Memaparkan catatan dengan label Baitul Muslim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Baitul Muslim. Papar semua catatan

Perkahwinan Itu Bukan Perniagaan

Rabu, 19 September 2012



Bakal mertua : "Anak makcik belajar tinggi kat oversea dulu. Makcik tak nak letak harga. Tapi biarlah berpatutan. Selalunye yang belajar tinggi dalam lingkungan 20ribu. Tapi inilah satu-satunya anak perempuan makcik. Harap faham-fahamlah ye.”

Bakal menantu : "Saya paham maksud makcik. Tapi saya harap makcik pun pahamlah ye. Kalau terlampau tinggi, terpaksa ditangguhkan nanti. Biarlah dicepatkan, biar jauh dari maksiat "..

Bakal mertua : "Kalau kamu tak mampu, anak makcik ni bukan tak laku. Ada berderet lagi yang tengah tunggu. Kalau harga rendah, nanti apa pulak orang cakap."

Bakal menantu: "Kalau makcik nak jual anak makcik macam jual kereta, kita buat macam ni. Sekarang jugak saya bayar DOWNPAYMENT 2ribu. Saya bawak balik anak makcik, malam ni saya TEST DRIVE dulu semua.. Kalau barang dalam semua bagus, jangan cakap 10ribu.. 12ribu pun saya berani letak. tapi kalau dah LEMAU, ENJIN pon tak bagus, anak makcik sekali dengan deposit tu makcik boleh simpan.

Bakal mertua : @$%@#@#$%^#@#$^&&%#@

* nak berniaga atau nak dapat keberkatan ?

Hati Kami Tidak Cacat

Ahad, 9 September 2012

"Mahukah engkau menjadi isteriku?" Soal Azman.
Azrina yang mendengar lontaran soalan itu terkejut sebentar. Dia tidak menyangka soalan itu akan muncul dalam ruang nafas waktunya.
Azman mula berkenalan dengan Azrina ketika dia belajar dan bekerja di salah sebuah bengkel di Negeri Sembilan sejak beberapa tahun yang lepas. Azman begitu serius dan bertekad untuk menikahi Azrina agar menjadi isteri yang sah sebagai pendamping hidupnya selepas ini.
Akhirnya, Azrina telah membuat keputusan dan bersetuju untuk menjadi isteri kepada Azman. Mereka tahu bahawa keputusan ini agak sukar kerana risau akan menjadi perhatian umum masyarakat kelak.
Tetapi, kerana inginkan hubungan yang halal dan cinta yang diredhai Allah SWT mereka nekad dan bersepakat untuk melalui kesusahan yang bakal dihadapi bersama-sama.
Tidak perlu didengar kata-kata serong orang.
Tidak perlu terasa ejekan menyindir.
Tidak perlu ditangisi senyuman sinis.
Kerana setiap kesusahan pasti ada kesenangannya nanti.
Setelah beberapa bulan, maka, berlangsunglah majlis perkahwinan di antara Azman dan Azrina. Majlis yang diadakan tersebut cukup sederhana. Semuanya berjalan dengan lancar sekali.
Kebetulan, seorang wartawan tempatan turut berada di majlis mereka memandang majlis perkahwinan tersebut serentak dengan jamuan hari raya Aidilfitri anjuran sebuah persatuan bengkel tempat Azman bekerja.
Pada mulanya, wartawan tersebut hanya hadir atas jemputan pihak persatuan untuk mendapatkan maklumat dan liputan semasa majlis tersebut agar dapat dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan pada keesokan harinya. Tetapi, entah mengapa dia juga amat tertarik dengan majlis perkahwinan Azman dan Azrina.
Ada sesuatu yang istimewa.
Usai majlis perkahwinan dan jamuan hari raya Aidilfitri, wartawan tersebut terus berjumpa dan sempat bertanyakan soalan kepada Azman.
"Tahniah atas perkahwinan anda berdua," wartawan tersebut memulakan bicara.
"Tetapi, sudahkah encik berfikir masak-masak sebelum mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan ini ? Tidak risau ke dengan pandangan masyarakat sekeliling nanti ?" wartawan tersebut meneruskan bicaranya lagi.
Wartawan tersebut terkesan dihatinya apabila Azman menjawab soalan yang ditanyakan olehnya.
Siapa sangka soalan itu dijawab oleh Azman dengan senyumannya yang melebar.
Menampakkan keikhlasannya menjawab.
"Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama seperti insan normal yang lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu saya nekad mendirikan rumahtangga walaupun sedar keadaan diri tidak sempurna," kata Azman yang kini berusia 32 tahun.
"Saya memberanikan diri melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri," sambung Azman.
Rupa-rupanya, Azman lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas demam panas ketika berumur setahun. Perkenalannya dengan Azrina yang juga cacat anggota kaki empat tahun dulu menyemai bunga kecintaan sehingga bergelar suami isteri yang sah kini.
Cinta ini tidak mengenal siapa dan bagaimana keadaan orang itu. Apabila datangnya kesungguhan, maka, bersiap sedialah untuk mendambakan cinta yang ikhlas dan mengharungi segala onak dan duri bersama-sama. Sabar menempuh jalan dalam mengharungi ujian Tuhan.
Hanya doa itu yang menjadi penguatnya. Seringkali dilafazkannya. Doa dari al-Quran :


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata : “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Al-Furqan 25: ayat 74


Baitul Muslim : Di mana kebenarannya

Rabu, 29 Ogos 2012

Ada seorang teman baik berkongsi catatan buku 555 nya semalam.

Kahwin RM 20k.
Hutang kereta RM40k.
Kalau nak beli rumah RM 250k.
Belanja adik beradik yang masih sekolah tidak dapat PTPTN dalam RM 80k (hingga habis Universiti).
Gaji baru RM 1.5k.

Perbelanjaan sebulan:

1. Simpanan kahwin - RM 200
2. Bayar kereta - RM 500
3. Simpanan untuk membeli rumah - RM 300
4. Belanja adik beradik dan mak ayah - RM 400
6. Duit makan sebulan campur minyak - RM 200
7. Wang hangus - RM ??

= (akaun negatif hujung bulan) !

Kalau ikut kiraan ilmu hisab, 8 tahun 3 bulan barulah kawan ini boleh bergelar pengantin.
Kalau umur mula bekerja 25 tahun. ( anggaplah 1 tahun hangus sebab 'tanam anggur' )
Umur 33 tahun 3 bulan baru jadi suami orang!
Itu tidak termasuk bayar PTPTN untuk diri sendiri tu..

Dia kata, padanlah anak muda sekarang ini kalau menderma ke tabung masjid RM 1 sahaja.
Sebab sudah boleh dikategorikan sebagai Al-Masakin wal-Fuqara'.

Hehe, betul juga rasanya.


"Sebaik-baik perempuan adalah yang paling murah maharnya"
( HR. ibnu Hibban, Hakim, Baihaqi, Ahmad )



#Kesimpulannya, benarlah kata Hadis wanita yang terbaik adalah mereka yang rendah maharnya (termasuk hantarannya. Sebab zaman Nabi tiada istilah hantaran).



Kesian kat bakal suami.

Jom tolong kempen !


share : anugerahcinta86.blogspot.com

Baitul Muslim : Kek atau Durian ?

Rabu, 23 November 2011

Bismillahirrahmaanirrahiim,

Setiap insan ingin mempunyai pasangan dan keluarga kerana ianya adalah fitrah bagi setiap insan, namun adakah keluarga yang dibina tersebut adalah bercirikan Baitul Muslim? Untuk mempunyai keluarga yang bercirikan Baitul Muslim setiap individu bukan saja perlu menjadi Individu Muslim malah perlu bijak dalam memilih pasangan kerana pernikahan antara Individu Muslim dengan Individu Muslim bukan saja akan membina Baitul Muslim malah akan terbina juga Baitul Dakwah. Maka mampukah Baitul Muslim dan Baitul Dakwah berdiri teguh seandai kita “kurang bijak” dalam memilih pasangan hidup?

Statistik penceraian menunjukkan bahawa berlakunya penceraian setiap hari.Banyak penceraian berlaku berpuncakan tidak wujudnya “Pernikahan Fikrah”. Mustahil si suami dan si isteri mampu berganding bahu memartabatkan Islam seandai salah seorang atau kedua-duanya tidak mempunyai Fikrah Islami dan amat mustahil si suami dan isteri mampu saling memahami tuntutan tanggungjawab pasangannya ke atas masyarakat seandai tidak sefikrah atau tidak saling memahami. Dasar sebuah pernikahan bukanlah hanya sekadar memuaskan nafsu diri secara halal tetapi dasar sebuah pernikahan yang sebenar adalah untuk membina sebuah kekeluargaan Islam yang mampu menjadi agen kepada gerakan Islam yang bakal membantu wujudnya semula Khilafah Islamiah[Individu Muslim ► Kekeluargaan Islam ► Masyarakat Islam ► Negara Islam ► Khilafah Islamiah (Kerajaan Islam)]

Kek atau Durian?

Kek dilihat sungguh enak untuk di makan , berkrim namun ia tidak tahan lama malah kemungkinan sudah mempunyai kulat kerana dihinggap oleh lalat kerana dijual secara dipamerkan. Itu lah peribaratan buat golongan yang mendedahkan aurat atau hubungan sosial yang tidak terjaga , mungkin dilihat mengikut kaca mata yang bernafsu serakah ianya cantik namun apa gunanya suatu kecantikan itu seandai sudah ada tangan-tangan gatal yang mengusik ia.

Buah durian dilindungi oleh duri-durinya. Untuk merasa keenakkan buahnya perlu menunggu kematangan buah tersebut dan dibuka untuk mengambil isinya. Walaupun adakala isinya kurang manis atau rosak kerana berjaya ditebuk oleh tupai dan monyet namun sekurang-kurangnya masih ada isinya yang masih boleh di makan.Namun durian yang isi yang cantik juga tetap akan cuba dicari oleh si tupai dan si monyet. Ia juga boleh diibaratkan buat golongan yang menjaga akhlak dan perilaku. Duri-duri buah durian ibarat penjagaan akhlak dan perilaku. Mungkin ada sebilangannya mempunyai kisah silamnya yang tersendiri namun dan cuba diganggu oleh “golongan perosak” namun sekurang-kurangnya ia telah bertaubat dan masih mempunyai kebaikan yang perlu dihargai.

Pilih Memilih

Saya bukanlah hendak memburukkan golongan yang diibarat seperti kek , namun untuk pemilihan pasangan hidup perlulah difikirkan bukan saja untuk kebahagiaan didunia namun untuk kebahagiaan di akhirat kelak.

Golongan yang diibaratkan seperti kek juga perlu difahami dengan proses dakwah dan tarbiah .Bukan untuk pernikahan menjadi pasangan hidup tetapi untuk di tarbiah untuk memastikan wujudnya Masyarakat Islam. Mungkin akan ada yang berkata “Dakwah dan tarbiahlah dengan pernikahan” , namun persoalan utama mampukah proses dakwah dan tarbiah itu diwujudkan selepas pernikahan? Tidak semua orang mampu menjalankan proses dakwah dan tarbiah ke atas pasangannya selepas alam pernikahan jika fikrah pasangannya masih “Zero” kerana bukan mudah mewujudkan “From Zero to Hero” di alam pernikahan.

Memilih bakal suami atau isteri yang mampu menjadi “payung atau tongkat” dalam menjalani kehidupan adalah amat penting. Si suami suatu hari nanti kemungkinan akan menjadi bapa dan si isteri pula kemungkinan akan menjadi ibu maka persediaan untuk berumah tangga bukan saja persediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri saja malah perlu persediaan untuk menjadi ibubapa.Si suami bukan saja perlu kewangan yang cukup untuk menjaga isteri dan anaknya tetapi perlukan didikan agama untuk mendidik isteri dan anak mengikut acuan Islam. Si isteri pula bukan saja perlukan kemahiran memasak dan menjahit tetapi perlu juga didikan agama untuk mendidik anak dan menjaga maruah keluarga.

Kesilapan dalam memilih pasangan hidup adalah tindakan merancang kemusnahan rumah tangga!Kesilapan kita dalam memastikan si suami dan isteri memahami Islam dan saling memahami satu sama lain adalah punca berlakunya kerosakkan rumah tangga dan penceraian. Mampukah si suami mendidik isteri dan anak seandai si suami sendiri tidak memahami Islam? Mampukah si isteri menjaga maruah keluarga dan mendidik anak seandai si isteri tidak memahami Islam? Mampukah anak-anak di didik dengan acuan Islam seandai ibubapa sendiri tidak memahami Islam?

Islah dan Pilih

Kita bukan saja bertanggungjawab untuk bijak memilih pasangan hidup tetapi kita juga bertanggungjawab mengubah diri sendiri ke arah lebih baik.Seandai kita mahukan kebahagiaan rumah tangga dengan adanya isteri atau suami dan anak yang baik maka kita juga perlu menjadi seorang yang baik.

Cermin diri kita!Seandai kita mahukan isteri yang solehah maka kita perlu menjadi si soleh dan seandai mahukan si suami yang soleh maka kita perlu menjadi si solehah.Jadilah si soleh atau solehah sebagai usaha untuk mendapat si suami yang soleh atau isteri yang solehah dan anak yang soleh solehah.Selepas kita berusaha menjadi si soleh solehah baru lah kita layak mencari insan yang soleh solehah sebagai pasangan hidup.

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (٢٦)

26. (lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia.
(Surah An Nuur : Ayat 26)

Wallahua’lam.

kredit to blogger : www.ismiazraf.com

Kaya Tidak Mesti Bahagia....

Selasa, 21 Julai 2009
Oleh ZUARIDA MOHYIN


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut?

KAU mesti ingat, perkahwinan itu bukan untuk sehari dua. Sebaliknya, ia untuk selama-lamanya. Sebab itu, susah senang kena hadapi bersama. Mungkin pesanan ini sering kali disampaikan atau diperturunkan kepada pasangan pengantin oleh orang tua-tua sebagai pendedahan melangkah ke alam hidup berumah tangga.

Malah semakin usia perkahwinan melangkah ke hadapan melepasi fasa pertama dan pada masa yang sama, bahtera perkahwinan terus menerus mengharungi cabaran semasa. Kesabaran menangani asam garam dalam kehidupan berkeluarga, akhirnya diraikan dengan pelbagai cara.
Pun begitu, tempoh sedekad atau sehingga mencapai sambutan sempena jubli perak atau jubli emas sekalipun, tidak akan membawa apa-apa pengertian andai ia dinilai dari sudut usia semata-mata. Aspek seperti matlamat, tujuan dan perlaksanaan syariat hidup berumah tangga Islam itulah yang seharusnya turut diambil kira.




Sayangnya, penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan.

Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri kita, adakah perkahwinan kita itu sarat dengan unsur-unsur seperti kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan? atau adakah ia sekadar angka yang hendak dibanggakan?

Hakikatnya, menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak, pun begitu sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Malah setiap manusia tidak kira bangsa, agama, status dan usia mendambakan kehidupan berkeluarga yang harmoni dan bahagia.

Mengulas tajuk forum dalam Seminar Rumahku Syurgaku - Kau Dekat di Hati iaitu 'Selaut Kasih, Segunung Sayang' anjuran anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial & Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Masjid Negara kata Sharifah Hayaati, seperkara yang tidak dapat dinafikan apabila menyentuh dan menyebut tentang kasih sayang Allah, ia memang melaut. Apatah lagi, laut itu tidak bertepi.
Malah, beliau turut menyarankan agar setiap insan, sama ada isteri mahupun suami mesti selalu menadah tangan kepada Yang Maha Kuasa, Allah SWT meminta agar dikurniakan rumah tangga yang diibaratkan syurga di dunia.

"Rumah tangga itu adalah satu ibadat dan nikmat Allah SWT, jadi kita patut baca balik atau semak semula serta membuat muhasabah diri. Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut?

"Jangan sesekali kita mengambil kesempatan atas panjangnya tempoh perkahwinan kita itu. Ini bermaksud, dari dahulu hingga sekarang, perkahwinan kita itu janganlah begitu sahaja. Yang penting bunga-bunga cinta itu perlulah sentiasa dimekarkan dan disemarakkan selalu agar elemen bahagia itu berkekalan sehingga ke hujung hayat.

"Malah kita kena selalu tanamkan dalam diri, bahawa setiap kali kita menghadiri majlis ilmu, khususnya berkaitan hubungan suami isteri, kita kena pasang niat bahawa tujuannya adalah semata-mata untuk mendapatkan kebahagiaan dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.
"Begitu juga kalau ada masalah, itulah lumrah rumah tangga seperti lidah yang ada ketikanya tergigit. Maka, minta Allah perbetulkan. Kalau ada kasih sayang yang tidak ditunjukkan, maka disegar dan dibugarkan," terang beliau.

Menurut Sharifah Hayaati, ini kerana setiap pasangan itu sendiri akan boleh mengetahui dan merasai sekiranya hubungan itu tidak ada kekuatan kasih sayang.
Kata beliau lagi, ramai di antara kita yang tidak nampak atau perasan dengan nikmat yang dikurniakan-Nya dan apabila disedari ia sudah terlambat iaitu apabila ia sudah tiada.
Contohnya nikmat tidur atau makan, ia disedari setelah kita mengalami kesakitan, begitu jugalah dengan kebaikan suami atau isteri, ia disedari setelah mereka tiada lagi.
Menurut Sharifah Hayaati, Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah.

Oleh itu, untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:


Rumahku adalah syurgaku, ia memerlukan kepada kekayaan hati.
Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah yang bermaksud:


Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup serta bersyukur terhadap nikmat yang dimiliki, maka apa juga yang melanda dalam rumah tangga, ia mampu ditangani secara bijaksana.

Sifat-sifat mulia

"Justeru, dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur dan sebagainya," katanya.

Di samping itu, dalam konteks membina 'syurga' dalam rumah tangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak demi melahirkan rasa tanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing.

"Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemaikan nilai-nilai murni kepada mereka," ujar beliau.

Sementara itu, Kaunselor Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat pula menjelaskan, dalam konteks kasih sayang atau membina kasih sayang khususnya hasrat membina rumah umpama syurga, antara kriteria yang perlu ada ialah penghuninya hidup dengan berkasih sayang.

Ulas beliau, syurga itu terbina daripada asas perkataan; Shim, Ra, Ga dan Alif. Shim itu bermaksud seronok. Dalam konteks rumah tangga misalnya, suami dan isteri itu perlu saling seronok.

Ia lebih terletak pada wajah, layanan dan sebagainya yang akan melahirkan bibit-bibit kasih sayang. Lagu Nash, Ada Syurga Di Wajahmu amat sesuai dihayati.

Ra pula bermakna riang yang menjurus kepada layanan secara jujur dan ikhlas daripada suami atau isteri. Manakala Ga pula ialah gaya kehidupan.

"Sayangnya, ramai yang terleka dalam aspek ini, terlepas pandang atau mengambil mudah. Oleh itu, selagi kita mengamalkan gaya hidup berkeluarga sebagaimana yang digariskan oleh Allah SWT, insya-Allah akan terbinanya rumahku syurgaku itu. Yang akhir iaitu Alif, yang bermaksud isteri dan anak-anak," jelas beliau.

Norazman dalam ceramahnya turut menekankan soal kepentingan setiap pasangan suami isteri itu menunjukkan kasih sayang secara pengucapan dengan kata-kata pujian dan ungkapan romantis. Malah hubungan ini akan bertambah kuat dan kukuh, sekiranya disertakan dengan bahasa badan.

"Adakah sayang itu berterusan sampai sekarang? Itulah yang perlu ditanyakan kepada diri individu setiap pasangan yang berkahwin. Perkataan sayang itu ada tidak disebutkan kepada pasangan masing-masing dari dahulu hingga sekarang?

"Malangnya, dalam budaya orang Melayu, kalau si suami atau si isteri itu menyebut benda-benda yang elok seperti pujian sayang, dianggap sudah buang tabiat. Itulah yang salah dan persepsi inilah kena diubah oleh pasangan berkahwin," tegasnya bahawa sayang itu tidak bertepi, tidak berhenti dan tidak hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata.
Menjelaskan tentang mencari keseimbangan dalam suasana rumah tangga dwi kerjaya pula, kata Norazman, senario sebegini memang bukanlah sesuatu yang janggal.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua suami isteri zaman sekarang kena keluar bekerja demi memenuhi kehendak di dalam rumah tangga dan perkembangan semasa kehidupan. Pun begitu, janganlah benda atau material itu menjadi tekanan kepada rumah tangga. Contohnya, meniru atau membandingkan gaya hidup dengan orang lain seperti jiran atau teman.

"Keperluan kehidupan itu walaupun perlu ada tetapi biarlah ia berpadanan, berpatutan atau berwajaran dengan kemampuan yang ada. Malah walaupun mampu, adakah ia satu keperluan? Jika tidak perlu tetapi kita tetap mengingininya, lantas dalam konteks agama Islam, di situ sudah berlaku pembaziran.

"Hari ini fenomenanya, ramai suami isteri yang dwi kerjaya maka wujud di situ tanggungjawab bersama. Namun tidak lari daripada konsep, isteri berkerja membantu ekonomi keluarga manakala suami tunggak dalam rumah tangga. Oleh itu, resipi yang perlu ada dalam rumah tangga dwi kerjaya iaitu kenalah dilakukan perancangan kewangan bersama," terang Norazman. Bekerja bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas tetapi kena bijak merancang kewangan seperti peruntukan untuk pendidikan anak-anak, pinjaman, tabungan yang semuanya demi keharmonian, kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga.

Oleh itu, pesanan beliau, lelaki atau perempuan masing-masing mempunyai peranan dalam kehidupan di dunia untuk menjayakan wawasan hidup berkeluarga. Di samping itu, kita juga kena beringat bahawa setiap yang Allah beri itu, akan ditanyakan oleh-Nya terutamanya berkaitan harta yang dimiliki, masa, usia dan sebagainya.

Kefahaman mengenai tanggungjawab rumah tangga dan kerjaya ini apabila difahami, disokong dan didokong maka masalah akan mengecil.

Pada majlis yang sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kesuma, Jakim, Zawiah Hassan mengatakan bahawa 99.5 peratus anak-anak yang bermasalah datangnya dari rumah tangga yang bermasalah. Rumah yang porak peranda adalah disebabkan oleh ibu dan bapa itu.
Lantaran itu, ibu bapa kini perlulah berusaha menyediakan suasana dan persekitaran rumah yang kondusif atau selesa bagi anak-anak mereka. Ini secara langsung, dapat mengelak anak-anak ini mencari kebahagiaan dan ketenangan di luar rumah.

"Perkara pokok yang perlu ada bagi setiap seorang daripada kita ialah belajar untuk menjadi orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Malah kita kena percaya dan mengakui bahawa tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia ini kecuali-Nya.

"Oleh itu, sebarang masalah, cabaran dan musibah itu adalah lumrah kehidupan. Yang mana perkara-perkara itulah menjadikan suami, isteri dan anak-anak lebih matang dalam melihat sesuatu situasi.

"Selain itu, kita persoalkan diri adakah kita ini benar-benar mengenali pasangan kita? Perkahwinan yang berkekalan lama, jangan dijadikan alasan untuk tidak menilai perkara ini semula. Hakikatnya, sifat kenal mengenali inilah kena sentiasa dinilai secara berterusan," kata beliau kerana kursus perkahwinan tidak mampu membendung perceraian.

Cadang Zawiah lagi, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menyemarakkan rasa cinta dan kasih dalam sesebuah keluarga iaitu; melaksanakan solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran, berzikir, beriadah, berpuasa, bergurau senda serta tidak kurang penting iaitu menghadiri majlis-majlis ilmu. Ini kerana katanya majlis ilmu itu adalah Raudhatul Jannah.

Seminar yang berlangsung di Dewan Solat, Majid Negara itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kesuma, Ghafani Awang Teh. Manakala moderator pada forum itu ialah Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno.

dipetik dari akhbar http://www.utusan.com.my/

Aku Nak Kahwin dengan yang beriman,cantik,poket tebal!!!

Sabtu, 18 Julai 2009

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Seketika sofa berbentuk bulat dengan meja kecil di tengahnya itu menjadi tumpuan pengunjung lain yang berdekatan.Namun kemudian, mereka kembali membuat hal masing-masing, hanyut dengan nikmat duniawi. Sebahagian besar pengunjung pula sudah asyik "bersenam" di ruang tari dengan rentak yang pelbagai.
"Engkau pulak macam mana bro?" Tanya Maman tiba-tiba kepada dua lagi rakannya yang juga berkepit dengan dua wanita seksi dan manja di sisi mereka. Kedua-duanya berpandangan dan senyum.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Aku prefer yang pakai tudung. Aku tahulah tak semua perempuan bertudung tu alim dan baik, sama saja. Tapi lebih sedap mata memandang, cewahh... Kemudian dia mesti pandai mengaji dan tahu banyak pasal agama, senang nak ajar anak mengaji nanti. Tak perlu keluar duit upah orang mengajar!' Jawab Zaki selamba sambil bermain-main dengan rambut kerinting wanita di sebelahnya.
"Aku nak yang bekerja, kalau boleh, gaji lebih daripada aku lagi ok. Senang tak payah aku nak keluar belanja banyak. Maklumlah kita ni kan eksekutif cabuk je, mestilah cari gaji yang besar." Mereka ketawa bersama. Wanita-wanita GRO di sisi mereka dipeluk erat, minuman alkohol pelbagai warna menjadi hidangan mereka setiap awal bulan.
Di suatu sudut pula, tiga orang wanita sedang rancak bersembang. Linda, berkanta lekap biru, berambut pendek tercacak, bergincu hitam, berkulit cerah, relaks bersandar sambil memegang gelas berisi air kuning berbuih.
"Mama aku dah bising, sibuk tanya bila nak kahwin. Tension betul aku!" Rungut Linda dengan wajah agak mencuka.
"Eh, bukan kau ramai boyfriend ke? Rezal, Faisal, Adin, takkanlah seorang pun kau tak boleh dibuat laki?" Sampuk Marisa. Dia menyedut lama rokok yang sudah tinggal separuh itu. Rambutnya yang spearuh bahu, lurus itu beberapa kali ditepis bila menutup matanya yang disolek tebal itu. Linda menghirup air dengan perlahan.
"Kalau aku, aku dah rembat si Faisal tu. Memanglah tak berapa nak handsome tapi poket dia "handsome" beb! itu penting untuk masa depan kita tahu!" Sampuk pula Riana, berambut perang panjang berombak. Wajahnya yang sedikit bulat itu, menjadikan dia semakin comel bila bibirnya dijuih. Linda menarik nafas panjang, pandangannya tertancap pada pengunjung yang semakin menggila di ruang tari itu apabila DJ memutarkan sebuah lagu popular.
"Memanglah si Faisla tu berpoket "handsome", masalahnya dia tu bendul sangatlah. Semua benda aku yang kena plan. Pergi makan sama pun, aku yang kena order semua. Pergi shopping pula, jangan harap dia nak keluarkan duit. Harap poket jer tebal, tapi "Haji Bakhil" tau. rezal, mamat tu pulak memanglah handsome tapi....very the poyo, semua dia yang terbest, eii...pleaseeee..." Jawab Linda panjang lebar sambil menyalakan lagi sebatang rokok.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Adin? Haa, mamat tu aku tengok baik je. Apa pulak kelemahannya?" Sampuk Rian sinis sambil tersengih kepada Marisa. Marisa mengangguk, tanda ingin tahu.
"Adin memang paling baik antara mereak bertiga. Sembahyang tak pernah tinggal, hormat orang lain, kerja pun bolehlah, walaupun gaji aku lagi besar, layan aku dengan baik tapi..." Linda menyedut rokoknya lama, membiarkan Riana dan Marisa menanti dalam saspens.
"Masalahnya, dia tu baik sangat." Linda menyambung ayat tergantungnya. Riana dan Marisa saling berpandangan.
"So, apa masalah engkau? Dah dapat yang baik, tak nak pula. Tak faham aku..." Ngomel Riana menggelengkan kepala.
"Dia baik sangat. dia tak pergi tampat-tampat macam ni. Bila aku ajak dia pergi ke disko, dia kata berdosa, siap bagi aku caramah lagi. Tak cukup dengan itu, dia suruh aku pakai tudung pula..." Riana berpandangan lagi dengan Marisa, kemudian mereka tergelak besar. Linda merenung wajah dua rakannya dengan selamba.
"Aku dah agak, sure you all akan ketawakan aku kan? Kau orang tanya aku, kau orang tak nak kahwin? tak ada calon lagi?" Linda menemplak.
"Aku nak cari lelaki macam Adin tulah. Beriman,bertanggungjawab dan boleh membimbing aku ke jalan yang betul." Riana menjawab tenang.
"Aku nak yang poket tebal, handsome, ada gaya dan pandai melayan aku bak puteri..." Sampuk Marisa pula.
"Tapi, mana nak cari putera idaman kita ni?" Mereka berpandangan sesama sendiri, kemudian deraian ketawa terhambur lagi.


Malam makin lewat, namun disko itu makin hangat dan makin ramai yang mengunjunginya. Pada mereka, tempat begini hanyalah untuk seronok-seronok atau enjoy. Tapi bila bab kahwin, semua mahukan lelaki/perempuan yang yg sesempurna boleh, baik, cantik, bertanggungjawab dan pelbagai lagi. Tapi tak sedar, diri sendiri perangai tak cantik....



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Surah An-Nur(24:26)
"Perempuan-perampuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji(pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik(pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki yang mulia(syurga)"