Barangkali setiap hari aku OKU

Rabu, 8 Januari 2014
Wah! Mata masih dapat melihatlah.

Wah! Telinga masih dapat mendengarlah.

wah! Hidung masih boleh sedut udaralah.

Mulut pun masih berfungsi.

Apatah lagi tangan ini, sedang menaip setiap apa yang difikirkan.

Kadangkala tidak terasa bertapa mahal dan berharganya nikmat Allah ini.

Tidak ternilai kerana kita tak pernah kehilangannya.

Dan tidak pernah pula ia memboikot kita untuk tidak berfungsi sekiranya ia digunakan untuk melakukan maksiat.

Kalaulah pancaindera kita secara automatik tidak berfungsi, mogok kerana maksiat yang kita buat, barangkali setiap pagi kita BANGUN DALAM KEADAAN CACAT.

Betapa kasih dan sayangnya Allah.

Alhamdulillah.

Perlumbaan antara kura-kura dan arnab : Gerakerja dakwah kita bagaimana ?

Sabtu, 2 Mac 2013

1.       Arnab ajak kura-kura berlumba. Kura-kura bersetuju. Maka, berlakunya perlumbaan antara arnab dan kura-kura. Semasa perlumbaan, arnab mendahului kura-kura begitu jauh. Arnab yakin dia akan menang. Maka, arnab tidur sekejap. Kura-kura yang ketinggalan dibelakang terus melangkah dengan perlahan-lahan dan akhirnya hampir tiba ke garisan penamat. Arnab terbangun dari tidur dan terkejut melihat kura-kura sudah hampir ke garisan penamat. Arnab terus berlari sepantas yang mungkin untuk memintas kura-kura tetapi akhirnya tidak berjaya kerana kura-kura melintasi garisan penamat dan memenangi perlumbaan.

2.       Arnab tidak berpuas hati. Arnab mengajak kura-kura untuk berlumba sekali lagi. Maka, perlumbaan berlaku sekali lagi. Akhirnya, arnab memenangi perlumbaan itu.

3.       Kura-kura tidak puas hati. Kura-kura memberi cadangan untuk memutuskan laluan perlumbaan mengikut kesesuaiannya dan dipersetujui oleh arnab. Sekali lagi berlaku perlumbaan. Arnab mendahului tetapi tersekat di tebing sungai kerana garisan penamat berada di seberang sungai. Kura-kura yang melangkah lambat akhirnya memenangi perlumbaan setelah berenang menyeberangi sungai dan melintasi garisan penamat.

4.       Kali ini, arnab pula yang tidak berpuas hati dan meminta laluan perlumbaan dibuat mengikut kesesuaiannya. Perlumbaan berlaku dan arnab sekali lagi mendahului perlumbaan. Ketika arnab hendak melintasi sebuah jambatan usang, tiba-tiba, jambatan itu runtuh. Arnab tidak dapat melintasi jambatan usang itu kerana ada sungai. Kura-kura yang melangkah lambat tiba di jambatan usang dan tersenyum melihat arnab tidak dapat melintasi jambatan usang yang sudah runtuh itu. Tanpa berlengah, kura-kura pergi ke tebing sungai untuk melintasi sungai. Tetapi, terdetik rasa kasihan kepada arnab. Lantas, kura-kura pun mengajak arnab melintasi sungai. Arnab naik di atas cengkerang kura-kura dan mereka merentasi sungai itu bersama-sama. Akhirnya, mereka bersetuju untuk memenangi perlumbaan itu secara bersama-sama.

Pengajaran mengikut nombor di atas :

1.       Kalau dulu gerakerja kita perlahan-lahan. Orang kata ‘slow and steady’ ini tiada masalah. Dakwah masih berjalan seperti biasa.
2.       Gerakerja kita perlahan-lahan tidak cukup. Sekarang mesti cepat dan terancang.
3.       Setiap kita mempunyai peranan dan kelebihan masing-masing dalam kita organisasi. Peranan dan kelebihan itu perlu dimanfaatkan sehabis mungkin dalam kita bergerakerja.
4.       Tidak cukup kita hanya mempunyai peranan dan kelebihan tertentu dalam organisasi. Maka, perlunya juga kita dibantu dan membantu orang lain dalam organisasi agar gerakerja kita menjadi efisyen dan efektif.

“Seungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh” 
(Surah as-Soff: 4) 


GERAKERJA ANDA DI NOMBOR MANA SETAKAT INI ?
AYUH SAHABAT KITA MENJADI LEBIH BAIK DARI SEMALAM !!!

Jatuh Cinta Sebagai Ibadah

Selasa, 11 Disember 2012
Seorang yang mentaati Allah dan bergelar mukmin tidaklah bermakna dia tidak akan jatuh cinta atau memiliki fitrah untuk berpasangan. Bezanya cuma dia menjadikan cintanya itu sebagai ibadah manakala orang ramai selalu menjadikan cinta itu sebagai dosa dan derhaka kepada Allah. 

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah tentang orang beriman yang jatuh cinta, 'فأما إذا ابتُلى ب
العشق وعف وصبر ، فإنه يثاب على تقواه لله ' Adapun jika dia diuji dengan cinta (rindu) namun dia menjaga kehormatannya dan bersabar maka sesungguhnya dia mendapat pahala di atas bertaqwa kepada Allah. [Majmuk Al-Fatawa]

Ada 3 cara menjadikan cinta sebagai ibadah :

1. Menginginkan kebaikan kepada orang yang dicintai. Tidak salah menyukai seseorang kemudian menginginkan kebaikan menimpanya seperti berdoa untuknya, melakukan kebaikan atau membantunya dll.

2. Tidak melalaikan diri dan orang yang dicintai dari mengingati Allah sebaliknya menjauhi perkara yang haram serta berusaha dengan jalan yang halal untuk bernikah atau beriman kepada takdir dan bersabar jika tidak berhasil memilikinya. Orang yang beriman cintanya 'diinsurankan' oleh keyakinan dan percaya pada rahmat Allah.

3. Sentiasa meletakkan cinta kepada Allah melebihi cinta kepada makhluk dan menjadikan cinta kepada manusia dan pasangan sebagai tanda kesyukuran kepada rahmat Allah. Dalam apa jua keadaan, seorang yang beriman sentiasa meletakkan kecintaan dan kebenciannya menurut kehendak Allah. Cinta dan benci kerana Allah SWT.

10 cara mudah untuk menikmati hidup - 'How to Enjoy Life'

Sabtu, 8 Disember 2012

Ramai orang yang hidup tetapi tidak menikmatinya kerana gagal menyedari nikmat dan rezeki kehidupan. Syukur ialah permulaan kepada sebuah kebahagiaan. Berikut ialah 10 cara mudah untuk menikmati hidup :

1. Bangun pagi dengan rasa syukur kepada Allah kerana masih berpeluang hidup.

2. Menghargai nikmat air ketika mandi (Fakta : 780 juta manusia di dunia ini tidak dapat menikmati kemudahan air bersih dan 660 juta tidak dapat mandi setiap hari - Sumber UNICEF)

3. Menikmati makanan bukan sekadar memakannya. Ramai orang makan tanpa 'mempedulikan' isi makanannya. Makanlah dengan perlahan, nikmati rasa garamnya, manisnya dan bersyukur kepada Allah SWT. Kata Anas bin Malik RA, 'كَانَ يُعْجِبُهُ الثُّفْلُ' Bahawa rasulullah SAW amat suka makan saki-baki sisa-sia makanan. [riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Hakim]

4. Memakai pakaian-pakaian yang baik dan cantik. Seorang lelaki bertanya Nabi SAW, apa hukumnya seorang lelaki yang suka memakai pakaian dan kasut yang cantik ? Maka baginda menjawab, "Allah itu cantik dan menyukai kecantikan". [riwayat Muslim]

5. Menghirup udara segar sambil menikmati kewangian bunga, kehijauan pokok, dan kesejukan angin. Firman Allah SWT : 'Apakah kamu tiada melihat, bahawasanya Allah menurunkan air dari langit, lalu jadilah bumi itu hijau? ' [Al-Hajj:63]

6. Keluar bekerja mencari rezeki dengan berniaga, mengambil upah atau menguasakan tanah, menternak binatang atau memburu dll. Firman Allah SWT 'dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan.' [An-Naba:11] Nabi SAW menyebutkan bahawa para rasul pun bekerja dan pernah menjadi pengembala kambing. Ada hadith lain menyebut, Nabi Zakaria ialah seorang tukang kayu. [riwayat Muslim]

7. Berkongsi nikmat rezeki dan hasil usaha dengan orang lain. Para sahabat RA pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa mereka makan tetapi tak pernah kenyang maka baginda pun berkata mungkin kamu makan sendiri-sendiri? Lalu mereka pun membenarkan. Maka Nabi SAW bersabda : Makanlah berjamaah dan sebutlah nama Allah maka nescaya makanan itu akan menjadi berkat. [riwayat Abu Daud]

8. Bernikah dengan pasangan yang soleh/solehah jika bujang dan menjalinkan hubungan mesra dengan ahli keluarga serta anak-anak. Dalam hadith menyebut kelebihan menjalinkan silaturrahim seperti keberkatan rezeki dan dipanjangkan umur.

9. Mencari ilmu dan meluaskan pengetahuan dengan membaca dan menghadiri majlis-majlis pengajian. Ilmu mencerahkan akal dan melapangkan jiwa yang sempit dan membuka pintu kegelapan serta menerangi kehidupan. Kata Sahl bin Abdullah, Tulislah ilmu kerana jika engkau mampu bertemu dgn Allah sambil membawa buku dan pena maka lakukanlah.

10. Bersahabat dengan orang-orang yang soleh. Persahabatan merungkaikan gelisah dan menghilangkan kebosanan. Nabi SAW berpesan, Janganlah bersahabat kecuali dengan orang yang beriman dan jangan pula memakan hidanganmu melainkan orang yang bertakwa.” [Riwayat Abu Daud dan At Tirmizi]

Akhirnya pesan Syeikh Abd Rahman al-Sa'di, Seorang muslim itu patut bersegera melakukan kebaikan serta ibadah dan mengabaikan kesusahan serta menikmati keperitan hidup kerana apa yang terdapat disisi Allah itu lebih bernilai dan disediakan oleh Allah untuk mereka yang masuk ke syurgaNya. [Al-Qawl al-Sadeed ala Maqaasid Kitab Al-Tauhid]

'Problem Sentence' VS 'Solvse Sentence'

Khamis, 27 September 2012

Izzati dan Halimah duduk di ruangan tamu rumah sambil menonton televisyen. Kebetulan, rancangan penyiaran pada ketika itu ialah berita jam 8 malam. Sambil-sambil menunggu cerita ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’ yang akan bersiaran pada jam 9 malam nanti, mereka bercadang untuk menonton berita dahulu. Adalah juga sedikit sebanyak maklumat dan isu semasa yang diperolehi nanti.

Salah satu isu yang tergempar ialah kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sehingga kini. Banyak usaha untuk menangani masalah tersebut tetapi kadar kes buang bayi semakin hari semakin meningkat saban tahunnya.

“Halimah, kau tengok tu. Sampai naik muak dah aku tengok berita. Tak ada cerita lain lagi nak diceritakan. Sikit-sikit, kes buang bayi. Apa nak jadi la dengan manusia akhir zaman sekarang ni,” luah Izzati dengan nada marahnya.

“Ye lah, dah jenis lelaki bernafsu serakah. Bila dah macam dirasuk, akal tak dapat nak fikir sangatlah. Perempuan tu pun satu, suka sangatlah dengan mamat-mamat macam tu. Dah mengandung baru terasa seribu satu penyesalan. Benda dah jadi, baru nak insaf.” Jawab Halimah.

“Kenapa tak hukum je perempuan yang buang bayi tu. Hukum dengan sekeras-kerasnya.
Yang lelaki tu pun sama juga. Baru mereka rasakan nanti. He he he.” Izzati ketawa.


‘Problem Sentence’ vs ‘Solve Sentence’

Dialog di atas sebenarnya hanyalah satu contoh untuk menunjukkan cara manusia berbicara dan berfikir.

Dalam pemerhatian saya sehingga kini, kebanyakan daripada kita seringkali menggunakan dua jenis ayat apabila membicarakan sesuatu isu iaitu ayat penyelesaian dan ayat masalah.

Dalam pemerhatian saya juga, kebanyakan daripada kita lebih menggunakan ayat masalah berbanding ayat penyelesaian. Situasi dialog di atas adalah merupakan ayat masalah.

Saya berfikir, jika sekiranya dialog-dialog seumpama ini menjadi amalan majoriti manusia ketika berbicara, maka, saya tidak menjadi hairan mengapa isu-isu semasa yang berkaitan dengan kes buang bayi dan pelbagai lagi isu lain tidak akan selesai.

Saya bukanlah hendak mempertikaikan cara manusia bertutur tetapi ingin memberitahu bahawa dengan bicara kita menggunakan ayat masalah sebenarnya tidak merubah apa-apa masalah. Bicara kita hanyalah bicara picisan sehingga dikhuatiri membuang masa sahaja. Bercerita bukan main panjang. Tetapi, tergantung dan tiada apa yang berubah bahkan semakin parah.

Sepatutnya, bicara dan berfikir kita biarlah dengan ayat penyelesaian. Bila berbicara akan sesuatu isu, pasti akan ada jalan keluarnya. Paling kurang pun, kita dapat mengajak orang lain berfikir risau bersama-sama. Dan, lebih baik lagi, apabila kita dapat sama-sama membantu menyelesaikan masalah yang dibicarakan.

Sesuatu masalah akan dapat diselesaikan bila kita sedar dan mampu mengubah cara berfikir kita. Bila ramai orang mampu berfikir dan berbicara dengan ayat penyelesaian sebenarnya akan memudahkan urusan kehidupan kita dan manusia di sekeliling kita.

Meluahkan masalah, lantas bercerita tanpa arah tuju dan titik temu, itu ‘problem sentence’.
Menyatakan masalah, lantas membina kaedah dan mencambah solusi, itu ‘solve sentence’.
Arahnya perlu solusi.
Solusinya perlu konklusi.