh golongan `berdarjat` ini kononnya merekalah ketua bagi urusan Agama Islam adalah sesuatu yang terlalu malang. Selama beratus tahun, mereka ini tidak pun pernah hidup bersama-sama kesusahan ummah. Seruan atau kalimah `ummah` bagi mereka ialah ketika memberi ucapan perasmian atau perayaan hari-hari kebesaran ummat Islam dan khutbah-khutbah yang rasmi sahaja.

Jika kewujudan golongan ini di dalam dunia ummat Islam seperti `pengemis atau peminta sedekah` sahaja tidak menjadi masalah besar kepada ummah bagi saya, kerana sesiapa yang bersimpati boleh sahaja menghulurkan pemberiannya. Tetapi golongan ini bukan seperti itu, mereka adalah lintah darat yang menghisap darah ummah, malah lebih teruk lagi, merekalah yang hidup bersenang-lenang, mentekedarah hasil mahsul ummah yang sepatutnya dimiliki oleh semua ummat Islam selama ratusan tahun hingga sekarang. Tak percaya cuba tanya MB-MB termasuk Kelantan dan Kedah kerana mereka yang tahu perbendaharaan negeri diurus bagaimana.!? Nabi saw pernah mengingatkan tanda-tanda akhir zaman seorang ibu akan melahirkan tuannya… Tidakkah kejahilan dan kealpaan ummah selama ini yang melahirkan golongan berdarjat yang membuli kehidupan ummah itu sendiri?

Malaysia Antara 10 Tertinggi Ambil Arak Di Dunia

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun mempunyai bilangan rakyat hampir 26 juta sahaja, namun Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud .

Mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat lewat petang ini, beliau berkata, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

"Penjualan beer berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun," dedahnya lagi sewaktu membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun semakin meningkat iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

Antara faktor peningkatan itu, jelasnya kerana mungkin arak jenis beer sangat mudah diperolehi di kedai-kedai.

Lebih membimbangkan apabila pendedahan arak dibuat di peringkat umur yang lebih awal.

Beliau sewaktu mengemukakan satu kajian, 19 peratus di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku pernah meminum arak, manakala 1 peratus mengaku mengambilnya secara berterusan.

"Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital KL pada tahun 1993, 48 peratus daripada yang ditanya mengaku minum arak.

"Satu pertiga ketagih arak, 61 peratus adalah Cina, 60 peratus India dan 30 peratus Melayu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu ketagihan arak dan sering mengatakan ianya isu kaum India.

Arak juga jelasnya, dibuktikan bukan sahaja membahayakan kesihatan dan menyebabkan gejala sosial, namun kos rawatan penyakit disebabkan arak juga lebih tinggi berbanding pendapatan penjualannya.

"Negara kita dalam fasa lima mengaku bahawa Islama adalah agama Persekutuan, apakah menyebabkan dadah kita panggil najis dan sekiranya didapati mengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati.

"Tapi minuman keras, nikotin pada rokok, diberi layanan yang lain dan boleh didapati dengan berleluasa. Atas alasan apakah minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam akta dadah merbahaya sedangkan kesannya atas kehidupan rakyat begitu meluas sekali," soalnya lagi.

Trend di Asia, katanya menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun berbanding trend di negara Eropah yang semakin menunjukkan penurunan akibat kempen mereka yang agresif.

Peningkatan di negara ini juga, jelasnya akibat undang-undang terlalu longgar seperti Akta Aksais Seksyen 32 (1)(a) dan (b) mengecualikan penjualan todi dan beer dalam tin dan botol.

"Apabila saya menang di Kota Raja, saya didatangi sekumpulan India dari golongan pertengahan dan rendah.

"Mereka meminta tolong saya supaya memastikan arak dan todi tidak dijual secara mudah di kedai-kedai runcit," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, arak dan todi di kedai-kedai runcit pada waktu ini boleh diperolehi dalam plastik dengan harga RM2 atau RM3.

Sumber : Harakah Daily

Mudahnya Melafazkan Kalimah… Kenapa Guan Eng Susah ?

Rabu, 24 Mac 2010
Ucapkanlah 2 kalimah syahadah! Maksudnya; “Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah, dan aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”

Selawat dan salam kepadamu ya habibi, ya musthofa! Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat radhiyallahuanhum ajmaein serta mereka yang mengikuti akan mereka itu sampailah ke hari qiamat. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah sementara… ianya akan lenyap jua tidak bermakna, kecuali kamu beriman kepada Allah swt.


Bertemu kembali di dalam rangka bicara kita sesama ummat, tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga hubungan sesama muslim, melakukan penambahbaikan (islah) untuk kepentingan ummat dan berpesan-pesan di atas kebenaran seterusnya berpesan-pesan supaya menetapi kesabaran. Kalimah Thoyyibah, adalah rangkaian kata-kata yang perlu dilafazkan oleh setiap individu sebagai bukti bahawa dia telah sanggup menjadi seorang Muslim atau orang Islam. Itulah `bar code` bagi setiap ahli ummah, sebagai bukti pengenalan yang akan dikenali serta diguna pakai dalam `mesin pengimbas` identiti ummah untuk seluruh ummat Islam. Secara zahirnya tidaklah susah untuk menyebut atau belajar menyebut rangkaian kalimah itu. Lidah tidak bertulang! burung tiung pun jika diajarkan menyebutnya selalu akan dapat menyebutnya dengan baik insyaAllah. `Tape recorder` atau alat rakaman yang canggih, lagi mudah dan pantas melakukannya.

Makhluk atau benda yang tak ditaklifkan kepada mereka seruan agama ini kita letak sebelah dahulu. Cuma sengaja ditimbulkan tadi sekadar nak menampakkan dengan jelas bahawa lafaz kalimah thoyyibah itu akan bererti atau dikira sebagai bukti, apabila dilafazkan dalam keadaan sedar oleh mereka yang beraqal yang hidup dengan jasad dan rohnya sekali.(Samada jin atau manusia) Jika kita sedar, beraqal waras, malah kita pula hidup dengan jasad serta roh, bolehkah kita mempermain-mainkan ikrar keimanan kepada Allah swt? Tentu tidak sama sekali saudaraku ! Tetapi mengapa realitinya di sekeliling kita hari ini tidak begitu, kalimah thoyyibah atau ikrar tersebut seolah-olah tidak bernilai langsung kepada individu-individu ummat kini. Mungkin mereka ini salah faham atau memang tak faham langsung akan makna kalimah keramat itu.

Mari kita cuba menyoroti akan maksud kalimah tersebut secara umumnya, mungkin bermanfaat untuk kebaikan kita bersama. Kalimah ini sebenarnya menjadi penting kerana ia telah mengangkat atau membezakan seseorang itu menjadi manusia sebenarnya yang telah dijadikan oleh Allah swt dengan segala sifat-sifat kemanusiaannya. Sebaliknya tanpa ucapan kalimah ini akan menjatuhkan atau menjadikan seseorang itu serendah-rendah malah sehina-hina makhluk yang dijadikan oleh Allah swt.

Secara tabienya semua manusia samada beriman atau tidak akan mengakui bahawa makan dan minum penting untuk kelangsungan hidup kita di atas mukabumi ini. Tetapi ada kalanya kita makan tak minum, atau sebaliknya. Ada ketikanya kita tidak makan dan tidak minum langsung seperti berpuasa atau terputus bekalan, tetapi kita masih mampu untuk meneruskan hidup ini dengan izin Allah. Pengambilan terhadap makan dan minum ini hanya ketika-ketika yang diperlukan sahaja manusia itu akan mengambilnya samada dia beriman kepada Allah atau tidak. Satu perkara penting lagi yang semua manusia samada beriman atau tidak, mesti mengambilnya sejak saat kelahirannya di bumi ini sampailah saat terakhir kehidupannya, tidak berhenti-henti terus menerus semasa jaga maupun ketika tidur lena iaitu pernafasan oksigen. Dengan sendirinya manusia itu akan membawa bekalan oksigen ini ke mana-mana yang tidak terdapat bekalan oksigen ketika mereka berhajat untuk ke tempat tersebut, seperti dasar lautan atau ruang angkasa. Ya ! semua manusia tahu apa akibatnya jika kita ketiadaan bekalan oksigen tersebut, kita akan mati dengan izin Allah swt.

Sedangkan satu perkara yang terlebih penting dari dua perkara di atas yang perlu ummat manusia seluruhnya tahu (termasuk Lim Guan Eng dan sekutunya) ialah lafaz atau pengakuan akan kalimah thoyyibah yang disebut pada awal perbicaraan kita kali ini. Ia amat penting melebihi keperluan kita kepada perkara-perkara asas kehidupan kita. Ia satu lafaz yang mudah disebut tetapi membawa maksud dan pengertian yang cukup penting bagi seluruh kehidupan serta kejadian diri kita sendiri.

Apabila seseorang itu telah sedar malah redha mengakui akan keimanannya kepada Allah dan RasulNya dengan melafazkan kalimah tersebut maka dia telah mengakui akan hakikat kewujudan atau kejadian dirinya sendiri sebagai makhluk Allah yang dilahirkan untuk hidup di bumi sementara sampai waktu yang diizinkan Allah kepadanya. Dengan pengakuan tersebut dia sedar bahawa dirinya cuma sebagai hamba kepada Pencipta. Sebagai hamba dia akan taat dan menuruti segala ajaran Tuhannya yang disampaikan melalui RasulNya iaitu Muhammad saw. Sebab itu kalimah ini akan membezakan atau menjadi `bar code` kepada ummat Islam samada dia menjadi hamba Allah yang beriman atau menjadi `hamba` juga, tetapi tidak beriman.

Mereka yang jahil ini sebenarnya berusaha menyembunyikan atau memadamkan `bar code` yang ada pada semua makhluk ciptaan Allah swt. Mereka terlindung atau tidak mendapat hidayah ataupun disesatkan oleh iblis laknatullah untuk melihat dan seterusnya menerima diri mereka sendiri sebagai hamba yang dijadikan Allah swt. Mereka sombong malah berlagak angkuh bahawa semua ini terjadi dengan sendirinya tiada yang Maha Pencipta. Inilah sebenarnya makhluk yang sehina-hinanya kerana mereka manusia yang dilahirkan sebagai manusia tetapi menafi atau membunuh kemanusiaan yang ada dalam dirinya sendiri.

Saudaraku yang muslim!.. juga manusia seluruhnya. Ada segolongan lagi yang lebih hina dari mereka yang tak beriman tadi, iaitu mereka yang berpura-pura beriman dengan melafazkannya dengan begitu baik sekali bersama-sama orang yang beriman tetapi hanya Allah swt sahaja yang mengetahui bahawa mereka tidak mahu pun hidup di atas mukabumi ini sebagai hamba yang taat, ikhlas menurut cara hidup Islam yang sebenar. Mereka lebih bijak mereka-reka cipta alasan atau hujah-hujah yang mengelirukan kadang-kadang nampaknya begitu `syar`ie ` sekali bagi mengelabui ummat yang lemah aqalnya. Tetapi insyaAllah kita yakin dengan janji Allah bahawa segala lakonan dan tipu daya mereka semuanya itu akan dapat dikenali oleh orang yang benar-benar beriman kerana maksud al-quran ada menyebutkan:-

`Sesungguhnya penolong kamu hanya Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman` dan `Sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman sebagai penolong, merekalah yang akan mendapat kemenangan`- al-maidah 55-56.

Biarpun manusia merupakan kejadian makhluk yang paling sempurna ciptaan Allah, tetapi manusialah yang paling terkedepan dalam kehilangan sifat-sifat manusiawinya. Sedangkan makhluk-makhluk yang lain masih kekal dengan sifat-sifat tabienya masing-masing dalam meneruskan kehidupan makhluk tersebut mengikut ketetapan Rabbul Jalil. Logiknya lembu tidak pernah cuba untuk menjadi singa, supaya nampak lebih gagah, malah ia tetap dengan tabienya menjadi lembu memakan rumput, mengeluarkan susu dan sebagainya. Singa pun tak pernah menabalkan dirinya sebagai raja, bebas berbuat dan membaham sesiapa sahaja, hanya sekadar untuk keperluan dan kelangsungan kehidupan spesisnya sahaja, tidak lebih dari itu.

Tetapi manusia apabila tidak beriman sanggup melakukan apa sahaja, menyondol dan membaham apa jua yang boleh menguntungkannya, mencampur adukkan yang haq dan batil, bermuka-muka dengan sesiapa sahaja kerana tiada dosa dan pahala bagi mereka. Sebab itu saya begitu yakin dan percaya dengan ketetapan ajaran Islam, keyakinan, penghayatan dan perlaksanaan akan tuntutan kalimah thoyyibbah ini sebenarnya menjadi pengukur untuk mengangkat atau membezakan seseorang itu menjadi manusia sebenarnya atau sebaliknya. Tanpa ucapan kalimah ini akan menjatuhkan atau menjadikan seseorang itu serendah-rendah malah sehina-hina makhluk yang dijadikan oleh Allah swt. Tidak hairanlah Nabi Nuh as boleh membenarkan anjing dan babi menaiki bahteranya tetapi tidak, manusia yang tidak mahu beriman.

Sekian, `Tepuk dada.. tanyalah hati nurani sendiri!`

Ummah Tegakkan Kebenaran, Kepalsuan Mula Tersingkap

Isnin, 22 Mac 2010
Firman Allah bermaksud;`Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan`al Maedah 8.
Selawat dan salam kepada Rasul saw, ahli keluarga dan semua sahabat baginda yang dimuliakan, radhiallahuanhum ajmain.

Bertemu kembali saudara ummah semua untuk ke sekian kali lagi, semoga kita di dalam rahmat Allah swt jua. Ketika menyingkap dan menyelak-nyelak akan lembaran buletin lama-lama, saya fikir tidak salah untuk saya sunting dan ambil kembali sebahagiannya bagi memenuhi buletin kali ini. Kebenaran itu tidak bermakna.. jika ianya tersimpan atau tidak berguna. Samalah seperti mushaf-mushaf atau ayat-ayat yang tersusun rapi dengan segala keindahan seni cetakan khatnya untuk menghiasi sudut-sudut pandangan manusia yang kelam. Kebenaran itu perlu ditegakkan, dalam erti kata lain, ianya perlu dihidupkan dalam kehidupan kita sendiri.

Allah SWT berfirman di akhir Surah Al-`Asr yang maksudnya; `` berpesan-pesanlah di atas kebenaran dan berpesan-pesanlah di atas kesabaran``

Semuanya terletak di atas kemahuan atau kesedaran kita sendiri sebagai individu-individu ummah untuk menerima dan menghidupkan kebenaran. Ingatlah saudaraku bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang sedar dan berusaha untuk mengubahnya.

Kesedaran atau perubahan kepada kebenaran yang dimaksudkan di sini, bukanlah kesedaran atau perubahan yang mungkin difahami oleh sebahagian dari kalangan kita sebelum ini, tapi ianya ialah kesedaran yang betul-betul boleh menimbulkan keyakinan di hati kita untuk menerima dan menghidupkan kebenaran dalam kehidupan sebenar kita. Saudaraku, Islam itu sendiri yang diturunkan oleh Allah sebagai ad-Deen sebenarnya tidak bermakna dan bererti langsung jika sekiranya kita simpan dalam khazanah-khazanah kitab ilmu, dewan-dewan kuliah, seminar-seminar peradaban, perayaan-perayaan atau alunan-alunan merdu para qari serta nyayian nasyid-nasyid sahaja. Islam itu sesuatu yang tidak dapat dilihat keindahan dan keasliannya, malah kewujudannya jika Islam itu tidak mengambil ruang atau medium di dunia realiti ini. Ruang atau medium bagi `kewujudan dan kehidupan` Islam itu adalah dalam tubuh orang-orang mukmin yang bertakwa yang gigih membina hadharah Islamiyyah. Apabila individu-individu mukmin bertakwa ini hidup, berjalan, bermuamalah, berdakwah, berjihad dan sebagainya akan terlihatlah bersama-samanya `wajah-wajah` Islam yang sebenar itu, bukanlah wajah-wajah kelam, kepalsuan atau kepura-puraan.

Terus terang saya katakan bahawa ummat Islam muktakhir ini hilang kemuliaan/izzahnya dek kerana sebahagian besarnya telah hilang keyakinan untuk menghidupkan agamanya sendiri. Ya! benar, mereka telah lama tidak yakin dengan kehebatan ajaran Islam, cara hidup Islam, sistem pendidikan Islam, sistem ekonomi Islam, undang-undang dan segala peraturanya telah lama dikurung di kandang orang salah. Telah lama mereka berkiblatkan cara hidup tamaddun barat, iaitu hadharah kebendaan, populariti, kemegahan malah kesombongan, sedangkan semuanya itu tidak ada kena mengena pun dengan hadharah Islam, agama mereka sendiri. Nilai-nilai agama telah pun menjadi asing… atau untuk berpolitik sahaja.

1- Siapa yang tidak mahu menghidupkan kembali cara hidup sehariannya supaya sesuai dengan Islam? Tidakkah individu-individu ummat Islam itu sendiri?

2- Siapa yang masih tak kisah anak-anaknya dididik oleh sistem lain dari sistem Islam seperti di sekolah sekular? Tidakkah individu-individu ummat Islam itu sendiri?

3- Siapa yang masih seronok menonton rancangan-rancangan tv, sedangkan mereka tahu rancangan itu terr…lalu banyak maksiat dari manfaatnya? Tidakkah keluarga-keluarga ummat Islam?

4- Siapa yang masih tak kisah membeli rumah, kenderaan dan peralatan sebagainya dengan pinjaman riba? Tidakkah mereka itu ummat Islam termasuk anak-anak `tok guru`?

5- Mereka percayakah dengan sedikit solekan dan manipulasi sistem perbankkan itu halal jadinya?

6- Siapa yang berkepit-kepit dicelah jarinya dengan puntung-puntung rokok pelbagai jenama, yang pasti keuntungannya untuk membunuh ummat Islam sendiri?

7- Siapa yang tak kisah anak-anak gadisnya maupun lelaki keluar berpeleseran tidak menutup aurat, yang penting cukup bulan ada bahagian RM untuk ibubapanya?

8- Siapa yang menanamkan budaya, takut orang bukan Islam kata apa, bila kita ummat Islam nak berpakat dan bekerjasama demi kebaikan ummah?

9- Siapa yang merasa malu untuk bersama dan bekerjasama dengan ummat Islam tetapi begitu cepat untuk menunjuk simpati kepada bukan Islam?

10- Siapa yang lebih mudah malah selesa mengikut janji-janji manis munafiq-munafiq politik dari berpegang dengan janji-janji Allah?

11- Siapa yang begitu berani menghalalkan semua cara demi `agama` baru politik demo-kasi?
Tidakkah mereka yang mengguna `title`ulama`?

Sebenarnya banyak lagi aktiviti atau muamalah ummat yang menunjukkan bahawa Islam itu sebenarnya bukan sahaja dimusuhi oleh orang asing tetapi yang paling malang ialah apabila disisihkan oleh individu-individu ummatnya sendiri…….. Kenapa ? ?

Kerana generasi sebelum dari, sebelum ini atau sebelum itu lagi telah mula menganggap persoalan yang kita bincangkan ini tidak penting dan bukan perkara besar sangat yang perlu ummat jagai dan prihatin. Generasi tersebut dah mulai melonggarkan ikatan Islam mereka terhadap anak-anak mereka. Maka generasi anak-anak mereka pula akan mewarisi ikatan yang longgar tersebut dan akan melonggarkannya lagi, supaya sesuai pula dengan tarikan zaman mereka ketika itu. Ikatan yang semakin longgar dan semakin longgar inilah yang diwarisi oleh ummat Islam yang telah memungkinkan generasi-generasi seterusnya ada yang telah terburai terus ikatan mereka dari agamanya. (Nau`zubillah Minzalik)

Berlakulah seperti yang telah digambarkan oleh maksud Sabda Nabi SAW, bahawa Islam itu akan terungkai sedikit demi sedikit, shibran bi shibren dari ummatnya. Oleh itu saudaraku yang dikasihi kita menyedari bahawa semua itu tidak dapat kita kembalikan dengan usaha sekelip mata sahaja, setiap dari kita mestilah bangun dengan kekuatan sebenar kita iaitu kekuatan aqidah Islamiyyah untuk membina kembali Hadharah Islamiyyah yang dicitakan.

Biar hina, lemah atau sedhaif manapun permulaan kita, itu tidak menjadi masalah sebenarnya. Yang penting kita dah ada usaha untuk bangun kembali di atas nama Islam membebaskan ummat Islam yang tertindas, mustad`afin, marhaen, fuqara` wal masaakin. Kita tidak rela dan redha lagi segala kesusahan dan keperitan ummat selama ini hanya menjadi bahan momokan berita, bahan memanipulasi sentimen ummat, bahan untuk meraih keuntungan politik pariah, Ya! spesis politik pariah!

Kita dah jelek dengan tokoh @ pemimpin `penipu ummat` yang banyak bersandewara dan beretorika sedangkan merekalah pengembang dan pembiak budaya jahiliyyah, budaya fanatik, budaya pengampu, budaya kultus, budaya politik mengatasi agama, budaya pak turut, budaya ibu dan wanita larut dan budaya pemuda lembut.. pengecut ..auww ! Sekian, salam perjuangan kepada semua saudara ummah yang berani menegakkan kebenaran.

Kuantiti Vs Kualiti

Ahad, 7 Mac 2010
'Assalamualaikum.'

'Waalaikummussalam.'

'Apa khabar,mak.Sihat?'

'Alhamdulillah,macam biasala nak.Kerja dari pagi balik pulak petang.Kalau sakit pun kena kerja jugak.Nak cari duit untuk sara hidup ni.Payah kalau ingat nak rehat jer.'

'Bapak macam mana mak?Sihat jugak ke?'

'A'ah,lebih kurang jugak nak.Penyakit dia pun dh semakin stabil sekarang nie.Cuma perlu kena jaga pemakanan je lagi.Kalau makan ikut suka dia jer,menjadi balik la penyakit dia tu.'

'Is doakan semoga semua keluarga kat situ sihat ye.'

'InsyaAllah ye,nak.Ha..yang kamu tu,bila lagi nak bali ke kampung.Mak rindu sangat kat sini.Tengok muka kau tu pun jadilah.'

'Erm..makk!!!Tahun ni Is mungkin tak balik ke kampung.Banyak sangat urusan dan program jemaah yang hendak dibuat,mak.Minta maaf la mak.Majlis kenduri kahwin abang hari tu pun Is tak balik jugak.'

'Erm,takpelah,nak.Kalau tu yang kau dah cakap,takkan mak nak paksa balik pulak.Tapi kalau kau balik nanti,beritahu mak atau siapa-siapa yang ada kat kampung ni tau!!!'

'Erm,baiklah mak.InsyaAllah,Is akan beritahu nanti jika Is balik kampung.Mak,Is nak buat kerja lain lagi ni,nanti kalau ada masa lagi Is telefon yer.Assalamualaikum'

'Waalaikumussalam'

Perbualan telefon antara seorang anak dan ibu.

Jaraknya beratus batu.

Hanya suara sahaja dapat bertamu mendendang rindu dihati.

Pengajian di sini belum habis dan perlu dihabiskan pada tempat dan waktu.

Bukan itu sahaja gerakerja dan program jemaah yang semakin bertambah tidak memungkinkan saya untuk balik ke kampung walaupun cuti pertengahan semester akan bermula tidak lama lagi.Kalau balik pun mungkin sekejap.

Begitu juga dengan cuti semester akhir nanti,ana mungkin juga tidak akan balik ke kampung atas urusan jemaah yng perlu diselesaikan.

Terasa ada salah di hati hadir menerpa jiwa.

Betulkah apa yang saya buat ini?

Mak tak kecil hati ke kalau saya tak balik kampung ni?

Bila difikirkan semula..urusan jemaahlah yang menjadi aula kini.

Tak apa.

Untuk sementara.

Moga keluarga memahami situasi.

Mungkin ada juga sahabat-sahabat saya sendiri berasa kepelikan terhadap diri saya kerana mereka sedar akan masa saya untuk bersama keluarga amatlah jarang sekali.Tetapi itulah hakikatnya apabila kita sudah bergelumang dengan kerja-kerja jemaah.Sehinggakan keluarga saya sendiri juga berasa kerisauan terhadap diri ini kerana jarang sekali berada di rumah walhal pada masa itu merupakan tempoh panjang bagi cuti semester pengajian di kampus.Apatah lagi ketika ini masih berada di kampus,makin menjadi-jadi aksi bersama ahli jemaah untuk membuat aktiviti bersama dan mad'u di sekitar kampus.

Teringat akan kata-kata Assyahid Imam Hasan Al-Banna :

"Kerja kita lebih banyak daripada masa yang kita ada"

Lama-kelamaan keluarga pun memahami situasi diri ini.Mungkin disebabkan saya yang sengaja meletakkan kad AJK Program yang kami laksanakan dalam organisasi di laluan utama rumah.Perasan akan kehadiran kad-kad tersebut barangkali.Sehingga kini kad-kad tersebut masih tidak diusik oleh mereka.

Kembali semua kepada tajuk Kualiti vs Kuantiti khususnya saya tujukan buat diri ini yang berbelah bagi membahagikan masa dan rasa hati kepada keluarga dan jemaah.Saya yakin bahawa perkara itu juga akan berlaku kepada mana-mana individu yang bergelumang dalam kancah kehidupan yang bergerak untuk mendaulatkan Islam.Lebih-lebih lagi apabila nanti sudah berkahwin dan seterusnya mempunyai anak-pinak pula.

Atas kesedaran ini sahabat sekalian yang bergiat aktif di dalam jemaah kita kena ketahui bahawa kualiti masa bersama keluarga amat penting berbanding kuantiti masa bersama keluarga.

Berapa ramai orang yang mempunyai masa bersama keluarga tetapi tidak dimanfaatkan untuk berukhuwah bersama-sama.Kualitinya tidak pasti berseri-seri.Mungkin masa lebih banyak tertumpu bersama-sama sahabat sekampung.Jalan ke pasar.Makan di restoran.

Tetapi,jika dengan masa yang terhad dan dimanfaatkan bersama-sama keluarga :

Makan bersama di rumah.

Menonton TV.

Berbual mesra.

dan banyak lagi aktiviti bersama yang dibuat di rumah,InsyaAllah,akan berbunga-bunga kualiti bahagia yang menghasilkan kelopak-kelopak ceria walaupun dengan masa yang terhad TAPI PADAT...

Syukran Ummi Dan Famili..kerana MEMAHAMI SENI DIRI INI!!!

3 Mac 1924 : Sejarah Hitam Umat Islam

Rabu, 3 Mac 2010
3 MAC 1924, tahukah anda apakah peristiwa penting yg berlaku pada tarikh keramat ini? Ianya merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La’natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah; “Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam” .

Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah. Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah ‘Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin ‘Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata:

“Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda:

“Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka”

Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia (lihat rajah kawasan umat Islam pada abad ke 15) dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah:


”Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam”
[TMQ al-Anbiya’ 21:107]


Malapetaka ketiadaan Khilafah

Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan ke atas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara’ secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah.

Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh.


Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka. Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001]. Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya!!! [100 ways of seeing an unequal world – Bob Sutcliffe]. Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini, sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit, mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga...

Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas, hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin?? Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat.

Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk ’dipelajari’ bukan untuk diterapkan dan diamalkan. Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja (’ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.

Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara ’super power’ AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia?

Gambaran pemikiran umat Islam hari ini

Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh.

Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat.

Kewajiban mendirikan Khilafah

Pada saat ini umat Islam adalah bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya; kehinaan menimpa mereka di mana-mana. Mereka berusaha mencari kemuliaan dengan berbagai-bagai cara namun masih belum lagi menemuinya. Hakikatnya, inilah permasalahan ’hidup dan mati’ yang dihadapi oleh umat hari ini. Satu-satunya penyelesaian yang tuntas adalah dengan menegakkan semula Khilafah. Benar, menegakkan Khilafah bukanlah semudah mengatakannnya. Untuk meraih kejayaan ini, umat haruslah bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya melalui pengkajian, pembinaan dan perjuangan yang tidak kenal lelah. Usaha keras untuk mengembalikan Islam sebagai ideologi yang mendominasi dunia ini bukan sahaja merupakan satu-satunya jalan yang harus ditempuh oleh kaum Muslimin, malah, ia merupakan kewajiban setiap muslim untuk melakukannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kamu...”
[TMQ an-Nisa’ 4:59]

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda yang bermaksud;

”Siapa saja yang mati tanpa tanpa ada baiat (kepada imam/khalifah) di pundaknya, maka matinya adalah mati jahiliah” [HR Muslim].

Kedua-dua nas di atas menyatakan kewajiban setiap individu muslim untuk melantik (bai’at) pemimpin (Khalifah) yang akan menjaga urusan mereka. Namun kewajiban bai’at tersebut tidak akan terlaksana jika tidak ada orang yang hendak dibai’at. Oleh itu usaha untuk melantik atau mendirikan Khilafah itu sendiri menjadi pokok persoalan utama bagi memastikan tertegaknya Islam.
.
Realiti musibah demi musibah yang menimpa umat pada hari ini juga menunjukkan bahawa tidak ada cara lain yang lebih utama untuk mengembalikan kemuliaan umat yang terbaik ini selain dengan mendirikan semula Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah.

Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah;

”Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.”
[HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah]

Jalan untuk mendirikan semula Khilafah

Khilafah adalah bentuk sistem pemerintahan Islam seperti yang diamal dan dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mendirikan Khilafah bukanlah usaha yang berbentuk individu, namun, ia merupakan usaha yang berbentuk jamaah. Bagi memastikan bahawa jamaah ini bergerak di atas jalan yang benar, ia haruslah memiliki fikrah (pemikiran) dan tariqah (jalan/kaedah) yang jelas dan benar. Dan kebenaran hanya dapat diperoleh dari nas yang kuat. Dengan kejelasan dan kebenaran fikrah dan tariqah ini, jamaah tersebut akan dapat bergerak memimpin umat menegakkan semula Khilafah. Pada masa yang sama, setiap individu muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh, bersama dengan jamaah ini ke arah mengembalikan kehidupan Islam. Ini sesuai dengan kaedah syara’ yang berbunyi;

”Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”

Menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu kewajiban. Ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islam merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syara’. Kini Khilafah tidak wujud. Mewujudkan Khilafah menjadi suatu kewajiban dan tanpa jamaah, kewajiban ini tidak akan dapat dijalankan. Dan selagi jamaah ini masih belum berjaya menegakkan Khilafah, maka di atas setiap pundak kaum Muslimin ada kewajiban untuk bersama-sama jamaah ini menegakkan Islam.

Allah berfirman di dalam surah Al Imran ayat 104.


“Dan hendaklah ada daripada kamu satu umat (jamaah); mereka menyeru kepada kebaikan mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah perkara munkar dan mereka adalah orang-orang yang berjaya”

Wahai kaum muslimin,

Semenjak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924, umat terus ditimpa musibah yang tidak putus-putus. Umat, meskipun berada dalam keadaan yang tertekan, terus berpecah-belah dan saling bertelagah. Namun keadaannya berbeza dengan kaum kuffar. Mereka bersatu mempertahankan Denmark ketika negara tersebut diancam dengan pemulauan. Kata-kata Presiden EU baru-baru ini mempertahankan pendirian Denmark untuk tidak meminta maaf kepada kaum Muslimin menghidupkan semula memori Perang Salib. Apakah peristiwa penghinaan ke atas Rasul, kezaliman Yahudi dan pencerobohan mereka ke atas Qiblah-al-awwal, penghinaan ke atas Al-Quran, penyiksaan ke atas tahanan Islam di Teluk Guantanamo dan Penjara Abu Ghareeb serta banyak lagi penyeksaan ke atas kaum Muslimin masih belum cukup bagi kita untuk menyadari bahawa tiada penyelesaian lain bagi kaum Muslimin kecuali dengan menegakkan Negara Islam Khilafah? Semoga Allah menanamkan kesedaran ini kepada kaum Muslimin dan mempercepatkan berdirinya Daulah Khilafah. Marilah kita sama-sama berdoa agar 3hb Mac tahun ini merupakan hari peringatan terakhir bagi kaum Muslimin sebelum kemenangan gilang-gemilang dikurniakan Allah kepada umat yang mulia ini!. Amin.