Semoga Sembuh, Ibu........

Ahad, 25 Oktober 2009
Seusai berusrah di Unimas bersama beberapa ikhwan dan ikhwah, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing. Lebih-lebih lagi ana,yang paling gembira sekali. Lebar senyum sampai ke telinga kerana akan berjumpa dengan keluarga di Semariang nanti. Al-maklumlah sebab emak,abang Wandy,abang Long dan kakak ana datang ke Kuching untuk menghadiri satu majlis. Ana pun tidak membiarkan masa emas itu berlalu merentas masa fitrahnya. Jadi dengan kesempatan itu ana ambil untuk berjumpa dengan mereka. Tidak sabar untuk berjumpa dengan keluarga walaupun bukan semuanya datang. Sekadar untuk melepaskan kerinduan di hati selepas menyambung semula pengajian di Kampus Poliku selepas cuti raya tahun ini.

“Assalamualaikum”,ana memberi salam.

“Waalaikumsalam”,jawab abang ana.

“Abang kat mana ni,tolong ambil ana kat Wisma Satok sekarang,boleh?” soal ana.

“Abang kat rumah Pak Wa,abang Pak Ngah kitala. Ok,nanti abang ambil kamu.”Respon abang ana.



………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….


“Assalamualaikum,Pak Ngah.”

“Waalaikumsalam,Is,kamu rupanya.Huh, masuklah jangan malu-malu.”

“Err,mana emak,ana nak jumpa dia la.”

“Ouh,ada kat dalam bilik tu. Dia kurang sihat Is. Baik kamu lihat emak kamu kat bilik tu.”

Mula terbit rasa kerisauan di hati akibat respon saraf rasa kasih sayang yang diterima pada otak lalu diterjemahkan kepada rasa tidak senang hati apabila mendengar kata-kata Pak Ngah. Ana tanpa membuang masa segera melangkah cemas ke bilik yang ditunjuk oleh Pak Ngah sebentar tadi. Ana membuka pintu bilik perlahan-lahan. Takut mengganggu kalau-kalau emak sedang tidur. Selesai membuka rahang pintu sepenuhnya, ana melihat sekujur tubuh sedang berselimut di atas katil. Kesejukan menggigil hiba. Emak. Kehadiran ana disedari oleh emak. Ana pun menuju ke arah emak dan duduk disebelah kirinya.

“Mak,kenapa kurang sihat. Sakit apa?” ana bertanya perlahan.

“Mak kurang sihat. Demam panas. Dah 5 hari sakit.”perlahan menjawab tanya.

Ana pun menyentuh pipi emak. Ya Allah, panas apakah ini?.
Panas sangat.

Panas dunia.

Panas sengsara menanggung keluarga.

Bukti tanggungjawab besar.

Kesan kerja kuat memberi bahagia kepada keluarga.

Semuanya itu tertumpu pada minda sedar, fikir rasa deria.

Tak tertahan mata hati melihatkan penderitaan emak untuk orang lain senang.

Air mata ana mengalir di laluan setia pipi tanpa kawalan secara manual diri. Dibiarkan automatik keluar dari mata zahir.

Anak yang diberi senang.

Anak yang disayang-sayang.

Anak yang dikenang-kenang.

Bukan ana tapi semua.



…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………


Selesai sahaja menziarahi rumah sahabat abang Wandy di Taman Sukma pagi tadi, keluarga ana pun bersiap-siap untuk balik ke rumah.Perjalanan selama lebih kurang 900 kilometer. Destinasinya Taman Sukma,Kuching – Kampung Assyakirin,Bintulu. Ana tak berkesempatan nak balik bersama kerana masih lagi mengaji di Kampus Poliku,semester 5 dalam bidang kejuruteraan elektronik. Ana hanya sempat mengucapkan selamat tinggal dan bersalam-salaman bersama-sama keluarga.

“Mak,baik-baik jalan ya. Ana minta maaf sebab jarang telefon keluarga selama ana kat Kuching ni. Mak,doakan kejayaan ana kat Politeknik. Tak lama lagi dah nak ujian akhir. Semoga lulus hendaknya”,pintaku.

“Baiklah,nak”,balas emak.

Ana melambai-lambai keluarga ana yang semakin jauh dari pandangan mata tetapi dekat dari pandangan hati.

(Ya Allah, kau berilah kesihatan kepada ibuku sentiasa. Amiin.)

25-25/10/2009
5.10 p.m.



--Dari Abu Hurairah r.a., datang seseorang menemui Rasulullah s.a.w dia bertanya, "Wahai rasulullah, siapakah yang paling layak untuk aku bergaul baik kepadanya? Baginda s.a.w menjawab,"Ibumu"."Kemudian siapa?""Ibumu.""Kemudian setelahnya siapa?""Ibumu." Untuk kali berikutnya orang itu kembali bertanya, "Lalu siapa?""Ayahmu,"jawab baginda s.a.w.--

Antara Kita Dan Katanya

Sabtu, 17 Oktober 2009
Perjalanan ini..
Kita alpa...kau kata apa yang paling jauh
Kita kejar tak dapat....
Kita cepat tak sempat...
Mendekati tak rapat...

Jarak ini…
Kita beringat….kau kata apa yang paling dekat
Kita rasa tapi tak terlihat
Kita tahu tapi bilakan terbuat?
Menunggu masa menanti saat

Perbuatan ini
Senang buat…kau kata apa yang paling ringan
Kita angkat tapi tak lengkap
Kita buat tapi cemerkap
Profesionalnya kita terperangkap

Letih ini
Amat ligat..kau kata apa yang paling berat
Batu besar bisa dilontar
Besi keluli mudah dilempar
Kata senang buatnya gusar

Hubungan ini..
Kita berjaga..kau kata apa yang paling tajam
Pisau cucuk tak mati..
Pedang libas tak disakiti..
Lembut deria mencengkam hati...



Selamat Bintulu..Kuching Mari!!!!!

Selasa, 28 Julai 2009

Assalamualaikum wbt....


Setelah sekian lama bercuti praktikal(huh..lebih 2 bulan 000...maklumla poliku da buat short course), sampai la sekarang waktunya ana berhijrah ke kuching pula. Bukan apa-apa, bukan saja-saja, bukan ngada-ngada ya.. Cuma akan berhijrah ke Kuching untuk menyambung semula pengajian ana yg sudah lama terputus 'line cabel'nya(maklum la..cuti panjang skit semester ni).

Ana akan menyambung pengajian untuk tahun terakhir ana dalam Kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik(lepas ni jarang ler nak online lagi). Bukan setakat tu jer, 'kontrak' jadi Ajk RAPI pun dah ditawarkan awal-awal lagi. Maknanya cabaran yang bakal ditempuh selepas ini menjadi semakin mencabar(skrg dh jadi senior Ajk RAPI..ujian dari Allah tuh)

Apa-apapun doakan kejayaan ana dan rakan-rakan seperjuangan di Poliku nanti...










semoga kekal macamni sentiasa lepas setahun ana di kuching yer kampungku.....

Kisah "Semut Hitam","Manisan" dan Berada di "Sarang"nya

Jumaat, 24 Julai 2009
Sebulan Yang Lalu

Di pagi yang indah itu dah bersiap-siap dah nak pergi pasar. Nak beli ikan parang. Tapi tak macam parang pun ikan tu. Nama saja ikan parang tu. Sungguh murah ikan tu. Sekilo RM 5 jer. Kalau beli banyak lagi murah. Lagipun takde lah orang meminati sangat ikan tu. Ana nak beli pun untuk buat keropok lekor. Lagi banyak untung daripada makan.

Jarak perjalanan dari rumah ke pasar memakan masa 10 minit jer. Nasib baik masa tu tak di telan kan...

Ana hidupkan tunggangan ana supaya dia cepat panas. Nanti cepat jugak la perjalanan ke pasar tu.

Macam biasalah, laluan tikus untuk cepat samapai ke pasar ana gunakan. Kalau guna laluan semut, susah sikit sebab semut ni gigi dia tajam dan suka kacau tunggangan orang. Kalau guna jalan tikus, jimatlah sikit. Taklah tunggangan ana nanti cepat berpeluh dan letih.

Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba ana ternampak tunggangan orang lain berpatah balik. Ana pun hairan. Kenapa tunggangan yang besar-besar tak berpatah balik pulak. Ana memperlahankan tunggangan ana pula, sambil mata terkedip-kedip melihat jauh di depan sana. Maklumlah ana ni rabun jauh.

Rupa-rupanya ada semut yang buat kacau kat depan sana. Semut Hitam lagi. Banyak pulak tu, lebih dari 10. Semua tunggangan kecil dan besar dikacau oleh semut itu. Kelam kabut dibuatnya. Nasib baik ada satu simpang ke kiri sebelum berada betul di kawasan semut hitam itu. Apalagi, ana pun masuk simpang ke kiri tu lah. Tapi, nasib ana kurang baik la, ada jugak semut kat simpang tu buat kacau jugak. Semut Hitam jugak. Bilangan semut hitam kat situ ada 8.

Mahu tak mahu ana dan tunggangan ana ditahan dan dikacau oleh semut hitam itu.

"Huh, kamu.. Pergi ke tepi sini!"Kata semut hitam bergigi tajam tu. Cuak ana dibuatnya. Maklumlah pertama kali ana kena kacau semut hitam.

Semut tu pun berkata lagi "Ada makanan tak?"Semut tu menyoal.

"Takde, semut" ana dengan selamba menjawab.

"Apa! Takde kau cakap. Kalau kalau macam tu aku bagi kau surat jemputan ke sarang kami dan bagikan manisan kepada Tuan kami sebagai ganti. Siapa suruh kau tak bawakan makanan untuk kami kat sini" kata semut tu.

"Baiklah, ana mengaku tak bawakan makanan. Kalau macam tu, bila ana boleh bagi manisan kat Tuan semut?" Ana menyoal semut hitam tu.

"Oh, kau datang sebulan kemudian dari tarikh sekarang nih. Bolehkan? Kalau tak aku ambil tunggangan kau ni kalau kau tak datang" jawab semut tu.

"Baiklah semut." Jawab ana dengan suara perlahan.


3 hari sebelum berjumpa Tuan semut

Sebelum ana berjumpa dengan Tuan semut tu, teringin pulak hati ana ini untuk melihat kawasan sekitar sarang Tuan semut tu.

Maka, ana pun pergi bersama dengan tunggangan ana. Sesampainya di sana, ana melihat banyak semut-semut sibuk dengan tugas masing-masing

Ada yang menyemak surat jemputan, ada yang menerima manisan dan pelbagai macam ragam lagi. Maklumlah, "semut"......


Berjumpa Dengan Tuan semut di Sarangnya

Ana menunjukkan surat jemputan kepada pengawal yang bertugas di sarang itu.

"Kamu boleh masuk ke bilik sana untuk menanti giliran memberikan manisan kepada Tuan kami" pengawal itu memberitahu ana.

Ana pun masuk sementara menati giliran untuk memberikan manisan kepada Tuan semut tuh.

Setelah lebih kurang 20 minit kemudian, maka tibala giliran aku untuk memberikan manisan tersebut kepada Tuan semut

Penolong tuan semut tu pun datang rapat kepada ana.

"Sebulan yang lepas, kamu didapati tidak memberikan makanan kepada semut yang menahan kamu. Betul ke?" Soal penolong Tuan semut itu.

"Betul." Ana menjawab.

"Tuan semut, dia ni mengaku kerana tidak memberikan makanan kepada semut yang membuat kacau sebulan yang lepas. Maka,Tuanlah yang berhak menentukan seberapa banyak jumlah manisan yang perlu diberikan kepada Tuan

"Baiklah,penolongku. Maka dengan ini kau perlu berikan aku sebanyak 350 manisan kerana tidak memiliki makanan semasa membawa tunggangan ketika ditahan oleh semut hitam yang buat kacau sebulan yang lepas." Jawab Tuan semut itu.

Muktamad.





Ni 'Tunggangan'



Ni 'resit manisan'



dan ni pula "semut hitam' tu



p/s : Len kali kena bawak makanan, taklah semut kacau nanti.

Kaya Tidak Mesti Bahagia....

Selasa, 21 Julai 2009
Oleh ZUARIDA MOHYIN


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut?

KAU mesti ingat, perkahwinan itu bukan untuk sehari dua. Sebaliknya, ia untuk selama-lamanya. Sebab itu, susah senang kena hadapi bersama. Mungkin pesanan ini sering kali disampaikan atau diperturunkan kepada pasangan pengantin oleh orang tua-tua sebagai pendedahan melangkah ke alam hidup berumah tangga.

Malah semakin usia perkahwinan melangkah ke hadapan melepasi fasa pertama dan pada masa yang sama, bahtera perkahwinan terus menerus mengharungi cabaran semasa. Kesabaran menangani asam garam dalam kehidupan berkeluarga, akhirnya diraikan dengan pelbagai cara.
Pun begitu, tempoh sedekad atau sehingga mencapai sambutan sempena jubli perak atau jubli emas sekalipun, tidak akan membawa apa-apa pengertian andai ia dinilai dari sudut usia semata-mata. Aspek seperti matlamat, tujuan dan perlaksanaan syariat hidup berumah tangga Islam itulah yang seharusnya turut diambil kira.




Sayangnya, penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan.

Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri kita, adakah perkahwinan kita itu sarat dengan unsur-unsur seperti kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan? atau adakah ia sekadar angka yang hendak dibanggakan?

Hakikatnya, menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak, pun begitu sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Malah setiap manusia tidak kira bangsa, agama, status dan usia mendambakan kehidupan berkeluarga yang harmoni dan bahagia.

Mengulas tajuk forum dalam Seminar Rumahku Syurgaku - Kau Dekat di Hati iaitu 'Selaut Kasih, Segunung Sayang' anjuran anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial & Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Masjid Negara kata Sharifah Hayaati, seperkara yang tidak dapat dinafikan apabila menyentuh dan menyebut tentang kasih sayang Allah, ia memang melaut. Apatah lagi, laut itu tidak bertepi.
Malah, beliau turut menyarankan agar setiap insan, sama ada isteri mahupun suami mesti selalu menadah tangan kepada Yang Maha Kuasa, Allah SWT meminta agar dikurniakan rumah tangga yang diibaratkan syurga di dunia.

"Rumah tangga itu adalah satu ibadat dan nikmat Allah SWT, jadi kita patut baca balik atau semak semula serta membuat muhasabah diri. Walaupun sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya, kita perlu menanyakan kepada diri, adakah cinta dan sayang kepada pasangan kita itu selaut?

"Jangan sesekali kita mengambil kesempatan atas panjangnya tempoh perkahwinan kita itu. Ini bermaksud, dari dahulu hingga sekarang, perkahwinan kita itu janganlah begitu sahaja. Yang penting bunga-bunga cinta itu perlulah sentiasa dimekarkan dan disemarakkan selalu agar elemen bahagia itu berkekalan sehingga ke hujung hayat.

"Malah kita kena selalu tanamkan dalam diri, bahawa setiap kali kita menghadiri majlis ilmu, khususnya berkaitan hubungan suami isteri, kita kena pasang niat bahawa tujuannya adalah semata-mata untuk mendapatkan kebahagiaan dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.
"Begitu juga kalau ada masalah, itulah lumrah rumah tangga seperti lidah yang ada ketikanya tergigit. Maka, minta Allah perbetulkan. Kalau ada kasih sayang yang tidak ditunjukkan, maka disegar dan dibugarkan," terang beliau.

Menurut Sharifah Hayaati, ini kerana setiap pasangan itu sendiri akan boleh mengetahui dan merasai sekiranya hubungan itu tidak ada kekuatan kasih sayang.
Kata beliau lagi, ramai di antara kita yang tidak nampak atau perasan dengan nikmat yang dikurniakan-Nya dan apabila disedari ia sudah terlambat iaitu apabila ia sudah tiada.
Contohnya nikmat tidur atau makan, ia disedari setelah kita mengalami kesakitan, begitu jugalah dengan kebaikan suami atau isteri, ia disedari setelah mereka tiada lagi.
Menurut Sharifah Hayaati, Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah.

Oleh itu, untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:


Rumahku adalah syurgaku, ia memerlukan kepada kekayaan hati.
Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah yang bermaksud:


Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup serta bersyukur terhadap nikmat yang dimiliki, maka apa juga yang melanda dalam rumah tangga, ia mampu ditangani secara bijaksana.

Sifat-sifat mulia

"Justeru, dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur dan sebagainya," katanya.

Di samping itu, dalam konteks membina 'syurga' dalam rumah tangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak demi melahirkan rasa tanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing.

"Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemaikan nilai-nilai murni kepada mereka," ujar beliau.

Sementara itu, Kaunselor Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat pula menjelaskan, dalam konteks kasih sayang atau membina kasih sayang khususnya hasrat membina rumah umpama syurga, antara kriteria yang perlu ada ialah penghuninya hidup dengan berkasih sayang.

Ulas beliau, syurga itu terbina daripada asas perkataan; Shim, Ra, Ga dan Alif. Shim itu bermaksud seronok. Dalam konteks rumah tangga misalnya, suami dan isteri itu perlu saling seronok.

Ia lebih terletak pada wajah, layanan dan sebagainya yang akan melahirkan bibit-bibit kasih sayang. Lagu Nash, Ada Syurga Di Wajahmu amat sesuai dihayati.

Ra pula bermakna riang yang menjurus kepada layanan secara jujur dan ikhlas daripada suami atau isteri. Manakala Ga pula ialah gaya kehidupan.

"Sayangnya, ramai yang terleka dalam aspek ini, terlepas pandang atau mengambil mudah. Oleh itu, selagi kita mengamalkan gaya hidup berkeluarga sebagaimana yang digariskan oleh Allah SWT, insya-Allah akan terbinanya rumahku syurgaku itu. Yang akhir iaitu Alif, yang bermaksud isteri dan anak-anak," jelas beliau.

Norazman dalam ceramahnya turut menekankan soal kepentingan setiap pasangan suami isteri itu menunjukkan kasih sayang secara pengucapan dengan kata-kata pujian dan ungkapan romantis. Malah hubungan ini akan bertambah kuat dan kukuh, sekiranya disertakan dengan bahasa badan.

"Adakah sayang itu berterusan sampai sekarang? Itulah yang perlu ditanyakan kepada diri individu setiap pasangan yang berkahwin. Perkataan sayang itu ada tidak disebutkan kepada pasangan masing-masing dari dahulu hingga sekarang?

"Malangnya, dalam budaya orang Melayu, kalau si suami atau si isteri itu menyebut benda-benda yang elok seperti pujian sayang, dianggap sudah buang tabiat. Itulah yang salah dan persepsi inilah kena diubah oleh pasangan berkahwin," tegasnya bahawa sayang itu tidak bertepi, tidak berhenti dan tidak hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata.
Menjelaskan tentang mencari keseimbangan dalam suasana rumah tangga dwi kerjaya pula, kata Norazman, senario sebegini memang bukanlah sesuatu yang janggal.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua suami isteri zaman sekarang kena keluar bekerja demi memenuhi kehendak di dalam rumah tangga dan perkembangan semasa kehidupan. Pun begitu, janganlah benda atau material itu menjadi tekanan kepada rumah tangga. Contohnya, meniru atau membandingkan gaya hidup dengan orang lain seperti jiran atau teman.

"Keperluan kehidupan itu walaupun perlu ada tetapi biarlah ia berpadanan, berpatutan atau berwajaran dengan kemampuan yang ada. Malah walaupun mampu, adakah ia satu keperluan? Jika tidak perlu tetapi kita tetap mengingininya, lantas dalam konteks agama Islam, di situ sudah berlaku pembaziran.

"Hari ini fenomenanya, ramai suami isteri yang dwi kerjaya maka wujud di situ tanggungjawab bersama. Namun tidak lari daripada konsep, isteri berkerja membantu ekonomi keluarga manakala suami tunggak dalam rumah tangga. Oleh itu, resipi yang perlu ada dalam rumah tangga dwi kerjaya iaitu kenalah dilakukan perancangan kewangan bersama," terang Norazman. Bekerja bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas tetapi kena bijak merancang kewangan seperti peruntukan untuk pendidikan anak-anak, pinjaman, tabungan yang semuanya demi keharmonian, kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga.

Oleh itu, pesanan beliau, lelaki atau perempuan masing-masing mempunyai peranan dalam kehidupan di dunia untuk menjayakan wawasan hidup berkeluarga. Di samping itu, kita juga kena beringat bahawa setiap yang Allah beri itu, akan ditanyakan oleh-Nya terutamanya berkaitan harta yang dimiliki, masa, usia dan sebagainya.

Kefahaman mengenai tanggungjawab rumah tangga dan kerjaya ini apabila difahami, disokong dan didokong maka masalah akan mengecil.

Pada majlis yang sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kesuma, Jakim, Zawiah Hassan mengatakan bahawa 99.5 peratus anak-anak yang bermasalah datangnya dari rumah tangga yang bermasalah. Rumah yang porak peranda adalah disebabkan oleh ibu dan bapa itu.
Lantaran itu, ibu bapa kini perlulah berusaha menyediakan suasana dan persekitaran rumah yang kondusif atau selesa bagi anak-anak mereka. Ini secara langsung, dapat mengelak anak-anak ini mencari kebahagiaan dan ketenangan di luar rumah.

"Perkara pokok yang perlu ada bagi setiap seorang daripada kita ialah belajar untuk menjadi orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Malah kita kena percaya dan mengakui bahawa tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia ini kecuali-Nya.

"Oleh itu, sebarang masalah, cabaran dan musibah itu adalah lumrah kehidupan. Yang mana perkara-perkara itulah menjadikan suami, isteri dan anak-anak lebih matang dalam melihat sesuatu situasi.

"Selain itu, kita persoalkan diri adakah kita ini benar-benar mengenali pasangan kita? Perkahwinan yang berkekalan lama, jangan dijadikan alasan untuk tidak menilai perkara ini semula. Hakikatnya, sifat kenal mengenali inilah kena sentiasa dinilai secara berterusan," kata beliau kerana kursus perkahwinan tidak mampu membendung perceraian.

Cadang Zawiah lagi, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menyemarakkan rasa cinta dan kasih dalam sesebuah keluarga iaitu; melaksanakan solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran, berzikir, beriadah, berpuasa, bergurau senda serta tidak kurang penting iaitu menghadiri majlis-majlis ilmu. Ini kerana katanya majlis ilmu itu adalah Raudhatul Jannah.

Seminar yang berlangsung di Dewan Solat, Majid Negara itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kesuma, Ghafani Awang Teh. Manakala moderator pada forum itu ialah Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno.

dipetik dari akhbar http://www.utusan.com.my/