Muslimah Yang Hebat..Ada Pengganti Seumpamanya?

Selasa, 8 November 2011

Peranan muslimat bukan lagi tersorok di sudut-sudut tersembunyi, tetapi golongan hawa ini mestilah berperanan mendepani cabaran yang semakin rencam, dengan arus pusaran yang semakin ganas dan melemaskan generasi digital era langit terbuka hari ini.

Sejarah tidak pernah gagal merakamkan bagaimana penentang-penentang agama ini terdiri daripada kalangan kaum hawa. Di zaman Nabi SAW, Ummu Jamil, Hindun Binti Utbah menjadi penentang yang tegar terhadap seruan dakwah. Bahkan seorang perempuan yahudi, iaitu Zainab Binti al Harith telah meracun baginda SAW selepas perang Khaibar (7 Hijrah). Di zaman moden, pembantaian kepada umat Islam juga digerakkan oleh wanita berhati kering seperti Condolezza Rice (Amerika Syarikat), Lipni (Israel).

Dalam rakaman langit sejarah yang berpaksikan kebenaran, generasi awal muslimat memainkan peranan yang sangat penting, darah merah berkubang di Mekah dan Sumaiyyah menjadi mercu tanda sejarah dengan segunung ketabahan. Khaulah sebagai pengobar janji perlawanan, mencetak anak-anak peminang bidadari, Aishah sebagai serikandi ilmu dengan sehamparan ingatan yang sangat menggugah, menguasai AL Quran dan persoalan agama hingga menjadi tarikan pesona terbesar sebagai gudang ilmu yang terus mengalirkan pencerahan. Ummu Nusaibah Binti Kaab mengotakan janjinya dengan menjadi perisai Nabi SAW di medan tempur Uhud (3 Hijrah) yang melakar sejarah itu. Nusaibah adalah seorang muslimat yang berbaiah dalam peristiwa Perjanjian Aqabah yang kedua dan tidak pernah lelah berjuang dengan barisan kaum muslimin.

Islam disepanjang pentas zaman tidak pernah melupakan serikandi-serikandi agama yang merenjiskan haruman mawar pada prasasti syuhada. Di zaman moden ini menyaksikan Zainab al Ghazali, tokoh sesepuh perjuangan Islam di Mesir, beliau berbaiah dengan Imam Hasan al Banna selaku peranannya sebagai ketua Jemaah Muslimat Mesir, akhirnya mendekam dalam penjara dalam tempoh yang panjang dengan hirisan-hirisan penyiksaan yang tak tertanggung kejerihannya. Tokoh ini dibebaskan di zaman Anwar Sadat untuk mendapatkan sokongan massa, terus berbakti di ladang dakwah walaupun diintip, dikekang sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah. Ratusan ribu manusia yang menyolatkan jenazahnya, sebagai penghormatan dan menghantar ke tempat terakhir persemadian. Mesir menangis kerana kehilangan sang pejuang muslimah yang gigih, beliau adalah ‘ibu penggegar penguasa Taghut’ yang sangat inspiratif dan mengesankan.

Mesir juga tidak gagal untuk melahirkan muslimah-muslimah lain yang hebat seperti Aminah Qutb dan Hameedah Qutb (adik beradik Sayyid Qutb) dan ramai yang telah menderita di celah jeriji penjara pengap. Pengorbanan mereka ini telah menghantar kepada kebangkitan perjuangan Mesir mutakhir ini.

Antara muslimah yang menggegar dunia moden ialah Maryam Jameelah yang tidak lelah meruak keharuman agama ini lewat tulisan-tulisan yang mencerahkan akal. Berasal daripada keturunan Yahudi yang disapa hidayah Tuhan, akhirnya menjadi anak angkat almarhum Maulana Maududi. Kegigihannya belajar tentang Islam sangat mengkagumkan,dengan kurniaan kegeniusan, Maryam begitu banyak meninta buku-buku berkaitan Islam sebagai cara hidup, sejarah gerakan Islam dan pelbagai tema penting Islam.

Sosok muslimat pemberani yang dipakej dengan kekuatan intelektual ini pula, menggalang perjuangan Islam di bumu jihad, iaitu Dr Maryam Solleh di bumi Isra’ antara contoh sosok yang wajib diteladani oleh para muslimat. Beliau yang merupakan gabungan aktivis, pemikir, juga seorang ibu dengan anak yang ramai telah terjun sepenuh masa di jalan dakwah, mencerah masyarakat Palestin dengan ilmu, mengobar semangat dan juga pemimpin barisan hadapan HAMAS. Menggenggam ijazah PhD daripada Universiti Ummu Qurra, Arab Saudi bukanlah tiket untuk Dr Maryam hidup bersalut kemewahan tetapi untuk bersama kafilah yang berjuang membebaskan Masjidil Aqsa yang mulia.

Muslimah adalah ciptaan Allah SWT yang unik, emosinya tak terjangkau, meledak-ledak dalam masa yang sama boleh menjadi sesejuk air di gunung. Penciptaannya sangat unik, kisahnya sangat berwarna warni, perempuan adalah peniup obor semangat, dibelakang seorang tokoh adijagat atau maestro perjuangan adalah kaum hawa yang dicipta dengan seribu keunikan.

Peranan Muslimat di Medan Amal Islam..

Laluan

Khamis, 3 November 2011

Sinar sang suria begitu indah pancarannya di hening waktu yang dingin.

Kala deruan angin menyapa kulit,terasa indah kelembutannya membelai manja.

Menenangkan gundah gulana yang sering memberontak.
Ingin menjajahi warasnya.

Apakah matahari itu terus senja di waktu munculnya awal siang.

Ia memakan masa itu sehingga tiba waktu.

Dengan izin-Nya,tiba kegelapan itu.


[Nak jadi orang yang baik,jangan hanya menunggu..berUSAHAlah..Jika tidak mampu untuk berlari pantas,mulakanlah dengan langkahan yang perlahan..Pasti destinasinya akan sampai jua] (^_^)/.....

Memulakan Semula Apa Yang Sudah Bermula

Rabu, 14 September 2011

Sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Tersihir oleh kalimah berkuasa tinggi barangkali iaitu S.I.B.U.K bak kata Ustaz Hasrizal di teratak maya yang selalu saya ziarahi setiap masa dan waktu yang ada. Sebagai salah satu medium pembuka mata hati dan minda fikir. Agar rasional tindakan masa hadapan.

Itu bukan alasannya buat diri saya yang sememangnya sudah sinonim beraksi di laman maya. Facebook pula yang menyerang dan melanda diri ini untuk sentiasa dikemaskini statusnya. Melayan komen dan kerenah teman Facebook. Ini bukan penyakit sibuk yang menjangkiti diri. Sindrom malas mengemaskini blog sendiri mula memberatkan pemikiran untuk berfikir dan terus berfikir untuk menjana cerita dan pengalaman yang dilalui.

Mungkin juga kini saya sudah mula merancakkan semula minat lama yang sudah hampir terkubur disebabkan urusan-urusan yang dirasakan lebih menjadi keutamaan untuk dilaksanakan. Minat itu ialah MEMBACA. Dalam tempoh sebulan dua ini,ada beberapa buah buku yang menjadi bahan bacaan khususnya buku-buku yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.Com). Terkini,sedang membaca buku beliau yang meletup-letup di pasaran. “Murabbi Cinta-Aku Terima Nikahnya 3”.

Tertarik juga pada salah satu artikel Ustaz Hasrizal yang mengatakan bahawa apa yang beliau kongsikan di laman mayanya itu adalah satu penceritaan pengalaman dan idea-idea supaya pembaca yang membaca setiap nukilan artikelnya juga boleh menghasilkan penceritaan pengalaman dan idea kepada pembaca itu sendiri.

Moga-moga selepas ini,banyak cerita yang saya lalui boleh dikongsikan kepada anda di laman maya saya ini. Itupun jika anda merupakan pembaca yang terus setia dengan pembacaan cerita saya di sini.

Moga-moga juga selepas ini saya lebih rajin untuk mengemaskini apa yang perlu dikemaskan. Sudah agak bersawang barangkali. Khuatir juga,nanti tiada orang yang hendak menjenguk lagi teratak ini.

Moga diri ini istiqamah dalam apa yang sudah dilaksanakan. Mohon doa dari kalian juga untuk diri ini.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Amalan yang paling disukai Allah ialah pekerjaan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Fenomena Berbilang (Taadud) Jemaah

Sabtu, 11 Jun 2011

Dibolehkan Taadud namun BERSYARAT :

Syeikh Mustafha Masyhur: Adapun kewajipan dan pendirian kami tentang jemaah-jemaah (selain Ikhwan Muslimin) ialah apa yang diperluaskan oleh Agama Islam daripada sifat kasih sayang, mawaddah, nasihat-menasihati, bantu-membantu diatas dasar kebajikan dan mengelak perselisihan dan pertelingkahan serta berusaha untuk bersatu.

Syeikh Said Hawwa: Kami menyedari bahawa berbilang-bilang pertubuhan mungkin boleh ditubuhkan dan boleh ada dalam satu Negara. Pertubuhan - pertubuhan ini mungkin Parti politik semata – mata , mungkin pertubuhan kebajikan, pertubuhan ilmuan dan tarbiah yang dihimpunkan diatas sifat Islamiah.

Dr Solah Shawi: Sesungguhnya taadud yang diterima dilapangan Amal Islami ialah taadud takhassus dan tanawwu’ bukannya taadud tudhod wa tanaqud. Adapun taadud yg memecahkan wala umat Islam,melaknati sesama manusia merupakan wabak dan kecelakaan yg mengubah waqie kepada tersebar fitnah dan membuka jalan kepada pandangan untuk mula beruzlah.

Dr Yusof Qaradhawi: Tiada halangan taadud jemaah yg beramal untuk Islam, selagimana terdapat keuzuran untuk mewujudkan sebuah kesatuan disebabkan kelainan matlamat, manhaj, fahaman dan thiqah kepada setengah yg lain berdasarkan kepada taadud takhassus dan tanawwu’ dan bukan taadud tudhod dan tanaqud.Semuanya wajib berdiri dalam satu sof pada setiap perkara yg mengembalikan ketuanan Islam, Aqidah Islamiah dan keizzahan umat Islam.

Taadud yang TIDAK dibolehkan :

Syeikh Fathi Yakan: Lapangan Islam telah menyaksikan kelahiran harakah – harakah ,tanzim - tanzim diatas ruang lingkup yg luas. Meskipun sesetengah berpendapat dan mengira taddud jemaah sebagai fenomena sihat, saya menganggap taadud sebagai fenomena berpenyakit dan bahaya serta diperingatkan dengan akibat - akibat yang maha dahsyat yg tidak diketahui penghujungnya melainkan Allah.

Syeikh Husin Muhsin Ali Jabir: Saya bersetuju bahawa taadud jemaah pada umat Islam adalah suatu yg batil dan wajib dihapuskan.Sesungguhnya kewajipan pada keyakinan saya bahawa wajib dicurahkan segala tenaga umat Islam didalam satu bahtera dan satu hala tuju sahaja.

Syeikh Mustafa Masyhur, Dr solah Shawi, Dr Yusof Qaradhawi, Said Hawwa: ( Tidak dibenarkan sama sekali taadud seandainya jemaah yg baru ditubuhkan tersebut: tidak mengikuti ketetapan Syarak dan timbul pecah belah serta dendam kesumat juga ditubuh atas dasar tak puas hati antara satu sama lain )

Pendapat yang RAJIH :

Tidak boleh taadud jemaah. Adapun Ulamak yg benarkan taadud dengan BERSYARAT sebenarnya meraikan suasana dan kenyataan taadud yg terjadi di Negara - negara umat Islam. Rasulullah saw sebenarnya secara jelas telah menyatukan umat Islam dalam satu jemaah sahaja dan bukannya berbilang jemaah. Walaupun Ulamak - ulamak ada menyatakan boleh , tetapi SYARAT - SYARAT yg disebutkan perlu difahami dengan jelas agar tidak dipergunakan sebagai alasan bagi mewujudkan jemaah yang baru pula didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap Jamaah Islam yang sebelumnya. Kehendak ulamak tersebut adalah tidak boleh taadud bila SYARAT yg digariskan tidak terlaksana.
KLASIFIKASI JAMAAH .

Jamaah adalah umum . Di sana ada Jamaah yang tidak menepati sifat Harakah Islamiyyah atau Jamaah yang bergerak dan berjuang menyebarkan agama Allah, mendidik ummah dan memimpin mereka serta berjuang dalam skop Islam yang Syumul kearah mendaulatkan syariat Allah swt dan mengembalikan Khilafah Islamiyyah di muka bumi ini .
Sebaliknya Jamaah ini hanyalah mengambil satu juzuk yang kecil daripada amal islami seperti Jamaah Kebajikan yang hanya mengurus soal kebajikan anak – anak yatim , khairat kematian dan seumpamanya .

Ada pula Jamaah yang hanya mengambil aspek mengajak masyarakat berbuat baik tanpa melihat kepentingan perlaksanaan undang – undang syariat serta tidak juga melihat kepentingan bertindak menentang kemungkaran . Mungkin dengan alasan kalau semua orang sudah menjadi baik , maka secara automatiknya mungkar akan hilang .

Ada pula Jamaah yang hanya berlegar di ruang hawa dingin dengan pembentangan kertas kerja – kertas kerja Ilmiah di bilik seminar dan simposium . Membincangkan permasaalahan Islam penuh teoritik tanpa terjun ke medan berhadapan dengan permasaalahan ummah yang sebenar dan bergelumang pula dengan segala konflik yang dihadapi oleh ummah .

Ada Jamaah yang terhenti di atas majlis – majlis ibadah seperti wirid zikir , selawat dan berqasidah serta solat nawafil yang banyak tanpa mengambil kira penyakit barah yang dialami oleh masyarakat dan ancaman moral serta aqidah yang melingkari daerah mereka .

Ada Jamaah yang mungkin telah melakukan pelbagai aktiviti amal islami , tetapi mereka akur dan tunduk kepada pemerintah yang enggan melaksanakan syariat Allah swt. dan melakukan maksiat serta menaja mungkar yang meleka dan melalaikan ummah dengan alasan , ruang untuk mereka melakukan amal islami masih terbuka , sementara pihak yang lain masing – masing ada tanggungjawab masing – masing untuk menjaga akhlak dan aqidah .
Begitulah pelbagai warna Jamaah yang wujud .

Dipetik daripada : Artikel At-Tantawy

Ujian 3 Tempat

Selasa, 17 Mei 2011

Kehidupan ini adalah satu ujian yang sudah menjadi kewajipan bagi setiap insan yang hidup. Keimanan seseorang muslim tidak akan dapat dibuktikan melainkan hanya sementelah diuji oleh Allah s.w.t. Kata-kata insan tidak dapat membuktikan hakikat ujian Allah yang sebenar. Berkata itu dan ini memang mudah. Itu teori. Tetapi,bila terkena sesuatu musibah atau dugaan,kegembiraan atau keselesaan,itulah amalinya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (gempa).

Surah al-Baqarah ayat 214

Ujian Duit Ketika Waktu Belajar

Kehidupan di dunia kampus dipenuhi dengan kehidupan yang idealistik dan bersemangat. Aktif dalam kelab,aktif dalam bersukan,aktif dalam persatuan Islam adalah menjadi amalan biasa kepada setiap mahasiswa mahasiswi yang berada di kampus. Tidak kurang juga yang lebih suka menjadi ulat buku sahaja (study-oriented),mengharapkan hanya untuk lulus dan mendapat ijazah sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Yang pasti,duit menjadi salah satu kekangan utama kepada penggerak Islam. Hendak membeli itu dan ini,memerlukan kos kewangan yang banyak. Mungkin punya masa dan tenaga untuk dikerahkan membuat sesuatu aktiviti atau program. Tetapi bila masuk bab DUIT,semua diam terkedu.Bukan tiada duit langsung tetapi cukup-cukup untuk keperluan diri. Lainlah kalau ibu dan ayah orang yang kaya-raya. Beri duit beribu pun tak kesah. Punya tenaga dan masa tetapi tak punya duit untuk menyumbang


Ujian Masa Ketika Waktu Bekerja

Kehidupan di masa bekerja pun ada perbezaannya juga. Jika penggerak Islam di zaman kampusnya seringkali menghadapi kekangan duit,pada masa bekerjanya pula ujian masa yang menanti. Sibuk,sibuk,sibuk. cukup untuk memberitahu betapa sibuknya bekerja. Bila disuruh datang usrah,kata tiada masa. Ada program Islami,kata ada shif malam. Ada itu dan ini,kata sibuk itu dan ini. Hmmm..sibuk,sibuk.. Punya duit dan tenaga tetapi tak punya masa untuk bersama.

Ujian Tenaga Ketika Waktu Tua

Ini pula bila tiba waktu tua. Dulunya kuat,boleh buat kerja itu dan ini. Tiada masalah. Tetapi bila melalui waktu tua ini,segala kekuatan mulai kehilangan. Nak buat kerja sikit dah rasa letih. Lama-lama-kelamaan berehat sahajalah di rumah. Tak payah susah-susah nak buat kerja. Ke sana ke mari.. nak buat itu dan ini. Buat susah sahaja. Ada program Islami,nak pergi pun kini dah payah. Nak berjalan pun dah susah.. Punya duit dan masa tetapi tak punya tenaga untuk dikerahkan.

“Ya Allah, istiqamahkanlah dan redhailah kami di dalam perjuangan-Mu yang suci ini sehingga ke titik akhir kehidupan kami.”