Ujian 3 Tempat

Selasa, 17 Mei 2011

Kehidupan ini adalah satu ujian yang sudah menjadi kewajipan bagi setiap insan yang hidup. Keimanan seseorang muslim tidak akan dapat dibuktikan melainkan hanya sementelah diuji oleh Allah s.w.t. Kata-kata insan tidak dapat membuktikan hakikat ujian Allah yang sebenar. Berkata itu dan ini memang mudah. Itu teori. Tetapi,bila terkena sesuatu musibah atau dugaan,kegembiraan atau keselesaan,itulah amalinya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (gempa).

Surah al-Baqarah ayat 214

Ujian Duit Ketika Waktu Belajar

Kehidupan di dunia kampus dipenuhi dengan kehidupan yang idealistik dan bersemangat. Aktif dalam kelab,aktif dalam bersukan,aktif dalam persatuan Islam adalah menjadi amalan biasa kepada setiap mahasiswa mahasiswi yang berada di kampus. Tidak kurang juga yang lebih suka menjadi ulat buku sahaja (study-oriented),mengharapkan hanya untuk lulus dan mendapat ijazah sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Yang pasti,duit menjadi salah satu kekangan utama kepada penggerak Islam. Hendak membeli itu dan ini,memerlukan kos kewangan yang banyak. Mungkin punya masa dan tenaga untuk dikerahkan membuat sesuatu aktiviti atau program. Tetapi bila masuk bab DUIT,semua diam terkedu.Bukan tiada duit langsung tetapi cukup-cukup untuk keperluan diri. Lainlah kalau ibu dan ayah orang yang kaya-raya. Beri duit beribu pun tak kesah. Punya tenaga dan masa tetapi tak punya duit untuk menyumbang


Ujian Masa Ketika Waktu Bekerja

Kehidupan di masa bekerja pun ada perbezaannya juga. Jika penggerak Islam di zaman kampusnya seringkali menghadapi kekangan duit,pada masa bekerjanya pula ujian masa yang menanti. Sibuk,sibuk,sibuk. cukup untuk memberitahu betapa sibuknya bekerja. Bila disuruh datang usrah,kata tiada masa. Ada program Islami,kata ada shif malam. Ada itu dan ini,kata sibuk itu dan ini. Hmmm..sibuk,sibuk.. Punya duit dan tenaga tetapi tak punya masa untuk bersama.

Ujian Tenaga Ketika Waktu Tua

Ini pula bila tiba waktu tua. Dulunya kuat,boleh buat kerja itu dan ini. Tiada masalah. Tetapi bila melalui waktu tua ini,segala kekuatan mulai kehilangan. Nak buat kerja sikit dah rasa letih. Lama-lama-kelamaan berehat sahajalah di rumah. Tak payah susah-susah nak buat kerja. Ke sana ke mari.. nak buat itu dan ini. Buat susah sahaja. Ada program Islami,nak pergi pun kini dah payah. Nak berjalan pun dah susah.. Punya duit dan masa tetapi tak punya tenaga untuk dikerahkan.

“Ya Allah, istiqamahkanlah dan redhailah kami di dalam perjuangan-Mu yang suci ini sehingga ke titik akhir kehidupan kami.”