Ketegangan Agama : Nik Aziz Persalahkan UMNO

Khamis, 28 Januari 2010
KOTA BHARU, 28 Jan: Umno perlu bertanggungjawab terhadap ketegangan yang berlaku di negara ini termasuk insiden kepala babi yang dilontarkan di dua buah masjid di Petaling Jaya semalam.

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata perkara buruk seumpama itu berlaku akibat Umno telah menghilangkan rasa hormat masyarakat kepada agama.

Akibatnya, berlakulah perkara negatif seperti merosakkan rumah ibadat agama lain dan melemparkan kepala babi di masjid tempat orang muslim beribadat.





(GAMBAR: Nik Aziz makan tengahari bersama paderi Kristian di sebuah hotel hari ini. Turut serta 200 pemimpin lima agama utama di Malaysia)

“Astaghfirullahalazaim…saya mendoakan semoga Kelantan terselamat dari gejala itu termasuk Malaysia juga.

“Kalau kita tidak suka pada ajaran agama lain, kita tidak boleh menghianati, kalau buat jahat kita kena dakwah dia," katanya.

Sikap Umno yang menolak dasar Islam dalam perjuangan mereka juga jelasnya telah menimbulkan salah faham khususnya golongan muda yang hanya memahami Islam seperti rukun Islam solat dan puasa sahaja.

Sedangkan Islam lebih luas dari kefahaman itu.

“Perkara sebegini akan ditanggung oleh Umno dunia dan akhirat kerana memandang remeh soal Islam, sepatutnya sejak awal lagi mereka membuang perjuangan kebangsaan,” ujarnya.




Beliau berkata demikian selepas meraikan 200 ketua-ketua pelbagai agama di Hotel New Pasific, di sini tengah hari tadi.

“Apa yang dilakukan sekejap tadi (majlis mahabbah) sebenarnya untuk meneruskan kefahaman, persaudaraan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian sebahagian dari cabang kerja-kerja Islam,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana telah berjaya menghimpun semua ketua-ketua agama di Kelantan dan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau menggunakan kesempatan tersebut bertemu ketua-ketua agama lain dengan mengunjungi dari meja ke meja diiringi anggota-anggota exco kerajaan negeri yang lain.




Dalam pada itu, Pengarah Program, Datuk Mohd Amar Abdullah dalam ucapannya sebelum itu berkata, program mahabbah yang dianjurkan ini sebagai menzahirkan hidup bermasyarakat rakyat pelbagai anutan agama dan kaum.

“Ianya symbol keamanan masyarakat di negeri ini dan mudahan akan menjadi ikutan di negeri-negeri lain,”ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Majlis Perunding Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh, Kalanalagan dan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Dr Herman Sastri.

Di Kelantan sahaja lebih 30 ketua-ketua agama dari rumah ibadat Budha, Hindu dan Sikh hadir pada majlis yang penuh bersejarah itu.

Tiap-Tiap Tahun Baru..Niat?

Jumaat, 1 Januari 2010
Dari Amir Al-mu’minin Abu Hafs ‘Umar Ibn Khattab radiyallahu ‘anh, katanya : Aku dengar Rasulullah sallahu ‘alayhi wasallam bersabda : Hanya segala ‘amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.

Diriwayatkan hadith ini oleh dua orang Imam hadith iaitu Abu ‘Abdullah Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn Al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari dan Abu al-Hussain Muslim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi dalam kitab sahih keduanya, iaitu kitab yang amat sahih di antara segala kitab yang pernah disusunkan.
Alhamdulillahi rabbal’alamin

Bersyukur kita ke hadrat Allah subhanawata’ala dengan nikmat kurniaan-Nya masih lagi kita diberikan kesempatan untuk menghirup nafas baru..nafas tahun baru yang kini sudah memasuki tahun 2010..

Masih juga tidak dilupakan dengan tahun baru Islam yang masih segar juga walupun kini sudahppun memasuki tanggal 15 Muharam 1431 Hijriah.

Apa-apapun jua 2009 sudah pun meninggalkan kita kini kita berteman dengan hari-hari yang baru,bulan-bulan segar,waktu-waktu yang muda dek tahun yang baru..2010. Kalau sekarang ini sudah tentu di pasar-pasar, Mega Mall, Parkson dan banyak lagi kedai-kedai akan dikerumuni oleh insan-insan yang merebut nikmat ‘gelora hujung tahun’. Manakan tidaknya, jualan murah untuk menghabiskan jualan stok di sana sini. Tak kurang juga ada yang berpusu-pusu untuk membeli barangan sekolah..baju baru,alat tulis,kasut,stoking dan macam-macam lagi untuk anak-anak mereka menghadapi zaman persekolahan yang dianggap dunia baru bagi mereka di tahun baru.

Selain itu ada juga yang berazam untuk menjadi orang yang lebih berjaya dari tahun sebelumnya,mahu lebih kaya dari tahun sebelumnya dan segala macam mahu yang dimahunya..

Tetapi sahabat-sahabiah yang dirahmati oleh Allah subhanawata’ala, cuba kita imbas muka dan renungkan sedalam-dalamnya rakaman-rakaman aksi kita sepanjang tahun 2009.

Apa kata hati?
Apa bicara nafsu?
Apa kotak fikir rasa?
Di ruang legar atau sempadan nyata?

Kita sebagai seorang pendakwah di muka bumi Allah..pernahkah kita bertanya…

Apakah kita pernah terfikir apa yang kita azam dan apa yang kita niatkan semuanya semata-mata untuk keredhaan Allah swt?

Apakah amalan kita sepanjang tahun 2009 yang baru berlalu adalah amalan yang benar-benar berkualiti nilainya?

Oleh itu seharusnya pentingnya kita menjaga niat kita kerana niat yang terselit di hati ialah punca yang menentukan akibat amal. Baik amal itu kalau niatnya baik, jahat amal itu kalau niatnya jahat sekalipun amal itu pada zahirnya baik. Malah niat itu pula adakalanya dapat mengubah sesuatu perkara dan adat,menjadikan ia suatu jenis ketaatan dan jalan ke arah perdampingan kepada Allah.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud :

“Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kerana-Nya, dengan menjauhi kesesatan,dan (supaya) mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat,kerana demikian itulah agama yang lurus.”

Jesteru itu,marilah kita sama-sama berazam dan niat dengan seikhlas-ikhlasnya agar apa yang kita buat akan menjanjikan keredhaan Allah swt. Bersama-samalah kita berusaha supaya keikhlasan akan hadir pada diri kita dan sesungguhnya keikhlasan tidak akan hadir tanpa kesungguhan yang tinggi dan istiqamah dalam melakukan sesuatu gerak kerja.

Semoga di tahun baru ini harapnya azam dan niat kita akan terus berusaha untuk menaikkan syiar Islam khususnya di muka bumi Sarawak ini dan boleh memberikan sedikit sebanyak angin perubahan minda dan kata masyarakat .

“Bergeraklah ke gerbang jasa,kalah menang bukan alasannya”


Sedikit rujukan melalui Hadith 40 karya Mustafa 'Abdul Rahman-Hadith pertama

Mohd Hackal Ibn Abu Asr
1/1/2009
11.57
Institut Tahfiz Bintulu

'Jejak Fakir Kita Bersaudara' dekati golongan pengemis buta di Sarawak

Sabtu, 12 Disember 2009
KUCHING, 30 Nov: Berobjektif mengenali dan memahami masalah kehidupan pengemis buta di jalanan, Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) awal bulan ini telah menganjurkan program Jejak Fakir Kita Bersaudara baru-baru ini..


Menyedari kewajipan sebagai seorang muslim untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, Ketua Penerangan, Amal Amani serta Ketua Muslimatnya bersama-sama jentera muslimat negeri turun padang menjejaki fakir-fakir miskin di sekitar Satok, India Street dan Jalan Gambir.

Bantuan bahan makanan asasi seperti beras dan gula diagihkan kepada mereka yang kurang mendapat pembelaan dari pihak berwajib ini.

Hasil perkenalan mereka dengan golongan peminta sedekah ini, ada di antara mereka yang merantau jauh dari Miri dan menumpang di rumah rakan di Kuching serta terputus bantuan wang ehsan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ekoran tidak menuntut wang tersebut dalam tempoh dua bulan.

Jika difikirkan dari segi logiknya, untuk menyeberang jalan pun golongan ini memerlukan bantuan, apatah lagi untuk pergi sendiri ke JKM bagi menuntut hak mereka yang tidak seberapa, kata Amal.

"Ini jelas menunjukkan JKM sambil lewa dalam menjalankan tugas mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kesempatan itu juga Aaml memberitahu, lebih dua ratus 'flyers' diedarkan kepada masyarakat awam yang berada di sekitar kawasan berkenaan bagi memperkenalkan PAS kepada masyarakat Sarawak khususnya di Bandaraya Kuching.

Selain itu, bahan-bahan edaran Kita Bersaudara seperti 'batch' dan pelekat turut dihadiahkan kepada masyarakat setempat.

Meskipun program tidak sampai sehari iaitu bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 3.00 petang namun ianya sangat bermakna bagi pelaksana kerana kehadiran mereka disambut mesra dan girang oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira golongan kanak-kanak mahupun golongan dewasa dan warga emas.

Kamek Sayang Tok Guru

Sabtu, 5 Disember 2009
KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.

Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.



Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.






Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.

“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.





Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.




“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.


Sumber: Harakah Daily

Semoga Sembuh, Ibu........

Ahad, 25 Oktober 2009
Seusai berusrah di Unimas bersama beberapa ikhwan dan ikhwah, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing. Lebih-lebih lagi ana,yang paling gembira sekali. Lebar senyum sampai ke telinga kerana akan berjumpa dengan keluarga di Semariang nanti. Al-maklumlah sebab emak,abang Wandy,abang Long dan kakak ana datang ke Kuching untuk menghadiri satu majlis. Ana pun tidak membiarkan masa emas itu berlalu merentas masa fitrahnya. Jadi dengan kesempatan itu ana ambil untuk berjumpa dengan mereka. Tidak sabar untuk berjumpa dengan keluarga walaupun bukan semuanya datang. Sekadar untuk melepaskan kerinduan di hati selepas menyambung semula pengajian di Kampus Poliku selepas cuti raya tahun ini.

“Assalamualaikum”,ana memberi salam.

“Waalaikumsalam”,jawab abang ana.

“Abang kat mana ni,tolong ambil ana kat Wisma Satok sekarang,boleh?” soal ana.

“Abang kat rumah Pak Wa,abang Pak Ngah kitala. Ok,nanti abang ambil kamu.”Respon abang ana.



………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….


“Assalamualaikum,Pak Ngah.”

“Waalaikumsalam,Is,kamu rupanya.Huh, masuklah jangan malu-malu.”

“Err,mana emak,ana nak jumpa dia la.”

“Ouh,ada kat dalam bilik tu. Dia kurang sihat Is. Baik kamu lihat emak kamu kat bilik tu.”

Mula terbit rasa kerisauan di hati akibat respon saraf rasa kasih sayang yang diterima pada otak lalu diterjemahkan kepada rasa tidak senang hati apabila mendengar kata-kata Pak Ngah. Ana tanpa membuang masa segera melangkah cemas ke bilik yang ditunjuk oleh Pak Ngah sebentar tadi. Ana membuka pintu bilik perlahan-lahan. Takut mengganggu kalau-kalau emak sedang tidur. Selesai membuka rahang pintu sepenuhnya, ana melihat sekujur tubuh sedang berselimut di atas katil. Kesejukan menggigil hiba. Emak. Kehadiran ana disedari oleh emak. Ana pun menuju ke arah emak dan duduk disebelah kirinya.

“Mak,kenapa kurang sihat. Sakit apa?” ana bertanya perlahan.

“Mak kurang sihat. Demam panas. Dah 5 hari sakit.”perlahan menjawab tanya.

Ana pun menyentuh pipi emak. Ya Allah, panas apakah ini?.
Panas sangat.

Panas dunia.

Panas sengsara menanggung keluarga.

Bukti tanggungjawab besar.

Kesan kerja kuat memberi bahagia kepada keluarga.

Semuanya itu tertumpu pada minda sedar, fikir rasa deria.

Tak tertahan mata hati melihatkan penderitaan emak untuk orang lain senang.

Air mata ana mengalir di laluan setia pipi tanpa kawalan secara manual diri. Dibiarkan automatik keluar dari mata zahir.

Anak yang diberi senang.

Anak yang disayang-sayang.

Anak yang dikenang-kenang.

Bukan ana tapi semua.



…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………


Selesai sahaja menziarahi rumah sahabat abang Wandy di Taman Sukma pagi tadi, keluarga ana pun bersiap-siap untuk balik ke rumah.Perjalanan selama lebih kurang 900 kilometer. Destinasinya Taman Sukma,Kuching – Kampung Assyakirin,Bintulu. Ana tak berkesempatan nak balik bersama kerana masih lagi mengaji di Kampus Poliku,semester 5 dalam bidang kejuruteraan elektronik. Ana hanya sempat mengucapkan selamat tinggal dan bersalam-salaman bersama-sama keluarga.

“Mak,baik-baik jalan ya. Ana minta maaf sebab jarang telefon keluarga selama ana kat Kuching ni. Mak,doakan kejayaan ana kat Politeknik. Tak lama lagi dah nak ujian akhir. Semoga lulus hendaknya”,pintaku.

“Baiklah,nak”,balas emak.

Ana melambai-lambai keluarga ana yang semakin jauh dari pandangan mata tetapi dekat dari pandangan hati.

(Ya Allah, kau berilah kesihatan kepada ibuku sentiasa. Amiin.)

25-25/10/2009
5.10 p.m.



--Dari Abu Hurairah r.a., datang seseorang menemui Rasulullah s.a.w dia bertanya, "Wahai rasulullah, siapakah yang paling layak untuk aku bergaul baik kepadanya? Baginda s.a.w menjawab,"Ibumu"."Kemudian siapa?""Ibumu.""Kemudian setelahnya siapa?""Ibumu." Untuk kali berikutnya orang itu kembali bertanya, "Lalu siapa?""Ayahmu,"jawab baginda s.a.w.--