Jatuh Cinta Sebagai Ibadah

Selasa, 11 Disember 2012
Seorang yang mentaati Allah dan bergelar mukmin tidaklah bermakna dia tidak akan jatuh cinta atau memiliki fitrah untuk berpasangan. Bezanya cuma dia menjadikan cintanya itu sebagai ibadah manakala orang ramai selalu menjadikan cinta itu sebagai dosa dan derhaka kepada Allah. 

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah tentang orang beriman yang jatuh cinta, 'فأما إذا ابتُلى ب
العشق وعف وصبر ، فإنه يثاب على تقواه لله ' Adapun jika dia diuji dengan cinta (rindu) namun dia menjaga kehormatannya dan bersabar maka sesungguhnya dia mendapat pahala di atas bertaqwa kepada Allah. [Majmuk Al-Fatawa]

Ada 3 cara menjadikan cinta sebagai ibadah :

1. Menginginkan kebaikan kepada orang yang dicintai. Tidak salah menyukai seseorang kemudian menginginkan kebaikan menimpanya seperti berdoa untuknya, melakukan kebaikan atau membantunya dll.

2. Tidak melalaikan diri dan orang yang dicintai dari mengingati Allah sebaliknya menjauhi perkara yang haram serta berusaha dengan jalan yang halal untuk bernikah atau beriman kepada takdir dan bersabar jika tidak berhasil memilikinya. Orang yang beriman cintanya 'diinsurankan' oleh keyakinan dan percaya pada rahmat Allah.

3. Sentiasa meletakkan cinta kepada Allah melebihi cinta kepada makhluk dan menjadikan cinta kepada manusia dan pasangan sebagai tanda kesyukuran kepada rahmat Allah. Dalam apa jua keadaan, seorang yang beriman sentiasa meletakkan kecintaan dan kebenciannya menurut kehendak Allah. Cinta dan benci kerana Allah SWT.

10 cara mudah untuk menikmati hidup - 'How to Enjoy Life'

Sabtu, 8 Disember 2012

Ramai orang yang hidup tetapi tidak menikmatinya kerana gagal menyedari nikmat dan rezeki kehidupan. Syukur ialah permulaan kepada sebuah kebahagiaan. Berikut ialah 10 cara mudah untuk menikmati hidup :

1. Bangun pagi dengan rasa syukur kepada Allah kerana masih berpeluang hidup.

2. Menghargai nikmat air ketika mandi (Fakta : 780 juta manusia di dunia ini tidak dapat menikmati kemudahan air bersih dan 660 juta tidak dapat mandi setiap hari - Sumber UNICEF)

3. Menikmati makanan bukan sekadar memakannya. Ramai orang makan tanpa 'mempedulikan' isi makanannya. Makanlah dengan perlahan, nikmati rasa garamnya, manisnya dan bersyukur kepada Allah SWT. Kata Anas bin Malik RA, 'كَانَ يُعْجِبُهُ الثُّفْلُ' Bahawa rasulullah SAW amat suka makan saki-baki sisa-sia makanan. [riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Hakim]

4. Memakai pakaian-pakaian yang baik dan cantik. Seorang lelaki bertanya Nabi SAW, apa hukumnya seorang lelaki yang suka memakai pakaian dan kasut yang cantik ? Maka baginda menjawab, "Allah itu cantik dan menyukai kecantikan". [riwayat Muslim]

5. Menghirup udara segar sambil menikmati kewangian bunga, kehijauan pokok, dan kesejukan angin. Firman Allah SWT : 'Apakah kamu tiada melihat, bahawasanya Allah menurunkan air dari langit, lalu jadilah bumi itu hijau? ' [Al-Hajj:63]

6. Keluar bekerja mencari rezeki dengan berniaga, mengambil upah atau menguasakan tanah, menternak binatang atau memburu dll. Firman Allah SWT 'dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan.' [An-Naba:11] Nabi SAW menyebutkan bahawa para rasul pun bekerja dan pernah menjadi pengembala kambing. Ada hadith lain menyebut, Nabi Zakaria ialah seorang tukang kayu. [riwayat Muslim]

7. Berkongsi nikmat rezeki dan hasil usaha dengan orang lain. Para sahabat RA pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa mereka makan tetapi tak pernah kenyang maka baginda pun berkata mungkin kamu makan sendiri-sendiri? Lalu mereka pun membenarkan. Maka Nabi SAW bersabda : Makanlah berjamaah dan sebutlah nama Allah maka nescaya makanan itu akan menjadi berkat. [riwayat Abu Daud]

8. Bernikah dengan pasangan yang soleh/solehah jika bujang dan menjalinkan hubungan mesra dengan ahli keluarga serta anak-anak. Dalam hadith menyebut kelebihan menjalinkan silaturrahim seperti keberkatan rezeki dan dipanjangkan umur.

9. Mencari ilmu dan meluaskan pengetahuan dengan membaca dan menghadiri majlis-majlis pengajian. Ilmu mencerahkan akal dan melapangkan jiwa yang sempit dan membuka pintu kegelapan serta menerangi kehidupan. Kata Sahl bin Abdullah, Tulislah ilmu kerana jika engkau mampu bertemu dgn Allah sambil membawa buku dan pena maka lakukanlah.

10. Bersahabat dengan orang-orang yang soleh. Persahabatan merungkaikan gelisah dan menghilangkan kebosanan. Nabi SAW berpesan, Janganlah bersahabat kecuali dengan orang yang beriman dan jangan pula memakan hidanganmu melainkan orang yang bertakwa.” [Riwayat Abu Daud dan At Tirmizi]

Akhirnya pesan Syeikh Abd Rahman al-Sa'di, Seorang muslim itu patut bersegera melakukan kebaikan serta ibadah dan mengabaikan kesusahan serta menikmati keperitan hidup kerana apa yang terdapat disisi Allah itu lebih bernilai dan disediakan oleh Allah untuk mereka yang masuk ke syurgaNya. [Al-Qawl al-Sadeed ala Maqaasid Kitab Al-Tauhid]