Mukah..Suatu Pengalaman Dan Kenangan (Mencari Tanah Subur,Menyemai Benih Islam)

Isnin, 27 September 2010
Bergambar bersama AJK JPI PMU serta peserta program


Perjalanan dari Kuching ke Mukah yang memakan masa hampir 12 jam,dengan menggunakan perkhidmatan bas benar-benar menguji ketahanan diri dan rohani sahabat-sahabat saya. Manakan tidak,jarang sekali mereka menggunakan perkhidmatan bas dan jarang juga untuk menghadiri program-program yang jauh dari tempat pengajian. Rumah di sekitar kawasan Kuching sahaja.

Bagi saya,sudah terbiasa dengan keadaan ini. Jarak kampung halaman dengan tempat pengajian yang jauh memudahkan saya untuk mendewasakan diri dengan keadaan seperti ini.

Ini sudah kali kedua saya datang ke Mukah.

Kali pertama, trip memancing di Sungai Balingian bersama-sama kawan sekampung juga untuk menziarahi bandar Mukah seusai menghabiskan Sijil Penilaian Menengah pada tahun 2006.

Kedatangan buat kali yang kedua pula tidak ada dalam perancangan jangka panjang.


20 September 2010

Bunyi telefon bimbit kedengaran. Tanda orang sedang menelefon saya.

“Assalamualaikum,Encik Rizal” saya memberi salam.

“Waalaikummussalam,Ishack. Apa khabar? Ana ingin meminta pertolongan anta ni?”Encik Rizal bertanya.

“Alhamdulillah,baik saja. Minta tolong apa encik? Ana cuba untuk membantu apa yang termampu.”Saya memberikan respon.

“Tolong anta jadi fasilitator dan jemput beberapa orang ajk lagi untuk bantu anta untuk program pelajar di Politeknik Mukah. Kami kekurangan ajk untuk menjalankan program.” Katanya.

Saya lantas bersetuju.


23 September 2010

Sampai juga saya di tempat yang dinantikan. Mukah. Dan lebih tepat lagi di Politeknik Mukah,Sarawak. Sahabat saya lain akan datang lewat sehari kerana masih ada kuliah di tempat pengajian.

Orang pertama yang saya jumpa dan baru dikenali ialah saudara Nasrol,Pengerusi Jawatankuasa Pusat Islam (JPI PMU). Beliau banyak bercerita tentang sedikit sebanyak latar belakang bandar Mukah dan kehidupan pelajar kampus Politeknik Mukah.

Pada petangnya pula,saya dipertemukan dengan ahli jawatankuasa JPI PMU berkenaan dengan program yang hendak dilaksanakan pada keesokan harinya. Ketika detik itulah bermulalah segala-galanya.

Mata rantai perjuangan Islam.

Banyak ahli yang berpotensi yang masih mentah dengan pengalaman.

Bahkan amat memerlukan tunjuk ajar dari orang yang lebih banyak makan garam.


Tanah Yang Subur Harus Disemai Benih Yang Elok.

Inilah konsep yang perlu diketangahkan dan dikuasai oleh setiap pendakwah yang sudah banyak pengalaman dalam gerakerja dakwah Islam ini.

Ibarat seorang pengusaha ladang buah-buahan,perlulah mengambilkira kesuburan tanah yang ingin dibeli.

Adakah boleh menghasilkan hasil buah-buahan yang sihat dan segar?

Mampukah menghasilkan hasil buah-buahan yang banyak?

Sesuaikah buah yang ingin ditanam di kawasan tanah yang dibeli?

Seterusnya benih yang ditanam pula mestilah sentiasa dijaga.

Diberi baja.

Disiram air.

Dicantas segala macam tumbuhan atau rumbut yang tumbuh di sekita benih.

Ditabur dengan racun serangga perosak.

Semua perlu disemai dengan baik agar hasil yang diperoleh lumayan.

Begitu juga hakikatnya dalam kita mencari individu yang mahir dan mampu menggerakkan dakwah Islam. Perlulah melalui peringkat-peringkat yang dinyatakan tadi.

Sahabatku di Mukah. Moga kalianlah hasil buah-buahan yang enak dan berkualiti. Disini saya hanya mampu berdoa agar tanaman di sana sentiasa subur dengan hasil-hasil yang segar dan indah.

Moga saya menjadi seorang penanam buah yang baik. Agar baik juga hasil buahnya.



Akan melintasimu lagi......


Ibnu Abbas As-Syakirin

30/09-2010

17:17 p.m

Apakah Sama Sebelum Dan Selepasnya

Rabu, 22 September 2010

‘Aku nak makan puas lepas ni..Tak kisah la kalau masuk ke tandas dua tiga kali..Janji aku kenyang sakan.’

‘Mari kita jalan raya dulu..Ala,nanti bila sampai di rumah Amin kita solat la berjemaah di rumahnya nanti..Amin dah tunggu tu..Kalau kita solat kat masjid dulu nanti lama pulak dia tunggu kita.’

Sudah biasa mendengar kenyataan-kenyataan sebegini pada setiap tahun di hari lebaran yang mulia. Bahkan mungkin ada lagi kenyataan yang lebih hebat dari kenyataan di atas. Itulah hakikat yang perlu diterima logiknya kerana bukan semua orang mampu membuat perubahan secara serentak dan dalam waktu yang sama. Inilah yang diertikan sebagai ‘tabiat’. Iaitu satu perlakuan atau sikap yang sukar untuk diubah dan memerlukan masa yang panjang jika ingin melakukan perubahan.

Latihan Ramadhan

Seringkali kedengaran bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan latihan untuk menghijrahkan diri ke arah yang lebih baik dan mampu membentuk kualiti diri yang hebat. Memang saya tidak nafikan kebenaran tersebut.

Manakan tidaknya,kalau kita menyelusuri sirah,sudah tentu kita ketahui bahawa kebanyakan peperangan yang dilalui oleh tentera Islam dimenangi pada bulan Ramadhan iaitu diantaranya Pembukaan Kota Mekah,Perang Badar,Peperangan Ain Jalut,Penaklukan Kota al-Andalus dan Peperangan al-Hattin.

Walhal kalau dinilai logiknya sudah tentu tentera-tentera Islam tidak mampu untuk menghadapi peperangan kerana berpuasa di siang hari dan memerlukan tenaga yang cukup untuk melawan musuh Islam pada ketika itu.

Inilah yang menjadi kekuatan sebenar tentera Islam pada ketika itu kerana memahami erti puasa yang sebenar dan dihayati dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kewajipan yang diberikan.

Kerana puasa bukan semata-mata melatih sifat dan sikap tetapi melatih kuat rohani diri,yakni kekuatan dalaman kita. Teorinya umpama kita makan. Makanan akan memberikan kekuatan pada tenaga dan potensi diri tetapi makanan dalam bentuk ibadah pula akan menguatkan pula rohani dan potensi dalaman diri. Jesteru tidak hairanlah kalau kemenangan sentiasa dimiliki oleh tentera Islam di bulan Ramadhan pada ketika itu.

Letihan Ramadhan

Berbeza pula dengan keadaan seperti sekarang. Kita tidak berperang lagi. Saya khususnya keadaan kita di Malaysia. Tetapi berapai ramai orang Islam sentiasa ‘kalah’ semasa di bulan Ramadhan.

‘Ada yang tidur sepanjang hari’

‘Ada yang membatalkan mesyuarat selama sebulan di bulan Ramadhan’ (Biasalah,kalau ada mesyuarat adalah makan-makan)

‘Ada yang terlalai di bazar Ramadhan sehingga waktu-waktu fardhu diabaikan’

‘Ada yang sibuk di Lailatul Kamdar dan bukannya sibuk mencari Lailatul Qadar’

...dan sebanyak macam alasan dan kerenah lagi di bulan Ramadhan.

Yang pasti ianya realiti.

Sudah terang lagi bersuluh.

Macam mana hendak melahirkan individu muslim yang berkualiti andai makna puasa ini masih belum dimengertikan sedalam yang mungkin konsep dan perlaksanaannya. Teori dan praktikalnya. Definisi dan pengamalannya.

Hari ini orang Islam sudah dikalahkan tidak lagi secara peperangan yang nyata melibatkan kekuatan tenaga dan stategi tetapi kalah dek dikawal oleh hawa nafsu yang memang di antara salah satu musuh Islam yang merbahaya wabaknya.

Benarlah seperti apa yang dijelaskan oleh Nabi kepada para sahabat bahawa peperangan yang paling besar itu bukanlah ketika berperang dengan musuh-musuh Islam bahkan peperangan yang paling besar umat Islam ialah peperangan melawan nafsu diri yang cuba untuk sentiasa mengawasi.

Inilah letihan Ramadhan yang mengundang bencana kepada umat Islam bahkan musibah yang berlaku ini terjadi di antara bulan yang paling mulia,bulan Ramadhan.

Iktibar

Jesteru,kembalilah kita menilai diri apakah sama seperti sebelumnya amalan-amalan yang kita laksanakan ketika di bulan Ramadhan dan selepasnya. Kerana latihan Ramadhan akan menampakkan hasilnya selepas Ramadhan. Adakah kita masih istiqamah dengan amalan ibadah yang kita laksanakan ketika di bulan Ramadhan.

Yang pasti janganlah ada insan yang begitu ‘istiqamah’ sehinggakan solat sunat tarawih pun dilaksanakan selepas bulan Ramadhan.

Seni ini mengajak kita untuk menghayati keindahannya bukan memaksa diri untuk mengindahkannya.

Ibnu Abbas As-Syakirin

22/09/2010

12.26 p.m