Memulakan Semula Apa Yang Sudah Bermula

Rabu, 14 September 2011

Sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Tersihir oleh kalimah berkuasa tinggi barangkali iaitu S.I.B.U.K bak kata Ustaz Hasrizal di teratak maya yang selalu saya ziarahi setiap masa dan waktu yang ada. Sebagai salah satu medium pembuka mata hati dan minda fikir. Agar rasional tindakan masa hadapan.

Itu bukan alasannya buat diri saya yang sememangnya sudah sinonim beraksi di laman maya. Facebook pula yang menyerang dan melanda diri ini untuk sentiasa dikemaskini statusnya. Melayan komen dan kerenah teman Facebook. Ini bukan penyakit sibuk yang menjangkiti diri. Sindrom malas mengemaskini blog sendiri mula memberatkan pemikiran untuk berfikir dan terus berfikir untuk menjana cerita dan pengalaman yang dilalui.

Mungkin juga kini saya sudah mula merancakkan semula minat lama yang sudah hampir terkubur disebabkan urusan-urusan yang dirasakan lebih menjadi keutamaan untuk dilaksanakan. Minat itu ialah MEMBACA. Dalam tempoh sebulan dua ini,ada beberapa buah buku yang menjadi bahan bacaan khususnya buku-buku yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.Com). Terkini,sedang membaca buku beliau yang meletup-letup di pasaran. “Murabbi Cinta-Aku Terima Nikahnya 3”.

Tertarik juga pada salah satu artikel Ustaz Hasrizal yang mengatakan bahawa apa yang beliau kongsikan di laman mayanya itu adalah satu penceritaan pengalaman dan idea-idea supaya pembaca yang membaca setiap nukilan artikelnya juga boleh menghasilkan penceritaan pengalaman dan idea kepada pembaca itu sendiri.

Moga-moga selepas ini,banyak cerita yang saya lalui boleh dikongsikan kepada anda di laman maya saya ini. Itupun jika anda merupakan pembaca yang terus setia dengan pembacaan cerita saya di sini.

Moga-moga juga selepas ini saya lebih rajin untuk mengemaskini apa yang perlu dikemaskan. Sudah agak bersawang barangkali. Khuatir juga,nanti tiada orang yang hendak menjenguk lagi teratak ini.

Moga diri ini istiqamah dalam apa yang sudah dilaksanakan. Mohon doa dari kalian juga untuk diri ini.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Amalan yang paling disukai Allah ialah pekerjaan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

0 luah rasa:

Catat Ulasan