Demokrasi Malaysia : Ada Aku Kisah

Sabtu, 21 Januari 2012

Jika rakyat punya kepekaan dalam melihat situasi politik di negara Malaysia, sudah pastilah ada nilai demokrasi yang akan diamalkan oleh mereka sendiri.

Demokrasi itu bukan sekadar mengundi parti mana yang hendak dipilih semata-mata, tetapi juga bagaimana rakyat diberikan peluang menilai setiap parti yang bertanding untuk memegang tampuk pemerintahan dengan saluran maklumat yang adil dan telus.

Saya yakin kesan dan akibat yang dilaksanakan oleh pemerintahan negara kini hanya menyebabkan sebilangan besarnya masyarakat Malaysia khususnya golongan remaja SANGAT TIDAK PEKA dan TIDAK CAKNA dengan isu nasional.

Ini semua adalah akibat daripada sistem yang telah dilaksanakan tidak membawa hasil yang memberangsangkan secara keseluruhan.Tidak bermakna semuanya tidak baik.

Adakah KEJAYAAN itu diukur dengan hanya melihat PEMBANGUNAN yang membangun pesat semata-mata. Tidak,lihat juga dari segi pembangunan insan.

Krisis masalah sosial semakin meningkat dan bertambah teruk setiap tahun. Ini masalah AKHLAK yang masih pemerintahan sekarang tidak dapat membendungnya selagi tidak ada satu sistem yang betul dilaksanakan.

Ya,memang betul. Setiap parti akan saling salah-menyalahkan diantara satu sama lain. Mereka mempertahankan prinsip dan ideologi masing-masing.

Kita sebagai rakyat yang menjadi 'mangsa' keadaan. Itu mungkin tidak mengapa kerana ada kemungkinan kita yang sebenarnya tidak pandai membuat penilaian untuk memilih. Mungkin sudah terpengaruh dengan slogan "ADA AKU KESAH"....

Tidak peka dalam membuat penelitian.

Hanya tahu dan mahu untuk mendapat manfaat sahaja daripada manifesto yang diwar-warkan oleh setiap parti.

Dalam kajian, hampir 3.8 juta rakyat yang rata-ratanya adalah golongan MUDA masih tidak tidak mendaftar sebagai pengundi. Anda seorang individu yang intelektual, anda pasti tahu di mana mereka sekarang ini berada dan tahu apa yang harus anda perlu lakukan di setiap peranan dan ruang mampu kita. Ini FAKTA.

Atas keterbatasan masa,ini hanya sebahagian dari sisi pandang penulis, selebihnya anda harus mencari. Takkan terus menjadi seorang bayi, setiap hari hanya mahu disuapkan nasi ke dalam mulut. (^_^)/..

Oley!!! VS Sembang Rakyat : Mata Dan Akal Anda Nilai Apa

Jumaat, 16 Disember 2011

Klik search pada link di Youtube.com



Jangan jadi jahil dalam menerangkan sesuatu.

Lebih-lebih lagi bila ia berkaitan dengan hukum Allah.

Video dan gambar menceritakan segala-galanya.

Anda yang menilai baik dan buruknya...


Baitul Muslim : Kek atau Durian ?

Rabu, 23 November 2011

Bismillahirrahmaanirrahiim,

Setiap insan ingin mempunyai pasangan dan keluarga kerana ianya adalah fitrah bagi setiap insan, namun adakah keluarga yang dibina tersebut adalah bercirikan Baitul Muslim? Untuk mempunyai keluarga yang bercirikan Baitul Muslim setiap individu bukan saja perlu menjadi Individu Muslim malah perlu bijak dalam memilih pasangan kerana pernikahan antara Individu Muslim dengan Individu Muslim bukan saja akan membina Baitul Muslim malah akan terbina juga Baitul Dakwah. Maka mampukah Baitul Muslim dan Baitul Dakwah berdiri teguh seandai kita “kurang bijak” dalam memilih pasangan hidup?

Statistik penceraian menunjukkan bahawa berlakunya penceraian setiap hari.Banyak penceraian berlaku berpuncakan tidak wujudnya “Pernikahan Fikrah”. Mustahil si suami dan si isteri mampu berganding bahu memartabatkan Islam seandai salah seorang atau kedua-duanya tidak mempunyai Fikrah Islami dan amat mustahil si suami dan isteri mampu saling memahami tuntutan tanggungjawab pasangannya ke atas masyarakat seandai tidak sefikrah atau tidak saling memahami. Dasar sebuah pernikahan bukanlah hanya sekadar memuaskan nafsu diri secara halal tetapi dasar sebuah pernikahan yang sebenar adalah untuk membina sebuah kekeluargaan Islam yang mampu menjadi agen kepada gerakan Islam yang bakal membantu wujudnya semula Khilafah Islamiah[Individu Muslim ► Kekeluargaan Islam ► Masyarakat Islam ► Negara Islam ► Khilafah Islamiah (Kerajaan Islam)]

Kek atau Durian?

Kek dilihat sungguh enak untuk di makan , berkrim namun ia tidak tahan lama malah kemungkinan sudah mempunyai kulat kerana dihinggap oleh lalat kerana dijual secara dipamerkan. Itu lah peribaratan buat golongan yang mendedahkan aurat atau hubungan sosial yang tidak terjaga , mungkin dilihat mengikut kaca mata yang bernafsu serakah ianya cantik namun apa gunanya suatu kecantikan itu seandai sudah ada tangan-tangan gatal yang mengusik ia.

Buah durian dilindungi oleh duri-durinya. Untuk merasa keenakkan buahnya perlu menunggu kematangan buah tersebut dan dibuka untuk mengambil isinya. Walaupun adakala isinya kurang manis atau rosak kerana berjaya ditebuk oleh tupai dan monyet namun sekurang-kurangnya masih ada isinya yang masih boleh di makan.Namun durian yang isi yang cantik juga tetap akan cuba dicari oleh si tupai dan si monyet. Ia juga boleh diibaratkan buat golongan yang menjaga akhlak dan perilaku. Duri-duri buah durian ibarat penjagaan akhlak dan perilaku. Mungkin ada sebilangannya mempunyai kisah silamnya yang tersendiri namun dan cuba diganggu oleh “golongan perosak” namun sekurang-kurangnya ia telah bertaubat dan masih mempunyai kebaikan yang perlu dihargai.

Pilih Memilih

Saya bukanlah hendak memburukkan golongan yang diibarat seperti kek , namun untuk pemilihan pasangan hidup perlulah difikirkan bukan saja untuk kebahagiaan didunia namun untuk kebahagiaan di akhirat kelak.

Golongan yang diibaratkan seperti kek juga perlu difahami dengan proses dakwah dan tarbiah .Bukan untuk pernikahan menjadi pasangan hidup tetapi untuk di tarbiah untuk memastikan wujudnya Masyarakat Islam. Mungkin akan ada yang berkata “Dakwah dan tarbiahlah dengan pernikahan” , namun persoalan utama mampukah proses dakwah dan tarbiah itu diwujudkan selepas pernikahan? Tidak semua orang mampu menjalankan proses dakwah dan tarbiah ke atas pasangannya selepas alam pernikahan jika fikrah pasangannya masih “Zero” kerana bukan mudah mewujudkan “From Zero to Hero” di alam pernikahan.

Memilih bakal suami atau isteri yang mampu menjadi “payung atau tongkat” dalam menjalani kehidupan adalah amat penting. Si suami suatu hari nanti kemungkinan akan menjadi bapa dan si isteri pula kemungkinan akan menjadi ibu maka persediaan untuk berumah tangga bukan saja persediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri saja malah perlu persediaan untuk menjadi ibubapa.Si suami bukan saja perlu kewangan yang cukup untuk menjaga isteri dan anaknya tetapi perlukan didikan agama untuk mendidik isteri dan anak mengikut acuan Islam. Si isteri pula bukan saja perlukan kemahiran memasak dan menjahit tetapi perlu juga didikan agama untuk mendidik anak dan menjaga maruah keluarga.

Kesilapan dalam memilih pasangan hidup adalah tindakan merancang kemusnahan rumah tangga!Kesilapan kita dalam memastikan si suami dan isteri memahami Islam dan saling memahami satu sama lain adalah punca berlakunya kerosakkan rumah tangga dan penceraian. Mampukah si suami mendidik isteri dan anak seandai si suami sendiri tidak memahami Islam? Mampukah si isteri menjaga maruah keluarga dan mendidik anak seandai si isteri tidak memahami Islam? Mampukah anak-anak di didik dengan acuan Islam seandai ibubapa sendiri tidak memahami Islam?

Islah dan Pilih

Kita bukan saja bertanggungjawab untuk bijak memilih pasangan hidup tetapi kita juga bertanggungjawab mengubah diri sendiri ke arah lebih baik.Seandai kita mahukan kebahagiaan rumah tangga dengan adanya isteri atau suami dan anak yang baik maka kita juga perlu menjadi seorang yang baik.

Cermin diri kita!Seandai kita mahukan isteri yang solehah maka kita perlu menjadi si soleh dan seandai mahukan si suami yang soleh maka kita perlu menjadi si solehah.Jadilah si soleh atau solehah sebagai usaha untuk mendapat si suami yang soleh atau isteri yang solehah dan anak yang soleh solehah.Selepas kita berusaha menjadi si soleh solehah baru lah kita layak mencari insan yang soleh solehah sebagai pasangan hidup.

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (٢٦)

26. (lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia.
(Surah An Nuur : Ayat 26)

Wallahua’lam.

kredit to blogger : www.ismiazraf.com

Amanah Yang Dibelai Mereka

Sabtu, 19 November 2011
Irdina Zahra Bt Eswandy,anak buah yang pertama..Bakal mendapat anak buah yang kedua daripada kakakku,Ernawita Bt Abbas..InsyaAllah


Pagi ini saya mesti ke poliklinik berjumpa dengan doktor untuk membuka jahitan di bahagian mata saya akibat kemalangan pada hari Sabtu minggu yang lepas. Manakan tidaknya, sepatutnya 2 hari yang lepas saya sudah membuka jahitan luka di mata ini atas arahan bertulis dari pembantu doktor yang bertugas merawat di wad kecemasan di Hospital Serian minggu yang lepas.

Ditambah lagi dengan nasihat seorang doktor juga merupakan sahabat saya walaupun umurnya lebih tua berbanding saya, Dr. Ridhwan, mengatakan kalau lambat dibuka dikhuatiri akan bernanah di tempat yang dijahit. Menjadi tak keruan hati insan ini mendengar. Bak kata pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa tangga. Baik menyegerakannya dari ianya terus melarat dan menghindar dari jangkitan kuman yang tidak diingini.

Walaupun datang ke poliklinik di awal pagi, sudah ramai manusia yang mula membanjiri memenuhi ruang atmostfera bangunan untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Bermacam-macam ragam manusia yang boleh dilihat dengan keadaan mata yang tak berapa elok ini.

Dan yang paling saya tertarik ialah melihat insan-insan yang bergelar ibu bapa sambil mengendong bayi yang saya rasa masih berumur kurang dari 2 bulan. Majoriti. Itu mungkin menjadi kebiasaan pada pandangan biasa manusia tetapi saya melihat dari satu sudut yang menyebabkan hati saya tersentuh.

AMANAH…..

Insan yang lahir dimukabumi ini khususnya kepada mereka yang bergelar ibu bapa adalah amanah yang wajib dipikul oleh setiap mereka.

Walaupun saya tidak punya pengalaman lagi untuk mendidik anak itu tidak bermakna saya tidak mengabaikan aspek yang bakal saya pikul ini (insyaAllah,jika dipanjangkan umur akan melalui saatnya itu).

Hakikat menjaga amanah yang dikurniakan oleh Allah ini sememangnya berat. Ianya memerlukan kesabaran dan kesungguhan untuk menghadapinya. Ibu bapalah yang menjadi titik tolak perjalanan anak-anak mereka.

“Setiap anak dilahirkan didalam keadaan fitrah, maka ke dua orang tuanya yang menjadikan anaknya beragama Yahudi, Nashrani, atau Majusi.”

Dan yang bergelar ibu bapa pula adalah pemimpin bagi anak-anak ini. setiap tindakan dan keputusan akan dipertanggunjawabkan kerana dalam pendidikan anak ini kesannya amat besar sekali. Ia bukan sahaja berlegar di sekitar pembinaan Baitul Muslim sahaja tetapi seterusnya juga akan mempengaruhi ruang lingkup yang lebih besar termasuklah masyarakat,negara sehingga Daulah Islamiyyah itu sendiri.

Teringat akan kata-kata yang dilontarkan oleh Imam al-Ghazali :

”Jika ingin melihat masa depan sesebuah bangsa/negara, lihatlah kepada pemuda-pemudanya”

Dan hakikatnya di atas kebijaksanaan kepemimpinan ibu bapa itu sendiri.

Nabi Muhammad Shalallahu’alaihi wasalam bersabda :

“Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya dari apa yang dia pimpin. Seorang imam adalah pemimpin, dan dia akan dimintai dari apa yang dia pimpin. Dan seorang laki-laki adalah pemimpin keluarganya, dan dia akan ditanya dari kepemimpinannya tersebut. Dan seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya, dan dia akan ditanya mengenai kepemimpinannya tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya tersebut.”

Moga-moga diri saya dan anda semua menjadi insan yang hebat dalam memimpin sesuatu urusan di dunia ini. Seni kehidupan adalah seni yang unik. Pentadbir di mukabuminya adalah manusia yang lahir dari air mani yang hina tetapi mulia kerana amanah.

Rehat Yang Serba Salah

Selasa, 15 November 2011


Gambar kereta yang penulis tumpang selepas kemalangan berlaku

Penulis kini sedang berehat di rumah di kawasan Taman Matang Jaya,Kuching.

Bukan rehat yang diminta-minta padahal banyak lagi tugasan dan gerakerja yang perlu diselesaikan atas taklifan dan amanah yang diletakkan di bahu penulis ini. ketidakselesaan menyelubungi diri tika ini. tidak berapa selesa dengan rehat yang ada. Hadirnya serba salah menyapa.

Tetapi, dek kekangan pergerakan dan kesihatan yang terganggu akibat terlibat dalam satu kemalangan di jalanraya baru-baru ini.

Kaki dan tangan penulis mengalami lebam-lebam dan kecederaan ringan. Kelopak mata dan bahagian tepi mata kiri penulis dijahit akibat kemalangan yang menimpa. Kecederaan di bahagian mata penulis disebabkan cermin mata penulis yang pecah semasa kemalangan berlaku. 10 jahitan semuanya. Tidak tahu penulis hendak nyatakan kesakitan akibat dijahit tanpa ubat pelali. Hanya Allah yang tahu.

Inilah kali kedua penulis mengalami kemalangan kereta di jalanraya. Kali yang pertama tidaklah seteruk manapun. Cuma terbabas di selekoh jalan. Kali kedua ini agak teruk sedikit berbanding yang pertama.

Penulis tahu Allah ingin menunjukkan HIKMAH di sebalik kejadian yang berlaku.

Moga-moga urusan penulis selepas ini dipermudahkan oleh-Nya.

Terima kasih kepada sahabat dan sahabiah yang banyak membantu diri penulis ketika berada dalam kesusahan ini. Moga Allah merahmati jasa kalian.

Semua yang ada di muka bumi ini adalah milik Allah.. termasuklah juga NYAWA yang dikandung oleh setiap insan ini..

Berapa ramai sahaja yang betul-betul memanfaatkannya?

Mana Milik Kita (Rabbani)

http://www.youtube.com/watch?v=o2PLDjyjoFQ&feature=related

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya

Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita

Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya

Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga

Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya