Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan

Rindumu Yang Tidak Pernah Pudar

Rabu, 16 Februari 2011

Dalam sebuah riwayat hadith dikisahkan :

Ketika itu baginda sedang duduk berkumpul bersama sahabat-sahabatnya.

Di antara para sahabat ada Saidina Abu Bakar,Umar,Utsman,Ali dan yang lainnya. Lalu kemudian baginda bertanya kepada para sahabat. Wahai sabahatku,tahukah anda siapakah hamba Allah yang mulia di sisi Allah?

Para sahabat terdiam.

Lalu kemudia ada salah seorang sahabat berkata : “Para malaikat ya Rasulullah,merekalah yang mulia”.

Baginda berkata: “Ya,para malaikat itu mulia. Mereka dekat dengan Allah dan mereka sentiasa bertasbih dan beribadah kepada Allah. Tentulah mereka mulia. Tapi bukan itu yang aku maksudkan”.

Lalu kemudian para sahabat kembali terdiam.

Tiba-tiba salah seorang sahabat kembali berkata : “Ya Rasulullah,tentulah para nabi. Merekalah yang mulia itu”.

Nabi Muhammad tersenyum.

Baginda berkata : “Ya,para nabi itu mulia. Mereka adalah utusan Allah di muka bumi. Bagaimana mungkin mereka tidak mulia,mereka mulia. Tapi ada lagi yang lainnya”.

Para sahabat terdiam.

Tertanya,siapa lagi orang yang mulia.

Hingga kemudian salah seorang sahabat berkata : “Ya Rasulullah,apakah kami sahabatmu ya Rasulullah,apakah kami yang mulia itu,ya Rasulullah?”.

Baginda memandang wajah sahabatnya satu persatu.

Baginda tersenyum melihat para sahabat.

Baginda berkata : “Tentulah anda mulia. Anda dekat denganku. Anda membantu perjuanganku. Bagaimana mungkin anda tidak mulia. Tentulah anda mulia. Tapi ada lagi lain yang mulia”.

Para sahabat terdiam. Mereka tidak mampu berkata-kata apa lagi.

Tiba-tiba baginda menundukkan wajahnya.

Tiba-tiba baginda menangis dihadapan para sahabat.

Para sahabat pun bertanya : “Mengapa kau menangis,ya Rasulullah?.

Lalu baginda mengangkat wajah dengan keadaan air mata berlinangan membasahi pipi dan janggutnya.

Baginda berkata : “Wahai sahabatku, tahukah anda siapa yang mulia itu? Mereka adalah manusia-manusia, mereka akan lahir jauh setelah wafatku nanti. Mereka begitu mencintai Allah. Dan tahukah kalian, mereka tidak pernah memandangku. Mereka tak pernah melihat wajahku dan mereka tidak dekat denganku seperti anda tapi mereka begitu rindu kepadaku. Dan saksikanlah wahai sahabatku semuanya,aku pun rindu kepada mereka. Mereka yang mulia itu….mereka ialah UMATKU”.

Baginda menitiskan airmatanya dan semua sahabatnya menangis.

Tanyalah kepada diri kita. Berbicaralah pada hati kita

Sudahkah kita mencintai baginda. Apakah sekadar meraikan perayaan maulidur Rasul sudah cukup untuk membanggakan diri kita sebagai umat Rasulullah

Mari kita menghayati bait-bait dibawah untuk kita muhasabah dan semarakkan kembali jika cinta kita kepadanya kian terhakis pada hati………….

Ya Rasulullah (Raihan)

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku tatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerana pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku kucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah, Ya Habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah, Ya Habiballah
Kami rindu padamu

Allahumma solli 'alaa Muhammad
Ya Robbi solli 'alaihi wassalim

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku dakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya Tuhan saja yang tahu

Ku tahu cintamu kepada umat (Umati umati)
Ku tahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami

Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu

No April Fool

Khamis, 1 April 2010

3 Mac 1924 : Sejarah Hitam Umat Islam

Rabu, 3 Mac 2010
3 MAC 1924, tahukah anda apakah peristiwa penting yg berlaku pada tarikh keramat ini? Ianya merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La’natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah; “Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam” .

Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah. Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah ‘Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin ‘Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata:

“Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda:

“Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka”

Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia (lihat rajah kawasan umat Islam pada abad ke 15) dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah:


”Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam”
[TMQ al-Anbiya’ 21:107]


Malapetaka ketiadaan Khilafah

Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan ke atas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara’ secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah.

Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh.


Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka. Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001]. Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya!!! [100 ways of seeing an unequal world – Bob Sutcliffe]. Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini, sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit, mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga...

Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas, hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin?? Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat.

Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk ’dipelajari’ bukan untuk diterapkan dan diamalkan. Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja (’ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.

Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara ’super power’ AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia?

Gambaran pemikiran umat Islam hari ini

Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh.

Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat.

Kewajiban mendirikan Khilafah

Pada saat ini umat Islam adalah bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya; kehinaan menimpa mereka di mana-mana. Mereka berusaha mencari kemuliaan dengan berbagai-bagai cara namun masih belum lagi menemuinya. Hakikatnya, inilah permasalahan ’hidup dan mati’ yang dihadapi oleh umat hari ini. Satu-satunya penyelesaian yang tuntas adalah dengan menegakkan semula Khilafah. Benar, menegakkan Khilafah bukanlah semudah mengatakannnya. Untuk meraih kejayaan ini, umat haruslah bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya melalui pengkajian, pembinaan dan perjuangan yang tidak kenal lelah. Usaha keras untuk mengembalikan Islam sebagai ideologi yang mendominasi dunia ini bukan sahaja merupakan satu-satunya jalan yang harus ditempuh oleh kaum Muslimin, malah, ia merupakan kewajiban setiap muslim untuk melakukannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kamu...”
[TMQ an-Nisa’ 4:59]

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda yang bermaksud;

”Siapa saja yang mati tanpa tanpa ada baiat (kepada imam/khalifah) di pundaknya, maka matinya adalah mati jahiliah” [HR Muslim].

Kedua-dua nas di atas menyatakan kewajiban setiap individu muslim untuk melantik (bai’at) pemimpin (Khalifah) yang akan menjaga urusan mereka. Namun kewajiban bai’at tersebut tidak akan terlaksana jika tidak ada orang yang hendak dibai’at. Oleh itu usaha untuk melantik atau mendirikan Khilafah itu sendiri menjadi pokok persoalan utama bagi memastikan tertegaknya Islam.
.
Realiti musibah demi musibah yang menimpa umat pada hari ini juga menunjukkan bahawa tidak ada cara lain yang lebih utama untuk mengembalikan kemuliaan umat yang terbaik ini selain dengan mendirikan semula Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah.

Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah;

”Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.”
[HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah]

Jalan untuk mendirikan semula Khilafah

Khilafah adalah bentuk sistem pemerintahan Islam seperti yang diamal dan dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mendirikan Khilafah bukanlah usaha yang berbentuk individu, namun, ia merupakan usaha yang berbentuk jamaah. Bagi memastikan bahawa jamaah ini bergerak di atas jalan yang benar, ia haruslah memiliki fikrah (pemikiran) dan tariqah (jalan/kaedah) yang jelas dan benar. Dan kebenaran hanya dapat diperoleh dari nas yang kuat. Dengan kejelasan dan kebenaran fikrah dan tariqah ini, jamaah tersebut akan dapat bergerak memimpin umat menegakkan semula Khilafah. Pada masa yang sama, setiap individu muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh, bersama dengan jamaah ini ke arah mengembalikan kehidupan Islam. Ini sesuai dengan kaedah syara’ yang berbunyi;

”Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”

Menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu kewajiban. Ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islam merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syara’. Kini Khilafah tidak wujud. Mewujudkan Khilafah menjadi suatu kewajiban dan tanpa jamaah, kewajiban ini tidak akan dapat dijalankan. Dan selagi jamaah ini masih belum berjaya menegakkan Khilafah, maka di atas setiap pundak kaum Muslimin ada kewajiban untuk bersama-sama jamaah ini menegakkan Islam.

Allah berfirman di dalam surah Al Imran ayat 104.


“Dan hendaklah ada daripada kamu satu umat (jamaah); mereka menyeru kepada kebaikan mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah perkara munkar dan mereka adalah orang-orang yang berjaya”

Wahai kaum muslimin,

Semenjak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924, umat terus ditimpa musibah yang tidak putus-putus. Umat, meskipun berada dalam keadaan yang tertekan, terus berpecah-belah dan saling bertelagah. Namun keadaannya berbeza dengan kaum kuffar. Mereka bersatu mempertahankan Denmark ketika negara tersebut diancam dengan pemulauan. Kata-kata Presiden EU baru-baru ini mempertahankan pendirian Denmark untuk tidak meminta maaf kepada kaum Muslimin menghidupkan semula memori Perang Salib. Apakah peristiwa penghinaan ke atas Rasul, kezaliman Yahudi dan pencerobohan mereka ke atas Qiblah-al-awwal, penghinaan ke atas Al-Quran, penyiksaan ke atas tahanan Islam di Teluk Guantanamo dan Penjara Abu Ghareeb serta banyak lagi penyeksaan ke atas kaum Muslimin masih belum cukup bagi kita untuk menyadari bahawa tiada penyelesaian lain bagi kaum Muslimin kecuali dengan menegakkan Negara Islam Khilafah? Semoga Allah menanamkan kesedaran ini kepada kaum Muslimin dan mempercepatkan berdirinya Daulah Khilafah. Marilah kita sama-sama berdoa agar 3hb Mac tahun ini merupakan hari peringatan terakhir bagi kaum Muslimin sebelum kemenangan gilang-gemilang dikurniakan Allah kepada umat yang mulia ini!. Amin.

Retorika Maulidur..Yang makin jauh dari Rasul SAW?

Khamis, 25 Februari 2010
`Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar`
Al-Fath 29.

Selawat dan salam kepada Rasul junjungan, Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat yang bersama-samanya memperjuangkan fikrah kebenaran. Setelah sekian lama terpaksa `berperang` dengan diri, keluarga, kerjaya, dan berbagai-bagai tanggungjawab lain akhirnya… dapat juga kita bertemu semula dalam membicarakan perihal kehidupan ummat Islam di mana-mana pun jua. Apabila telah lama tidak duduk mengadap di depan komputer, menulis.. fikiran jadi payah untuk membuat tumpuan tentang apa yang mahu diketengahkan. Selama tiga, empat minggu ini… tidak banyak perkembangan yang saya mampu ikuti kecuali banyak masa terpaksa `bergelut` dengan kerjaya sendiri sahaja.. ‘Ala.. kullihal..! Riuh rendah orang ramai menarik perhatian saya, terutamanya ummat Islam bersiap sedia untuk menyambut `Maulidur Rasul saw`.

Pantas! Semua orang menjadi teruja..tertarik..terpanggil untuk memberi `kredit` dengan sambutan pelbagai cara terhadap tokoh agung manusia istimewa tersebut (Muhammad saw). 12 Rabiul Awwal tarikh yang `diboldkan` dalam semua kalendar sebagai hari kelepasan atau hari cuti umum. Sebagai ummat Islam semestinyalah kita sentiasa mengingat, mencontohi, meneladani malah merindui akan semua perkara yang berkaitan dengan tokoh ummat itu. Dalam hal ini penulis juga tidak pernah menentang perarakan maulidur Rasul atau acara sambutan yang munasabah anjuran pihak kerajaan maupun bukan kerajaan walaupun sambutan ini tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah saw.

Tetapi cukupkah dengan hanya perarakan maulidur Rasul atau sambutan acara, menunjukkan bahawa kita bersungguh untuk mendukung hasrat dan cita-cita Rasul saw serta ummat Islam? Adakah dengan hanya mengadakan perarakan dan pelbagai acara sambutan setiap tahun.. cukup untuk membuktikan bahawa kita sayangkan Rasulullah dan ajaran yang ditinggalkannya? Ataupun kita hanya sekadar beretorika dan mengambil kesempatan di atas sentimen ummat yang kasihkan Rasul serta Nabi junjungan mereka. Kita pun mengambil kesempatan berpolitik untuk mengaburi pandangan ummat Islam bahawa kita bersama-sama memperjuangkan aspirasi ummah dengan menyanjungi Nabi mereka.

Jika beginilah sikap sebenar mereka yang menyambut maulidur Rasul itu, samalah kedudukan mereka dengan Abu Lahab yang begitu gembira semasa mendapat tahu kelahiran Muhammad saw bahawa beliau mendapat seorang putera saudara lelaki. Begitu gembira beliau sehingga membebaskan hamba dan menyembelih unta. Sebaliknya Abu Lahab tidak pula mahu beriman dan mengakui kerasulan Muhammad saw sehingga akhir hayatnya. Begitu juga dengan Abu Talib hanya berbangga dengan Nabi saw sebagai seorang keturunannya iaitu suku Quraisy, bani Hasyim. Beliau sanggup berkorban dan menghadapi kesusahan bersama-sama Nabi semasa pihak musyriken Mekah memulaukan ummat Islam selama 3 tahun lebih. Beliau kasih dan sanggup mempertahankan batang tubuh Nabi saw tetapi tetap tidak mahu beriman dengan risalah Islam serta ajarannya. Ternyata komitmen mereka terhadap maulid dan keturunan tidak bermakna di sisi ajaran Islam.

Ajaran Islam mengajar dan menunjukkan contoh kepada kita bahawa cara seseorang sepatutnya `menyambut` maulidur Rasul ialah dengan menyambut, menerimapakai, mengiya, mempraktik, melaksanakan dan mencontohi segala ajarannya dalam kehidupan kita sebagai seorang yang beriman kepada Rasul saw. Sebab kemuliaan Rasul ialah kemuliaan risalah ajarannya, sebab kemulian risalah ajarannya pula ialah kerana datang dari Pencipta Yang Maha Mulia, Allah swt. Begitu juga bagi ummat manusia di zaman mana pun jika hanya menerima `kewujudan` manusia istimewa itu sahaja sebagai tokoh sekian… dan sekian… serta sekian.. tanpa menerima risalah ajarannya (al-Islam) jadilah mereka sia-sia di dunia dan di akhirat sama dengan golongan dengan Abu Lahab dan Abu Talib serta kuncu-kuncu mereka.

Saya tertarik dengan maksud ayat al-Quran di atas`Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Seterusnya lagi Allah swt menjelaskan lebih lanjut akan sifat-sifat golongan yang bersama-sama Rasul saw di sepanjang zaman… Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud, …..…… iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir.

Saya suka mengajak para pembaca terutamanya ahli-ahli gerakan Islam melihat atau mengkaji maksud `seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya` kerana bagi saya tanaman yang mengeluarkan tunas ialah tanaman yang `hidup subur`(membina Hadharah) dan insyaAllah akan mengeluarkan hasil yang baik bagi kegunaan ummah semasa. Yang terlebih penting lagi bagi saya ialah akan dapat menjadi benih baru yang baik pula untuk meneruskan tugasnya membina Hadharah Islamiyyah bersambung… dan bersambung… sehinggalah ketentuan Allah swt berlaku kepada semua hamba-hambaNya.

Sebab itu bagi pandangan saya, gerakan Islam yang tidak membina hadharah Islamiyyah ialah gerakan Islam yang gagal. Lebih malang lagi jika mereka yang mendakwa sebagai gerakan Islam itu, tetapi membina hadharah jahiliyyah supaya ianya subur, berkembang.

Begitulah pelbagai suasana yang bersimpang siur terhidang atau terhampar di hadapan ummah semua untuk kita sendiri sebagai ummat Islam melihat, menilai dan seterusnya memilih untuk bersama-sama mereka yang tetap membawa risalah kebenaran bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang subur bertapak di bumi menunjangi kehidupan ummah.

Sebagai mengakhiri buletin kali ini, saya petik kata-kata Ibrahim Bin Adham sebagai renungan kita bersama;

1) Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2) Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.
3) Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4) Orang yang cintakan kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat husnul khatimahnya (kesudahan).
5) Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6) Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7) Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah kamu harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya.

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah

Selasa, 10 Mac 2009
Assalamualaikum w.b.t.........

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah.Itulah slogan terbaru bersempena dengan hari keputeraan Nabi Allah s.w.t iaitu pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571.Walau bertukar ganti pun slogan pada setiap tahun,ianya tetap dengan satu matlamat yang sama lagi jelas iaitu bagi memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.Jesteru itu,pelbagai aktiviti telah dibuat bagi memeriahkan lagi tarikh yang mesti diingati oleh setiap muslim khususnya.Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah seperti ceramah,perarakan dan sebagainya.Tetapi,aktiviti yang paling meriah sekali kalau kita lihat sudah semestinya perarakan sepanduk.Boleh dikatakan di Malaysia ini,hampir semua peringkat bahagian negeri menganjurkan perarakan sepanduk.Tetapi,perlu kita ingat bahawa tidaklah sekadar meraikannya secara zahir sahaja tetapi perlunya penghayatan secara batin kerana melalui penghayatan ini lebih mendekatkan diri kita kepada kecintaaan terhadap Rasulullah s.a.w.


Silsilah Dan Kelahiran Nabi
Telah dilahirkan Nabi kita Muhammad s.a.w pada 12 haribulan Rabi'ul-Awal tahun gajah(yakni di tahun tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah al-Ashran menyerang Ka'abah,tetapi dibinasakan oleh Allah dengan cara yang menakjubkan di mana ceritanya dinyatakan di dalam al-Quran.Itulah riwayat yang paling mahsyur di kalangan 'ulama'.Sesungguhnya hari itu menjadi hari yang paling bahagia kepada muka bumi ini sejak dilahirkan.Baginda adalah dari silsilah yang baik,iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutallib bin Hasyim bin Abdul Manf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Madrakah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan(sampailah silsilahnya sehingga Sayyidina Ismail bin Ibrahim 'alaihi Salam).Silsilah sehingga Adnan sahaja menjadi sepakat 'ulama'.Adapun selepasnya berlaku percanggahan pendapat.

Lahirnya Rasulullah di kalangan keluarga pilihan adalah menjadi salah satu asas lahiriah yang kuat.Apatah lagi ketika dibangkitkan menjadi Rasul di kalangan masyarakat yang tebal dengan fahaman kekeluargaan(asabiyyah) di masa itu.Di samping itu faktor ini menjadi satu keistimewaan kepada keluarga dan bangsa Arab sebagai kurniaan dari Allah yang Maha Mengetahui tentang makhlukNya.SesungguhNya peranan keluarga yang kuat adalah penting juga kepada dakwah yang disampaikan kepada manusia.Perkara ini pernah dinyatakan oleh Nabi Lut a.s ketika dikepung oleh kaumnya.

Firman Allah yang bermaksud:
"Seandainya aku ada mempunyai kekuatan,atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat" (Surah Hud:ayat 80)

Sebaik sahaja dilahirkan oleh ibunya,Baginda lalu dibawa kepada datuknya Abdul Mutallib.Beliau menyambutnya dengan penuh gembira dan membawanya ke dalam Ka'abah untuk memanjatkan doa kepada Allah dan memujiNya kerana dikurniakan cucu lelaki.Kemudian Baginda diberi nama Muhammad,nama pilihan dari Allah yang diilhamkan kepada keluarganya untuk memilih nama itu.Nama yang tidak kenali oleh orang Arab sebelumnya dan mereka kagum dengannya.Muhammad ertinya "orang yang terpuji".Ia adalah nama yang paling layak kepada Rasulullah.Berhubung dengannya Rasulullah pernah bersabda :


"Adakah kamu tidak merasa hairan,bagaimana Allah memalingkan celaan dan kutukan orang-orang Quraisy terhadapku?Mereka mencela dan mengutuk orang yang cela,padahal namaku Muhammad(orang yang terpuji)"
(Hadith Riwayat Bukhari)


Gambar-gambar bersempena Perayaan Maulidur Rasul Di Dewan Suarah,Bintulu(9/03/09).










Kontijen Sekolah Rendah rehat makan selepas berarak

Kontijen Sk Asyakirin

SMT Bintulu-Ex-School ana menang sepanduk

Sepanduk yang menang kategori sekolah...


Ala-ala Arab.....
Menang juga kategori Kontijen Paling Ceria

Merakamkan gambar kenangan