1. Ini adalah
kata-kata penyair terkenal Ahmad Syauqi (1932M), yang meletakkan guru pada
darjat yang tinggi. Mulianya kerana telah menyambung kerja para rasul iaitu
mengajar, membimbing dan mendidik ummah. Setiap insan memang disuruh untuk
menuntut ilmu, maka satu pihak akan menuntut ilmu yang dipanggil pelajar, dan satu pihak lagi akan
mengajar yang dipanggil guru atau mu’allim. Allah Azza wa Jalla memberikan
fadhilat kepada orang yang menuntut ilmu, dengan memudahkannya jalan ke syurga.
Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa melalui satu jalan untuk menuntut ilmu,
maka Allah SWT permudahkan baginya jalan ke syurga. (Riwayat al-Bukhari)
2. Tidak dapat dinafikan usaha dan lelah seorang
guru dalam membina tamadun dan peradaban manusia. Gurulah yang mempersiapkan seorang
doktor yang berjaya, membentuk seorang jurutera yang baik, akauntan yang mahir
dan menteri yang bertanggungjawab. Dengan ilmu dan guru, bumi menjadi subur,
pokok mengeluarkan hasil dan bunga mekar mengharum. Guru memimpin ummah agar
kenal dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Guru juga mengembangkan potensi
akal manusia yang secara fitrah sukakan kebaikan dan benci kepada kemungkaran.
Gurulah yang menjadikan kita setinggi langit dalam pencapaian, lantas mampu
menulis kebanggaan ummah dengan tinta cahaya matahari sehingga dunia mendengar
suara keimanan dan tauhid.
3. Guru telah mengubah daripada sebuah impian
menjadi kenyataan, daripada pengikut menjadi pemimpin, dan daripada pembaca
sejarah kepada pencipta sejarah. Inilah yang cuba digambarkan oleh penyair
Ahmad Syauqi. Ia lahir daripada cintanya kepada ilmu, yang disampaikan oleh
seorang yang bernama guru. Tetapi penyair ini tidak pernah menjadi guru, tidak
pernah merasai kesukaran seorang guru dan tidak pernah berhadapan dengan pelbagai
karenah perangai anak murid. Namun, seorang penyair lain, Ibrahim Tuqan (1941M)
yang pernah menjadi guru mempunyai pandangan lain. Dia memberi respon terhadap
Ahmad Syauqi dengan syairnya antara lain menyebut:
Jika Syauqi cuba mengajar walau satu jam, dia akan
merasai perit dan deritanya hidup, cukuplah bagi seorang guru masalah dan
cabaran, pagi dan petang sentiasa dengan buku yang memerlukan semakan.
4. Tugas guru adalah tugas yang sangat sukar, tidak
mudah bagi seseorang menyatakan bahawa aku ingin menjadi guru sebelum berfikir
banyak kali. Tugas guru memerlukan keikhlasan dan kesungguhan. Ia mesti adil
dengan pelajar-pelajarnya. Ia juga menuntut mu’amalah seumpama dengan anak
sendiri. Dan yang paling penting ia mesti amanah terhadap ilmunya. Rasulullah
SAW sangat amanah terutamanya dalam menyampaikan wahyu. Dalam peristiwa anak
angkatnya, Zaid bin Harithah menceraikan isterinya yang akhirnya Allah
memerintahkan agar nabi mengahwininya pula, menjadi bukti amanahnya nabi SAW.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab 37:
Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika engkau berkata
kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang
engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan
bertaqwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara
yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian( manusia
padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti. Kemudian setelah Zaid selesai
kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau
dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk
berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak
angkat itu telah selesai kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya),
dan sememangnya perkara yang dikehendaki oleh Allah itu tetap berlaku.
Imam al-Qurtubi (671H) ketika mentafsirkan ayat ini
menyatakan bahawa nabi SAW bimbang orang ramai akan menyebut baginda berkahwin
dengan bekas menantunya. Lalu Rasulullah SAW berulangkali menasihati Zaid agar
terus bersama isterinya dan tidak menceraikannya. Namun Allah SWT
menghendakinya dengan hikmah yang lain iaitu membatalkan hukum yang berkaitan
dengan anak angkat, yang diamalkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam.
Diriwayatkan daripada Anas RA bahawa:
Zaid bin Harithah datang mengadu kepada nabi SAW,
lalu nabi berkata: Bertakwalah kepada Allah dan janganlah engkau ceraikan
isterimu. Anas berkata: Jika Muhammad SAW itu seorang yang menyembunyikan
sesuatu, nescaya baginda akan sembunyikan ayat ini (ayat 37 surah al-Ahzab).
(Riwayat al-Bukhari)
5. Oleh sebab itu, hampir-hampir guru menjadi rasul
kerana amanahnya. Walaupun ramai guru yang baik dan amanah, tetapi pada masa
yang sama terdapat segelintir guru yang tidak mengetahui peranannya. Mereka
tidak merasa bangga menjadi seorang guru. Tambahan pula pelajar pada zaman ini
tidak sama dengan beberapa dekad yang lalu. Globalisasi, internet, hiburan dan
seribu satu alasan boleh diberikan, tetapi adakah berbaloi dengan memberikan
alasan dan perbandingan?, sedangkan kita sebagai guru tidak melakukan sesuatu
di atas amanah yang sedang kita pikul. Bukankah nabi SAW pernah mengingatkan
kita akan amanah yang bakal dipertanggungjawabkan ini?.
Diriwayatkan bahawa Ibn
Umar mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu
bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. (Riwayat al-Bukhari)
6. Hampir-hampir guru menjadi rasul kerana
kesabarannya. Sabar dengan anak murid, sabar dengan pentadbiran, sabar dengan
masyarakat dan sabar dengan kehendak peribadi. Di samping tugas sampingan yang
begitu banyak, melibatkan pengurusan, maka sabar adalah kunci kejayaan seorang
guru. Sabar bukan bermakna mengalah dan mendiamkan diri, tetapi sabar menuntut
perancangan dan strategi. Penambahbaikan selepas muhasabah dan perlaksanaan
yang bijak, sangat penting untuk menghadapi semua cabaran dalam pendidikan.
7. Membentuk seorang manusia bukan seperti membuat
rumah. Batu-bata dan kayu yang diangkat, tidak akan membantah walau sedikit
pun. Ia tidak bernyawa dan tidak punyai perasaan. Tetapi, yang bernama manusia
ini cukup unik, punyai hati dan perasaan, suka membantah, cepat terasa dan
punyai ego yang cukup tinggi. Bahkan terdapat hati manusia yang lebih keras
daripada batu, sedangkan sekeras-keras batupun akan lekuk kerana titisan air
yang berterusan. Inilah hati umat yang dihadapi oleh nabi Musa AS.
Firman Allah
SWT dalam surah al-Baqarah ayat 74 bermaksud:
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras
seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang
terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang
pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di
antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedangkan Allah tidak
sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
8. Hampir-hampir guru menjadi rasul kerana
keikhlasannya. Guru tidak meminta bayaran dan ganjaran daripada anak muridnya.
Cukuplah balasan dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT dan pahala yang
tetap mengalir hingga hari kiamat. Inilah sifat para rasul yang benar yang
manusia diminta untuk mengikutinya.
Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah
Yasin ayat 20-22:
Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu
dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Ikutlah
Rasul-rasul itu. Ikutlah orang-orang yang tidak meminta daripada kamu sesuatu
balasan, sedangkan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.
9. Lalu mengapa dengan budaya baru pada hari ini,
setiap kali sambutan hari guru anak-anak akan meminta ibu bapanya membelikan
hadiah untuk guru mereka. Bukan satu, tetapi setiap guru yang mengajarnya. Di
pihak guru yang mendapat hadiah pula, pastinya ia berbeza-beza, ada yang mahal
dan ada yang murah. Tidak kurang ada guru yang dapat banyak hadiah dan ada yang
dapat sedikit. Guru yang diminati akan mendapat banyak dan begitulah
sebaliknya. Ia telah menjadi budaya yang diamalkan.
10. Banyak persoalan yang timbul, adakah hadiah
yang mahal menggambarkan pemberinya sangat menghormati guru? Adakah guru yang
mendapat hadiah yang sedikit menunjukkan dia bukan seorang guru yang baik? Dan
apakah nasib seorang guru disiplin yang garang dan tegas pada hari ini ya?
Kalau ia menyebabkan natijah negatif; berbangga, ujub, kesan pemarkahan dan
membeza-bezakan anak murid atau guru, maka budaya ini perlu segera dihentikan.
Hadiah bukan kayu ukur yang berkesan dalam hal ini. Bertakwalah kepada Allah
SWT wahai guru. Sebenarnya kejayaan cemerlang, sahsiah unggul dan doa daripada
anak murid itulah hadiah yang paling istimewa buat seorang guru.
11. Kesimpulannya, jadilah guru yang amanah, sabar
dan ikhlas. Peringatan ini saya tujukan khusus kepada semua guru yang
bercita-cita untuk mendapat darjat ‘hampir-hampir menjadi rasul’.