Jatuh Cinta Sebagai Ibadah

Selasa, 11 Disember 2012
Seorang yang mentaati Allah dan bergelar mukmin tidaklah bermakna dia tidak akan jatuh cinta atau memiliki fitrah untuk berpasangan. Bezanya cuma dia menjadikan cintanya itu sebagai ibadah manakala orang ramai selalu menjadikan cinta itu sebagai dosa dan derhaka kepada Allah. 

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah tentang orang beriman yang jatuh cinta, 'فأما إذا ابتُلى ب
العشق وعف وصبر ، فإنه يثاب على تقواه لله ' Adapun jika dia diuji dengan cinta (rindu) namun dia menjaga kehormatannya dan bersabar maka sesungguhnya dia mendapat pahala di atas bertaqwa kepada Allah. [Majmuk Al-Fatawa]

Ada 3 cara menjadikan cinta sebagai ibadah :

1. Menginginkan kebaikan kepada orang yang dicintai. Tidak salah menyukai seseorang kemudian menginginkan kebaikan menimpanya seperti berdoa untuknya, melakukan kebaikan atau membantunya dll.

2. Tidak melalaikan diri dan orang yang dicintai dari mengingati Allah sebaliknya menjauhi perkara yang haram serta berusaha dengan jalan yang halal untuk bernikah atau beriman kepada takdir dan bersabar jika tidak berhasil memilikinya. Orang yang beriman cintanya 'diinsurankan' oleh keyakinan dan percaya pada rahmat Allah.

3. Sentiasa meletakkan cinta kepada Allah melebihi cinta kepada makhluk dan menjadikan cinta kepada manusia dan pasangan sebagai tanda kesyukuran kepada rahmat Allah. Dalam apa jua keadaan, seorang yang beriman sentiasa meletakkan kecintaan dan kebenciannya menurut kehendak Allah. Cinta dan benci kerana Allah SWT.

10 cara mudah untuk menikmati hidup - 'How to Enjoy Life'

Sabtu, 8 Disember 2012

Ramai orang yang hidup tetapi tidak menikmatinya kerana gagal menyedari nikmat dan rezeki kehidupan. Syukur ialah permulaan kepada sebuah kebahagiaan. Berikut ialah 10 cara mudah untuk menikmati hidup :

1. Bangun pagi dengan rasa syukur kepada Allah kerana masih berpeluang hidup.

2. Menghargai nikmat air ketika mandi (Fakta : 780 juta manusia di dunia ini tidak dapat menikmati kemudahan air bersih dan 660 juta tidak dapat mandi setiap hari - Sumber UNICEF)

3. Menikmati makanan bukan sekadar memakannya. Ramai orang makan tanpa 'mempedulikan' isi makanannya. Makanlah dengan perlahan, nikmati rasa garamnya, manisnya dan bersyukur kepada Allah SWT. Kata Anas bin Malik RA, 'كَانَ يُعْجِبُهُ الثُّفْلُ' Bahawa rasulullah SAW amat suka makan saki-baki sisa-sia makanan. [riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Hakim]

4. Memakai pakaian-pakaian yang baik dan cantik. Seorang lelaki bertanya Nabi SAW, apa hukumnya seorang lelaki yang suka memakai pakaian dan kasut yang cantik ? Maka baginda menjawab, "Allah itu cantik dan menyukai kecantikan". [riwayat Muslim]

5. Menghirup udara segar sambil menikmati kewangian bunga, kehijauan pokok, dan kesejukan angin. Firman Allah SWT : 'Apakah kamu tiada melihat, bahawasanya Allah menurunkan air dari langit, lalu jadilah bumi itu hijau? ' [Al-Hajj:63]

6. Keluar bekerja mencari rezeki dengan berniaga, mengambil upah atau menguasakan tanah, menternak binatang atau memburu dll. Firman Allah SWT 'dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan.' [An-Naba:11] Nabi SAW menyebutkan bahawa para rasul pun bekerja dan pernah menjadi pengembala kambing. Ada hadith lain menyebut, Nabi Zakaria ialah seorang tukang kayu. [riwayat Muslim]

7. Berkongsi nikmat rezeki dan hasil usaha dengan orang lain. Para sahabat RA pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa mereka makan tetapi tak pernah kenyang maka baginda pun berkata mungkin kamu makan sendiri-sendiri? Lalu mereka pun membenarkan. Maka Nabi SAW bersabda : Makanlah berjamaah dan sebutlah nama Allah maka nescaya makanan itu akan menjadi berkat. [riwayat Abu Daud]

8. Bernikah dengan pasangan yang soleh/solehah jika bujang dan menjalinkan hubungan mesra dengan ahli keluarga serta anak-anak. Dalam hadith menyebut kelebihan menjalinkan silaturrahim seperti keberkatan rezeki dan dipanjangkan umur.

9. Mencari ilmu dan meluaskan pengetahuan dengan membaca dan menghadiri majlis-majlis pengajian. Ilmu mencerahkan akal dan melapangkan jiwa yang sempit dan membuka pintu kegelapan serta menerangi kehidupan. Kata Sahl bin Abdullah, Tulislah ilmu kerana jika engkau mampu bertemu dgn Allah sambil membawa buku dan pena maka lakukanlah.

10. Bersahabat dengan orang-orang yang soleh. Persahabatan merungkaikan gelisah dan menghilangkan kebosanan. Nabi SAW berpesan, Janganlah bersahabat kecuali dengan orang yang beriman dan jangan pula memakan hidanganmu melainkan orang yang bertakwa.” [Riwayat Abu Daud dan At Tirmizi]

Akhirnya pesan Syeikh Abd Rahman al-Sa'di, Seorang muslim itu patut bersegera melakukan kebaikan serta ibadah dan mengabaikan kesusahan serta menikmati keperitan hidup kerana apa yang terdapat disisi Allah itu lebih bernilai dan disediakan oleh Allah untuk mereka yang masuk ke syurgaNya. [Al-Qawl al-Sadeed ala Maqaasid Kitab Al-Tauhid]

'Problem Sentence' VS 'Solvse Sentence'

Khamis, 27 September 2012

Izzati dan Halimah duduk di ruangan tamu rumah sambil menonton televisyen. Kebetulan, rancangan penyiaran pada ketika itu ialah berita jam 8 malam. Sambil-sambil menunggu cerita ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’ yang akan bersiaran pada jam 9 malam nanti, mereka bercadang untuk menonton berita dahulu. Adalah juga sedikit sebanyak maklumat dan isu semasa yang diperolehi nanti.

Salah satu isu yang tergempar ialah kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sehingga kini. Banyak usaha untuk menangani masalah tersebut tetapi kadar kes buang bayi semakin hari semakin meningkat saban tahunnya.

“Halimah, kau tengok tu. Sampai naik muak dah aku tengok berita. Tak ada cerita lain lagi nak diceritakan. Sikit-sikit, kes buang bayi. Apa nak jadi la dengan manusia akhir zaman sekarang ni,” luah Izzati dengan nada marahnya.

“Ye lah, dah jenis lelaki bernafsu serakah. Bila dah macam dirasuk, akal tak dapat nak fikir sangatlah. Perempuan tu pun satu, suka sangatlah dengan mamat-mamat macam tu. Dah mengandung baru terasa seribu satu penyesalan. Benda dah jadi, baru nak insaf.” Jawab Halimah.

“Kenapa tak hukum je perempuan yang buang bayi tu. Hukum dengan sekeras-kerasnya.
Yang lelaki tu pun sama juga. Baru mereka rasakan nanti. He he he.” Izzati ketawa.


‘Problem Sentence’ vs ‘Solve Sentence’

Dialog di atas sebenarnya hanyalah satu contoh untuk menunjukkan cara manusia berbicara dan berfikir.

Dalam pemerhatian saya sehingga kini, kebanyakan daripada kita seringkali menggunakan dua jenis ayat apabila membicarakan sesuatu isu iaitu ayat penyelesaian dan ayat masalah.

Dalam pemerhatian saya juga, kebanyakan daripada kita lebih menggunakan ayat masalah berbanding ayat penyelesaian. Situasi dialog di atas adalah merupakan ayat masalah.

Saya berfikir, jika sekiranya dialog-dialog seumpama ini menjadi amalan majoriti manusia ketika berbicara, maka, saya tidak menjadi hairan mengapa isu-isu semasa yang berkaitan dengan kes buang bayi dan pelbagai lagi isu lain tidak akan selesai.

Saya bukanlah hendak mempertikaikan cara manusia bertutur tetapi ingin memberitahu bahawa dengan bicara kita menggunakan ayat masalah sebenarnya tidak merubah apa-apa masalah. Bicara kita hanyalah bicara picisan sehingga dikhuatiri membuang masa sahaja. Bercerita bukan main panjang. Tetapi, tergantung dan tiada apa yang berubah bahkan semakin parah.

Sepatutnya, bicara dan berfikir kita biarlah dengan ayat penyelesaian. Bila berbicara akan sesuatu isu, pasti akan ada jalan keluarnya. Paling kurang pun, kita dapat mengajak orang lain berfikir risau bersama-sama. Dan, lebih baik lagi, apabila kita dapat sama-sama membantu menyelesaikan masalah yang dibicarakan.

Sesuatu masalah akan dapat diselesaikan bila kita sedar dan mampu mengubah cara berfikir kita. Bila ramai orang mampu berfikir dan berbicara dengan ayat penyelesaian sebenarnya akan memudahkan urusan kehidupan kita dan manusia di sekeliling kita.

Meluahkan masalah, lantas bercerita tanpa arah tuju dan titik temu, itu ‘problem sentence’.
Menyatakan masalah, lantas membina kaedah dan mencambah solusi, itu ‘solve sentence’.
Arahnya perlu solusi.
Solusinya perlu konklusi.

Perkahwinan Itu Bukan Perniagaan

Rabu, 19 September 2012



Bakal mertua : "Anak makcik belajar tinggi kat oversea dulu. Makcik tak nak letak harga. Tapi biarlah berpatutan. Selalunye yang belajar tinggi dalam lingkungan 20ribu. Tapi inilah satu-satunya anak perempuan makcik. Harap faham-fahamlah ye.”

Bakal menantu : "Saya paham maksud makcik. Tapi saya harap makcik pun pahamlah ye. Kalau terlampau tinggi, terpaksa ditangguhkan nanti. Biarlah dicepatkan, biar jauh dari maksiat "..

Bakal mertua : "Kalau kamu tak mampu, anak makcik ni bukan tak laku. Ada berderet lagi yang tengah tunggu. Kalau harga rendah, nanti apa pulak orang cakap."

Bakal menantu: "Kalau makcik nak jual anak makcik macam jual kereta, kita buat macam ni. Sekarang jugak saya bayar DOWNPAYMENT 2ribu. Saya bawak balik anak makcik, malam ni saya TEST DRIVE dulu semua.. Kalau barang dalam semua bagus, jangan cakap 10ribu.. 12ribu pun saya berani letak. tapi kalau dah LEMAU, ENJIN pon tak bagus, anak makcik sekali dengan deposit tu makcik boleh simpan.

Bakal mertua : @$%@#@#$%^#@#$^&&%#@

* nak berniaga atau nak dapat keberkatan ?

Video : Himpunan Bantah Filem Hina Nabi SAW (Bintulu,Sarawak)

Sabtu, 15 September 2012

Hati Kami Tidak Cacat

Ahad, 9 September 2012

"Mahukah engkau menjadi isteriku?" Soal Azman.
Azrina yang mendengar lontaran soalan itu terkejut sebentar. Dia tidak menyangka soalan itu akan muncul dalam ruang nafas waktunya.
Azman mula berkenalan dengan Azrina ketika dia belajar dan bekerja di salah sebuah bengkel di Negeri Sembilan sejak beberapa tahun yang lepas. Azman begitu serius dan bertekad untuk menikahi Azrina agar menjadi isteri yang sah sebagai pendamping hidupnya selepas ini.
Akhirnya, Azrina telah membuat keputusan dan bersetuju untuk menjadi isteri kepada Azman. Mereka tahu bahawa keputusan ini agak sukar kerana risau akan menjadi perhatian umum masyarakat kelak.
Tetapi, kerana inginkan hubungan yang halal dan cinta yang diredhai Allah SWT mereka nekad dan bersepakat untuk melalui kesusahan yang bakal dihadapi bersama-sama.
Tidak perlu didengar kata-kata serong orang.
Tidak perlu terasa ejekan menyindir.
Tidak perlu ditangisi senyuman sinis.
Kerana setiap kesusahan pasti ada kesenangannya nanti.
Setelah beberapa bulan, maka, berlangsunglah majlis perkahwinan di antara Azman dan Azrina. Majlis yang diadakan tersebut cukup sederhana. Semuanya berjalan dengan lancar sekali.
Kebetulan, seorang wartawan tempatan turut berada di majlis mereka memandang majlis perkahwinan tersebut serentak dengan jamuan hari raya Aidilfitri anjuran sebuah persatuan bengkel tempat Azman bekerja.
Pada mulanya, wartawan tersebut hanya hadir atas jemputan pihak persatuan untuk mendapatkan maklumat dan liputan semasa majlis tersebut agar dapat dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan pada keesokan harinya. Tetapi, entah mengapa dia juga amat tertarik dengan majlis perkahwinan Azman dan Azrina.
Ada sesuatu yang istimewa.
Usai majlis perkahwinan dan jamuan hari raya Aidilfitri, wartawan tersebut terus berjumpa dan sempat bertanyakan soalan kepada Azman.
"Tahniah atas perkahwinan anda berdua," wartawan tersebut memulakan bicara.
"Tetapi, sudahkah encik berfikir masak-masak sebelum mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan ini ? Tidak risau ke dengan pandangan masyarakat sekeliling nanti ?" wartawan tersebut meneruskan bicaranya lagi.
Wartawan tersebut terkesan dihatinya apabila Azman menjawab soalan yang ditanyakan olehnya.
Siapa sangka soalan itu dijawab oleh Azman dengan senyumannya yang melebar.
Menampakkan keikhlasannya menjawab.
"Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama seperti insan normal yang lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu saya nekad mendirikan rumahtangga walaupun sedar keadaan diri tidak sempurna," kata Azman yang kini berusia 32 tahun.
"Saya memberanikan diri melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri," sambung Azman.
Rupa-rupanya, Azman lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas demam panas ketika berumur setahun. Perkenalannya dengan Azrina yang juga cacat anggota kaki empat tahun dulu menyemai bunga kecintaan sehingga bergelar suami isteri yang sah kini.
Cinta ini tidak mengenal siapa dan bagaimana keadaan orang itu. Apabila datangnya kesungguhan, maka, bersiap sedialah untuk mendambakan cinta yang ikhlas dan mengharungi segala onak dan duri bersama-sama. Sabar menempuh jalan dalam mengharungi ujian Tuhan.
Hanya doa itu yang menjadi penguatnya. Seringkali dilafazkannya. Doa dari al-Quran :


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata : “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Al-Furqan 25: ayat 74


Baitul Muslim : Di mana kebenarannya

Rabu, 29 Ogos 2012

Ada seorang teman baik berkongsi catatan buku 555 nya semalam.

Kahwin RM 20k.
Hutang kereta RM40k.
Kalau nak beli rumah RM 250k.
Belanja adik beradik yang masih sekolah tidak dapat PTPTN dalam RM 80k (hingga habis Universiti).
Gaji baru RM 1.5k.

Perbelanjaan sebulan:

1. Simpanan kahwin - RM 200
2. Bayar kereta - RM 500
3. Simpanan untuk membeli rumah - RM 300
4. Belanja adik beradik dan mak ayah - RM 400
6. Duit makan sebulan campur minyak - RM 200
7. Wang hangus - RM ??

= (akaun negatif hujung bulan) !

Kalau ikut kiraan ilmu hisab, 8 tahun 3 bulan barulah kawan ini boleh bergelar pengantin.
Kalau umur mula bekerja 25 tahun. ( anggaplah 1 tahun hangus sebab 'tanam anggur' )
Umur 33 tahun 3 bulan baru jadi suami orang!
Itu tidak termasuk bayar PTPTN untuk diri sendiri tu..

Dia kata, padanlah anak muda sekarang ini kalau menderma ke tabung masjid RM 1 sahaja.
Sebab sudah boleh dikategorikan sebagai Al-Masakin wal-Fuqara'.

Hehe, betul juga rasanya.


"Sebaik-baik perempuan adalah yang paling murah maharnya"
( HR. ibnu Hibban, Hakim, Baihaqi, Ahmad )



#Kesimpulannya, benarlah kata Hadis wanita yang terbaik adalah mereka yang rendah maharnya (termasuk hantarannya. Sebab zaman Nabi tiada istilah hantaran).



Kesian kat bakal suami.

Jom tolong kempen !


share : anugerahcinta86.blogspot.com

Rumus Hati Yang Tenang

Selasa, 7 Ogos 2012

Seorang ustaz bertanya, "Apa yang paling mahal di Korea?" Ada yang menjawab gadjet, kereta, cincin dan sebagainya.

Kemudian ustaz tersebut meneruskan penceritaannya.

"Yang paling mahal di Korea, yang paling mewah di Amerika Syarikat, di Eropah atau di mana-mana sahaja di muka bumi ini ialah hati yang tenang."
"Betul tak?" Soal ustaz itu lagi. Sengaja membuat teka teki.
"Rumah umpama mahligai boleh dimiliki. Kereta yang mewah boleh dipunyai. Wang ringgit bertimbun boleh dicari. Tetapi, belum tentu mendapatkan hati yang tenang." 
Hati Yang Tenang
Ternyata, sesuatu yang tidak dapat dibeli di dunia ini ialah tenangnya hati. Walaupun mempunyai perniagaan yang megah. Jika dengan kemewahan menunjukkan seseorang itu mendapat sesuatu yang termahal, namun mengapa masih ada yang membunuh diri ?
Walaupun mempunyai harta yang melimpah ruah. Kenapa jiwa merasa sengsara?
"Siapa yang mahu mengetahui ilmu hati tenang?" Ustaz bertanya. Semua yang hadir menjawab, "Mahu". Hampir serentak menjawab.

Rumus tenangnya Hati 
Orang yang merasa tidak tenang bukan kerana masalah yang dihadapinya tetapi dia tidak tahu apa tujuan hidupnya. Dan kurang ilmu dan faham untuk mengatasi masalahnya. 
Sebagai contoh, seorang lelaki tertinggal kunci dalam keretanya. Sudah diikhtiar untuk membuka pintu kereta tetapi tidak juga berhasil. Tiba-tiba datang seseorang memberikan bantuan. Dia mengeluarkan sesuatu dan mencungkil bahagian kunci pintu kereta. Tidak sampai seminit, pintu kereta dapat dibuka. Lelaki yang memiliki kereta itu mengucapkan terima kasih tanpa menyedari bahawa orang yang membantunya tadi adalah seorang bekas pencuri kereta.
Bekerja tidak tahu tugas, sudah pasti akan dibuang kerja.
Menanak nasi tidak tahu cara, nasi pula akan menjadi bubur.
Membuat baju tidak tahu teknik, tidak dapat dipakai.
Persoalannya, adakah kita memahami atau tidak ilmu hidup di dunia ini ?
Kalau tidak, sudah pasti hidup terasa kosong, jiwa merasa gusar, hati tidak akan tenang. Allah SWT telah berfirman dan menyatakan hakikat penciptaan manusia ke dunia ini.
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan agar beribadah kepada-Ku" 
(Surah Az-zariyaat ayat 56)
Yang pasti, apabila kita sudah mengetahui dan memahami apa tuntutan kehidupan kita, pasti akan disusuli dengan amalan-amalan yang baik dan sentiasa mengucap syukur ke atas-Nya kerana dikurniakan taufik dan hidayah. 
Demikianlah jika  kita analogikan dengan mesin. Apabila kita tidak tahu menggunakannya, maka mesin tersebut akan mudah rosak dan tidak berguna. Justeru, apabila kita tahu 'menggunakan' hati kita dengan sentiasa mensyukuri nikmat dan ujian yang Allah beri, maka akan membawa ketenangan di dalam diri. 
Moga rumus tenang hati membahagiakan dunia dan akhirat kita.
"TENANG HATI = FAHAM pada ilmunya + TERLATIH pada amalnya + BERZIKIR pada syukurnya"


Selamat Hari Lahir

Khamis, 21 Jun 2012
Ku tujukan kepada yang telah,sedang dan akan menyambut ulangtahun kelahiran masing-masing..



Selamat hari lahir ku ucapkan
pada nafas pertamamu..



Selamat hari lahir ku ucapkan
pada tarikh hidupmu..




Selamat hari lahir ku ucapkan

pada nama seindahmu..



Selamat hari lahir ku ucapkan
pada umur jasadmu..




Selamat hari lahir ku ucapkan
pada dirimu yang satu..




Kerana aku tahu


kau sungguh istimewa

pada mata Pencipta...

*moga umur terus dimanfaatkan untuk kebaikan..beramallah selagi bernyawa..Nyawa pinjaman sementara sahaja.

Panduan Cari Isteri

Khamis, 7 Jun 2012

Nak cari isteri..
Isteri yang mana sesuai ya..
Hmm...
Eh, gambar apa ini..
Baca dulu..

Panduan Cari Isteri....??


Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [1] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.
Secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagiaan ke atas pilihan yang berasaskan agama.
Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” [2]
Di dalam riwayat yang lain, menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti di atas, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah ! Walaupun dia telah mempunyai isteri?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” sebanyak tiga kali. [3]




myjodoh




HAMPIR-HAMPIR GURU ITU MENJADI RASUL

Rabu, 16 Mei 2012


1. Ini adalah kata-kata penyair terkenal Ahmad Syauqi (1932M), yang meletakkan guru pada darjat yang tinggi. Mulianya kerana telah menyambung kerja para rasul iaitu mengajar, membimbing dan mendidik ummah. Setiap insan memang disuruh untuk menuntut ilmu, maka satu pihak akan menuntut ilmu yang dipanggil pelajar, dan satu pihak lagi akan mengajar yang dipanggil guru atau mu’allim. Allah Azza wa Jalla memberikan fadhilat kepada orang yang menuntut ilmu, dengan memudahkannya jalan ke syurga. 

Nabi SAW bersabda:

Barangsiapa melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT permudahkan baginya jalan ke syurga. (Riwayat al-Bukhari)

2. Tidak dapat dinafikan usaha dan lelah seorang guru dalam membina tamadun dan peradaban manusia. Gurulah yang mempersiapkan seorang doktor yang berjaya, membentuk seorang jurutera yang baik, akauntan yang mahir dan menteri yang bertanggungjawab. Dengan ilmu dan guru, bumi menjadi subur, pokok mengeluarkan hasil dan bunga mekar mengharum. Guru memimpin ummah agar kenal dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Guru juga mengembangkan potensi akal manusia yang secara fitrah sukakan kebaikan dan benci kepada kemungkaran. Gurulah yang menjadikan kita setinggi langit dalam pencapaian, lantas mampu menulis kebanggaan ummah dengan tinta cahaya matahari sehingga dunia mendengar suara keimanan dan tauhid.

3. Guru telah mengubah daripada sebuah impian menjadi kenyataan, daripada pengikut menjadi pemimpin, dan daripada pembaca sejarah kepada pencipta sejarah. Inilah yang cuba digambarkan oleh penyair Ahmad Syauqi. Ia lahir daripada cintanya kepada ilmu, yang disampaikan oleh seorang yang bernama guru. Tetapi penyair ini tidak pernah menjadi guru, tidak pernah merasai kesukaran seorang guru dan tidak pernah berhadapan dengan pelbagai karenah perangai anak murid. Namun, seorang penyair lain, Ibrahim Tuqan (1941M) yang pernah menjadi guru mempunyai pandangan lain. Dia memberi respon terhadap Ahmad Syauqi dengan syairnya antara lain menyebut:

Jika Syauqi cuba mengajar walau satu jam, dia akan merasai perit dan deritanya hidup, cukuplah bagi seorang guru masalah dan cabaran, pagi dan petang sentiasa dengan buku yang memerlukan semakan.

4. Tugas guru adalah tugas yang sangat sukar, tidak mudah bagi seseorang menyatakan bahawa aku ingin menjadi guru sebelum berfikir banyak kali. Tugas guru memerlukan keikhlasan dan kesungguhan. Ia mesti adil dengan pelajar-pelajarnya. Ia juga menuntut mu’amalah seumpama dengan anak sendiri. Dan yang paling penting ia mesti amanah terhadap ilmunya. Rasulullah SAW sangat amanah terutamanya dalam menyampaikan wahyu. Dalam peristiwa anak angkatnya, Zaid bin Harithah menceraikan isterinya yang akhirnya Allah memerintahkan agar nabi mengahwininya pula, menjadi bukti amanahnya nabi SAW. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab 37: 

Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian( manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti. Kemudian setelah Zaid selesai kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya), dan sememangnya perkara yang dikehendaki oleh Allah itu tetap berlaku.


Imam al-Qurtubi (671H) ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa nabi SAW bimbang orang ramai akan menyebut baginda berkahwin dengan bekas menantunya. Lalu Rasulullah SAW berulangkali menasihati Zaid agar terus bersama isterinya dan tidak menceraikannya. Namun Allah SWT menghendakinya dengan hikmah yang lain iaitu membatalkan hukum yang berkaitan dengan anak angkat, yang diamalkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam. 

Diriwayatkan daripada Anas RA bahawa:

Zaid bin Harithah datang mengadu kepada nabi SAW, lalu nabi berkata: Bertakwalah kepada Allah dan janganlah engkau ceraikan isterimu. Anas berkata: Jika Muhammad SAW itu seorang yang menyembunyikan sesuatu, nescaya baginda akan sembunyikan ayat ini (ayat 37 surah al-Ahzab). (Riwayat al-Bukhari)


5. Oleh sebab itu, hampir-hampir guru menjadi rasul kerana amanahnya. Walaupun ramai guru yang baik dan amanah, tetapi pada masa yang sama terdapat segelintir guru yang tidak mengetahui peranannya. Mereka tidak merasa bangga menjadi seorang guru. Tambahan pula pelajar pada zaman ini tidak sama dengan beberapa dekad yang lalu. Globalisasi, internet, hiburan dan seribu satu alasan boleh diberikan, tetapi adakah berbaloi dengan memberikan alasan dan perbandingan?, sedangkan kita sebagai guru tidak melakukan sesuatu di atas amanah yang sedang kita pikul. Bukankah nabi SAW pernah mengingatkan kita akan amanah yang bakal dipertanggungjawabkan ini?. 

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. (Riwayat al-Bukhari) 


6. Hampir-hampir guru menjadi rasul kerana kesabarannya. Sabar dengan anak murid, sabar dengan pentadbiran, sabar dengan masyarakat dan sabar dengan kehendak peribadi. Di samping tugas sampingan yang begitu banyak, melibatkan pengurusan, maka sabar adalah kunci kejayaan seorang guru. Sabar bukan bermakna mengalah dan mendiamkan diri, tetapi sabar menuntut perancangan dan strategi. Penambahbaikan selepas muhasabah dan perlaksanaan yang bijak, sangat penting untuk menghadapi semua cabaran dalam pendidikan.

7. Membentuk seorang manusia bukan seperti membuat rumah. Batu-bata dan kayu yang diangkat, tidak akan membantah walau sedikit pun. Ia tidak bernyawa dan tidak punyai perasaan. Tetapi, yang bernama manusia ini cukup unik, punyai hati dan perasaan, suka membantah, cepat terasa dan punyai ego yang cukup tinggi. Bahkan terdapat hati manusia yang lebih keras daripada batu, sedangkan sekeras-keras batupun akan lekuk kerana titisan air yang berterusan. Inilah hati umat yang dihadapi oleh nabi Musa AS. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 74 bermaksud:

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.


8. Hampir-hampir guru menjadi rasul kerana keikhlasannya. Guru tidak meminta bayaran dan ganjaran daripada anak muridnya. Cukuplah balasan dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT dan pahala yang tetap mengalir hingga hari kiamat. Inilah sifat para rasul yang benar yang manusia diminta untuk mengikutinya. 

Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah Yasin ayat 20-22:

Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Ikutlah Rasul-rasul itu. Ikutlah orang-orang yang tidak meminta daripada kamu sesuatu balasan, sedangkan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.


9. Lalu mengapa dengan budaya baru pada hari ini, setiap kali sambutan hari guru anak-anak akan meminta ibu bapanya membelikan hadiah untuk guru mereka. Bukan satu, tetapi setiap guru yang mengajarnya. Di pihak guru yang mendapat hadiah pula, pastinya ia berbeza-beza, ada yang mahal dan ada yang murah. Tidak kurang ada guru yang dapat banyak hadiah dan ada yang dapat sedikit. Guru yang diminati akan mendapat banyak dan begitulah sebaliknya. Ia telah menjadi budaya yang diamalkan.

10. Banyak persoalan yang timbul, adakah hadiah yang mahal menggambarkan pemberinya sangat menghormati guru? Adakah guru yang mendapat hadiah yang sedikit menunjukkan dia bukan seorang guru yang baik? Dan apakah nasib seorang guru disiplin yang garang dan tegas pada hari ini ya? Kalau ia menyebabkan natijah negatif; berbangga, ujub, kesan pemarkahan dan membeza-bezakan anak murid atau guru, maka budaya ini perlu segera dihentikan. Hadiah bukan kayu ukur yang berkesan dalam hal ini. Bertakwalah kepada Allah SWT wahai guru. Sebenarnya kejayaan cemerlang, sahsiah unggul dan doa daripada anak murid itulah hadiah yang paling istimewa buat seorang guru.

11. Kesimpulannya, jadilah guru yang amanah, sabar dan ikhlas. Peringatan ini saya tujukan khusus kepada semua guru yang bercita-cita untuk mendapat darjat ‘hampir-hampir menjadi rasul’.

MEMPERINGATI 64 TAHUN HARI NAKBAH PALESTIN - 15 MEI 2012

Selasa, 15 Mei 2012


Tanggal 31 ogos merupakan tarikh bersejarah buat Negara Malaysia kerana berjaya bebas dari belenggu jajahan british. Saat yang menggembirakan pabila menggambarkan laungan ‘ MERDEKA ‘ bersahutan di stadium merdeka. Betapa bahagia rakyat Malaysia saat itu. Malaysia melakarkan sejarahnya yang tersendiri.

Tarikh 16 mei juga menjadi sebutan saban tahun. Masakan tidak, segala jasa guru diabadikan pada hari tersebut. Namun, pernahkah terdetik di hati kita akan tarikh bersejarah 15 mei 1948? Jika Malaysia mempunyai detik bersejarah yang membanggakan, namun, sebaliknya telah berlaku pada sahabat seislam kita di palestin. Ya, sudah pasti meruntun hati kita.

Pernahkah anda mendengar istilah nakbah? Apakah itu nakbah? Jom kita susuri sejarah nakbah Palestin. Moga dengan sejarah ini mampu terus menaikkan semangat juang kita seterusnya menggegar dunia palestin yang sejak sekian lama suram.

Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin pula bermaksud penubuhan Negara Haram Israel yang telah diisytihar rasmi pada tanggal 15 Mei 1948. Ini merupakan satu bencana besar yang menimpa bumi palestin. Kedamaian, keadilan telah direntap sekelip mata. Sebagai gantinya, kepedihan, keperitan dan derita makin dirasai di bawah kongkongan yahudi zionis.

Pakatan Israel ini berjaya mengorak langkah sejak 1897 apabila tertubuhnya Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO). Kemudian, dengan satu tekad pembentukan negara zionis, serta kerjasama sekutu kuat mereka, British, mereka telah mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2 november 1917. British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa yahudi di Palestin. Sejak itu, berlakulah penghijrahan beramai-ramai bangsa yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin sehingga mencecah ratusan ribu orang. Sedikit demi sedikit tanah Palestin dirampas samada secara kekerasan dan juga penipuan oleh pendatang yahudi. Mereka dengan angkuhnya menguasai tanah haram tersebut. Yahudi laknatullah ini bukan sahaja menidakkan hak penduduk bumi Palestin yang sah, malah tegar mencabuli perjanjian antarabangsa. British juga tanpa segan silu mendesak PBB menjadikan isu Palestin ini sebagai salah satu agenda PBB.

Menurut laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah menyatakan ketidakadilan bagi pihak Palestin untuk membahagikan tanah mereka kepada dua buah Negara bersaingan. Namun, usaha itu hanya sia-sia apabila pada tanggal 29 november 1947, PBB yang bertopengkan manusia tetap mengeluarkan sidang pleno PBB dengan meluluskan ‘ ketetapan 181 ‘. Sebagai akibatnya, 2/3 tanah Palestin secara sahnya telah dibahagikan kepada pendatang yahudi serta bakinya 1/3 keluasan tanah, diberikan kepada penduduk Palestin yang sah. Sekali lagi berlaku ketidak adilan apabila penduduk Palestin dinafikan hak mereka untuk bersuara. Mereka tidak langsung diminta pendapat serta keizinan malah sebaliknya, penindasan serta kezaliman makin bermaharajalela. Liga Negara Arab ketika itu juga gagal membantu Palestin apabila tentera yang dihantar turut dimusnahkan oleh pengganas yahudi. Akhirnya, Palestin terpaksa akur apabila yahudi zionis mengumumkan Negara Israel pada petang 14 Mei 1948 seterusnya mengisytiharkan kemerdekaan ‘ palsu ‘ mereka secara rasmi pada 15 Mei 1948.

Inilah yang dikatakan yahudi laknatullah. Mereka tidak akan sesekali berdiam diri serta bersenang lenang selagi impian mereka tidak terlaksana. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud “Engkau akan temukan orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” (QS. Al-Ma’idah: 82). Rejim yahudi meningkatkan serangan dengan menghancurkan 478 buah kampung dan mengusir hampir 800 000 rakyat palestin ke luar Negara. Warga tua, kanak-kanak serta ibu mengandung dibunuh. Malah, anak di dalam kandungan dikeluarkan terburai. Sehingga kini Palestin terus diasak kekejaman dan penindasan. 

Peristiwa dahulu seolah-olah di ulang tayang semula kini. Pembunuhan, pemenjaraan, sekatan ekonomi serta serangan ke atas masjidil aqsa semakin menjadi-jadi. Namun, kemana perginya umat islam kini? Ketika saat British, yahudi dan PBB bersatu bergabung untuk menjatuhkan Palestin, umat islam tetap diam membatu seolah-olah menurut telunjuk PBB seperti Pak Pandir.

Ayuh, sahabat.. 
Isu Palestin ini bukan khas untuk rakyat Palestin sahaja. Bukan juga untuk negara-negara arab di sekitarnya, tetapi isu kita bersama selaku umat islam seluruh dunia. Sebagaimana termaksub dalam alquran yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara kerana itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat“(Al-hujurat:10). 

Pelbagai mekanisma harus diatur. Kefahaman perlu diperluaskan lagi, sumbangan kemanusiaan pula perlu dipergiatkan. Jom sama-sama tingkatkan usaha, perkasakan ukhuwwah, serta patrikan kesatuan bersama. Selebihnya, kita serahkan kepada ALLAH untuk menentukan segalanya. Insya-Allah, semoga kejayaan dan kegemilangan Islam sampai ke kemuncak satu hari nanti. Amin.

Oleh: Nur ‘Amahirah binti Hasan Zaki,
Kuliah Perubatan Universiti Iskandariah

Bersih 3.0 : Suara Keramat

Isnin, 14 Mei 2012


Sungguh mendekat hati waja;
Pada ingin kata dan suara merdeka
laungan gempita persis Sang perwira
Di setiap corong dan lorong- mendatang maju
Di setiap tingkah dan langkah-seia menyeru.

Hari ini tiada ruang dan peluang diktator bermaharajalela
Hari ini tiada aral dan larang untuk rakyat menjadi raja
Menuju dataran dengan peluru semangat yang membedil,
bergerombolan bersatu demi suara yang adil.

Luahan sanubari biasa, tetapi berbisa;
Luka lara pasti, tiada ampuhnya;
Parah menjalar sengketa
Sang penguasa tuju mautnya.

Demokrasi kian membengis;
Jiwa leluhur semakin terhakis
oleh tumpul karat kuku besi.

Badai sekelumit bisa ditepis
oleh rakyat kuasa optimis. 

Janji penderhaka langit

Isnin, 20 Februari 2012
Sungguh bijak

Penderhaka langit

Memusar tanah sakti

Amat cilik menoda

Hembusan toniknya

Menggegar gusar

Berjaya bersama

Mengenggam bara api!!!!!!

Demokrasi Malaysia : Ada Aku Kisah

Sabtu, 21 Januari 2012

Jika rakyat punya kepekaan dalam melihat situasi politik di negara Malaysia, sudah pastilah ada nilai demokrasi yang akan diamalkan oleh mereka sendiri.

Demokrasi itu bukan sekadar mengundi parti mana yang hendak dipilih semata-mata, tetapi juga bagaimana rakyat diberikan peluang menilai setiap parti yang bertanding untuk memegang tampuk pemerintahan dengan saluran maklumat yang adil dan telus.

Saya yakin kesan dan akibat yang dilaksanakan oleh pemerintahan negara kini hanya menyebabkan sebilangan besarnya masyarakat Malaysia khususnya golongan remaja SANGAT TIDAK PEKA dan TIDAK CAKNA dengan isu nasional.

Ini semua adalah akibat daripada sistem yang telah dilaksanakan tidak membawa hasil yang memberangsangkan secara keseluruhan.Tidak bermakna semuanya tidak baik.

Adakah KEJAYAAN itu diukur dengan hanya melihat PEMBANGUNAN yang membangun pesat semata-mata. Tidak,lihat juga dari segi pembangunan insan.

Krisis masalah sosial semakin meningkat dan bertambah teruk setiap tahun. Ini masalah AKHLAK yang masih pemerintahan sekarang tidak dapat membendungnya selagi tidak ada satu sistem yang betul dilaksanakan.

Ya,memang betul. Setiap parti akan saling salah-menyalahkan diantara satu sama lain. Mereka mempertahankan prinsip dan ideologi masing-masing.

Kita sebagai rakyat yang menjadi 'mangsa' keadaan. Itu mungkin tidak mengapa kerana ada kemungkinan kita yang sebenarnya tidak pandai membuat penilaian untuk memilih. Mungkin sudah terpengaruh dengan slogan "ADA AKU KESAH"....

Tidak peka dalam membuat penelitian.

Hanya tahu dan mahu untuk mendapat manfaat sahaja daripada manifesto yang diwar-warkan oleh setiap parti.

Dalam kajian, hampir 3.8 juta rakyat yang rata-ratanya adalah golongan MUDA masih tidak tidak mendaftar sebagai pengundi. Anda seorang individu yang intelektual, anda pasti tahu di mana mereka sekarang ini berada dan tahu apa yang harus anda perlu lakukan di setiap peranan dan ruang mampu kita. Ini FAKTA.

Atas keterbatasan masa,ini hanya sebahagian dari sisi pandang penulis, selebihnya anda harus mencari. Takkan terus menjadi seorang bayi, setiap hari hanya mahu disuapkan nasi ke dalam mulut. (^_^)/..