Janji janji janji DAN janji janji janji lagi

Khamis, 22 April 2010

JAMINAN PM KEPADA PENGUNDI

HULU SELANGOR 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kepada para pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor bahawa Barisan Nasional (BN) akan menunaikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya kecil kawasan itu diadakan.

Untuk menunjukkan keseriusan kerajaan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN melantik Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Noh Omar sebagai pengawas yang akan memastikan semua janji itu ditunaikan.

Beliau berkata, langkah tersebut dilakukan kerana salah satu isu di kawasan Parlimen berkenaan ialah pengundi bimbang jika janji yang dibuat tidak ditunaikan walaupun pelbagai pengumuman dibuat.

"Saya hendak beritahu kepada pengundi di Hulu Selangor, jangan gusar BN akan tetap tunaikan semua janji. Selama ini, rekod kita menunjukkan apabila ada pilihan raya kecil, kita berjanji, kita tunaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan dengan jentera BN Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan Ahad ini, calon BN, P. Kamalanathan akan berhadapan satu lawan satu dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani akan turun padang bagi memastikan segala janji yang telah dibuat oleh kerajaan dilaksanakan.

''Jika tidak cukup peruntukan, saya sebagai Menteri Kewangan akan meluluskan peruntukan bagi membolehkan apa yang dijanjikan itu dilaksanakan," katanya.

Najib berkata, langkah melantik Noh dilakukan bagi memberi keyakinan kepada pengundi-pengundi di Hulu Selangor bahawa kerajaan BN akan menunaikan janji yang dibuat.

''Inilah isu utama di sini iaitu sama ada BN mampu menyelesaikan masalah pengundi atau tidak, maka saya memberi jaminan pada malam ini sebagai ketua kerajaan, kita tetap akan melaksanakan semua janji kepada pengundi.

''Tolong sampaikan perkara ini, pemberita-pemberita tolong laporkan, inilah janji kita," katanya sambil menyifatkan isu-isu lain seperti cabar-mencabar dan tuduhan oleh pembangkang bukanlah isu utama.

Beliau berkata, ketika ini permuafakatan antara parti komponen BN amat baik kerana boleh bertolak ansur walaupun Parlimen Hulu Selangor mempunyai 53 peratus pengundi Melayu.

''Tetapi kita bagi kepada MIC kerana kalau hendak kira majoriti, tidak ada satu pun kerusi Parlimen yang orang India menjadi majoriti, oleh itu sampai bilakah mereka akan mempunyai wakil di Parlimen, sampai kiamat pun mereka tidak ada wakil," katanya.

Najib berkata, berdasarkan kepada perkiraan itu, BN membenarkan calon MIC bertanding kerana kerusi seperti Hulu Selangor amat berharga jika MIC mahu mendapat pengaruh dalam politik negara.

''Semua warganegara Malaysia berketurunan India mesti sokong calon kita (BN) kerana mereka tidak ada banyak kerusi Parlimen," katanya.

Dalam ucapan itu, Perdana Menteri menasihatkan orang Melayu dan kaum Cina supaya tidak bimbang memandangkan Kamalanathan ialah calon untuk semua kaum.

''Orang Melayu sudah ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Hulu Bernam dan Batang Kali), orang Cina ada satu ADUN (Kuala Kubu Baru) di kawasan Parlimen ini, maknanya lengkap Malaysia, Parlimen ada, DUN ada," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Najib berkata, BN kini berada dalam keadaan yang cukup baik bagi berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya kecil tersebut.

''Oleh itu kita jangan fikir hal lain sebab PKR sekarang dalam keadaan 'libang-libu' (kelam-kabut), sebab kita sudah tahu semua rahsia PKR. Semasa lawatan ke Washington dua ahli Parlimen Bebas iaitu Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ikut bersama-sama saya.

''Malam-malam selepas program rasmi, mereka datang ke bilik saya, dia buka segala-gala cerita. Sekarang ini saya sudah tahu segala-galanya. Jadi janganlah tembelang, janganlah tipu, kerana saya tahu semuanya," kata beliau.

Najib berkata, berdasarkan apa yang diceritakan, beliau sudah mengetahui bagaimana Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang melakukan fitnah dan politik pembunuhan karakter ke atas beliau.

''Tetapi saya tidak mahu huraikan kerana biarlah saya tahu, dia tahu dan Allah tahu," katanya.

Kerana Ilmu Menjagamu Selalu

Rabu, 14 April 2010
Kebahagiaan yang sebenar datang daripada memberi bukan menerima. Ramai yang dapat melihat tapi buta hati dan yang tak dapat melihat dapat mencelikkan hati.

Kebahagiaan datang daripada keikhlasan.

Kebahagiaan adalah keluarga.

Kebahagiaan adalah tanggungjawab.

Kebahagiaan adalah segala-galanya. .

Kebahagiaan BERDAKWAH beerti apabila kita memberikan sepenuhnya kesungguhan dalam dalam kita berusaha untuk mengembalikan ISLAM yang sekian lama malap pelitanya serta meletakkan segala-galanya pengharapan kepada Allah melalui DOA dan TAWAKAL.

Apalah ertinya DAKWAH jika tidak faham untuk BERDAKWAH

Disitulah keperluannya ILMU DAKWAH dalam membina faham untuk BERDAKWAH

Teringat lagi kisah JUHA(seorang arab badwi..kalau di Malaysia dialah si luncai dengan labu-labunya).Hendak memberitahu bahawa penting ilmu kepada setiap individu yang bergelar MUSLIM.. Ada ISLAM padanya :

Pada suatu hari,Juha pergi ke pasar untuk membeli barang-barang keperluan rumah.Dia pergi ke pasar dengan menaiki keldai kepunyaannya. Setelah sampai ke pasar,di meletakkan keldainya di satu kawasan yang terlindung daripada matahari.Juha pun pergi ke pasar tetapi lupa untuk mengikat keldainya pada tambatan kayu yang berhampiran.

Setelah selesai membeli,Juha pun keluar dari pasar dan menuju ke arah keldainya tadi.Barang yang dibeli oleh Juha sangat banyak sehingga kedua-dua tangannya sarat memegang barang-barang keperluan rumahnya.Setibanya di tempat keldainya,Juha terkejut.Keldai yang diletakkan disitu tadi sudah tiada.

Maka,dicarinya juga disekitar kawasan tersebut tiadalah dijumpai.

Akhirnya,dia bertanya kepada seorang pak cik yang berada berdekatan dengan keldai yang diletakkan oleh Juha tadi.

Juha : Assalamualaikum. Pak cik, nak tanya ni. Ada tak nampak keldai yang aku letakkan disini tadi?

Pak Cik : Waalaikummussalam, ouh,keldai engkau rupanya..Kenapa kau lupa menambat keldai kau.Tadi keldai itu berjalan terus ke hadapan. Lama- kelamaan hilang dari pandangan.

Juha : Huh..Betulkah? (dengan serta-merta Juha melemparkan semua barang keperluannya ke tanah lalu sujud syukur)

Pak Cik tadi pun terkejut melihat Juha yang tiba-tiba melakukan sujud syukur.Setelah selesai Juha melakukan sujud syukur. Pakcik pun bertanya :

Pak Cik : Wahai orang muda! Mengapakah engkau sujud syukur sedangkan berita (maklumat) yang aku beritahu ini adalah berita yang buruk sedangkan sujud syukur hanya akan dibuat apabila mendapat berita yang baik-baik sahaja.

Juha pun menjawab : Pak Cik,bukankah berita tentang kehilangan keldai aku tadi merupakan satu berita yang baik. Lantas akupun sujud syukur kerana jika aku berada diatas keldai tadi maka keldai itu bersama dengan aku sekali hilang tadi.

Maka disinilah penting ILMU sahabat-sahabiah sekalian. Juha tidak faham apa itu maksud hilang. Difahamkan olehnya hilang itu ialah ghaib dan tidak akan muncul-muncul lagi..

Jesteru itu, perbuatlah sesuatu dengan adanya ILMU kerana sesungguhnya dengan ILMU lah yang akan melindungi kamu sehingga kamu dibangkitkan semula kelak

Sabda Nabi di dalam sebuah Hadith :
Jika kamu hendak berjaya di dunia..hendaklah kamu berilmu.Jika kamu hendak berjaya di akhirat hendaklah kamu berilmu dan jika kamu ingin berjaya di dunia dan di akhirat hendaklah kamu berilmu.

Gelombang Yang Mendamparkan Puing-Puing Kepalsuan

Ahad, 4 April 2010
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan tanda-tanda (kekuasaan) Kami dan mukjizat yang nyata, kepada Fir'aun dan pemimpin-pemimpin kaumnya, tetapi mereka mengikut perintah Fir'aun, padahal perintah Fir'aun sekali-kali bukanlah (perintah) yang benar. al-Hud 96-97.

Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa. al-Hud 116.


Maha suci Allah dari segala kekurangan dan kepalsuan yang mereka sifatkan kepada ZatNya. Selawat dan salam kepada Rasul Junjungan Muhammad saw kaum kerabat dan para sahabat yang dimuliakan semuanya. Kepada muslimin dan muslimat semoga terus diberi Allah swt taufiq dan hidayahNya meliputi semua.

Pada kali ini saya suka nak mengimbau kenangan lebih sedekad yang lalu ketika ledakkan arus reformasi melanda Malaysia. Laman web Maha Fir`aun, Maha Zalim dan projek pembangunan di Putrajaya itu sendiri begitu sinonim dengan pembaziran zaman pemerintahan BN-Mahathir. Ditambah dengan perkembangan ICT masa itu memberi kelebihan kepada arus reformasi sebagai media alternatif kepada media arus perdana. Rakyat serta ummah kebanyakan, majoritinya begitu muak dan benci dengan kerajaan BN yang membazir lagi menindas. Para pemimpin PAS dan pembangkang menjadi juara mendedahkan penyelewengan dan pembaziran projek-projek mega kepada seluruh masyarakat. Saya masih ingat, Putrajaya begitu menjadi fokus utama eksploitasi media alternatif. Putrajaya menjadi simbol @ lambang kerakusan, penindasan dan pembaziran.

Pemandangan-pemandangan yang `menarik` di Putrajaya pada kacamata BN dan penyokongnya menjadi sebaliknya.. hodoh, benci dan khianat dek kerana airmata, titik peluh malah titisan darah ummah serta rakyat jelata tidak dipedulikan. Betapa indah tasik serta bentuk senibina di Masjid Putrajaya sekalipun, tidak mampu memberi bekas kepada para pejuang Islam dan rakyat apatah lagi para pemimpin mereka. Pendek kata, Putrajaya begitu sinonim dengan PEMBAZIRAN, PENINDASAN, KEZALIMAN kepada HAK UMMAH & RAKYAT MARHAEN. Kerajaan BN terpaksa mengadakan siri-siri lawatan percuma dari kampung-kampung dan daerah luarbandar bagi menepis dan memberikan gambaran elok pihaknya pula.

Nampaknya strategi UMNO/BN ternyata berkesan… tidak sampai pun 15 tahun, pemikiran rakyat dan pe
mbangkang yang menyerang dan melancarkan berbagai-bagai kempen besar-besaran dahulu memburukkan projek dan pembangunannya.., berpusing 360 darjah. Mereka pula yang berebut-rebut nak ke Putrajaya, mereka pula nak membangunkan kompleks PAS di Putrajaya supaya setanding dengan lawannya, bak kata pepatah `berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah`. Hilang… lenyap sudah segala imej-imej buruk dan kelabu yang selama ini dipalitkan oleh tangan-tangan mereka sendiri ke muka Putrajaya. Mereka pula yang mengambil dan mencetak gambar-gambar menarik di Putrajaya sebagai imej negara dan nasional dalam iklan program, buku cenderamata, kalendar dan lain-lain di media-media. Seterusnya mereka pula yang sekarang termimpi-mimpi untuk menjejakkan kaki ke Mahligai Putrajaya.

Dalam permasalahan ini saya amat bersetuju dengan pandangan Tun Mahatthir, `Melayu mudah lupa`, cuma saya berbeza… apabila berpendirian ummat Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam insyaAllah tidak akan mudah lupa atau terikut dengan bujukan orang, kerana mereka tahu perjuangan Islam sebenar nak bawa apa dan bina hadharah apa? Masalahnya golongan yang hanya tahu `semangat` dan jalan politik sahaja yang biasanya termakan umpan musuh kerana mereka tidak ada ilmu atau kesedaran tasawwur Islam, maksud saya gambaran Hadharah Islamiyyah itu bagaimana? Mereka ini hanya nampak perjuangan Islam, Negara Islam ialah apabila tampuk kuasa berpindah milik kepada mereka dari segi politik. Maka segala tumpuan usaha mereka ialah memenangi saluran politik. Mereka nak duduk, nak tumpang, nak bertenggek dengan hadharah apa sekarang, bukan persoalan mereka lagi.., kerana memang mereka suka atau tak tahu..jahil!? Yang jelasnya persoalan membawa dan membina hadharah Islamiyyah tiada dalam agenda kamus perjuangan mereka.

Jika perjuangan menegakkan negara Islam, semudah teori politik `gila` mereka. Saya ingin bertanya kenapa Negara Brunei Darul Salam yang pemerintahnya 100% orang Islam dan kaya pula sumber ekonominya tidak boleh lagi menegakkan syariat Islam? Begitu juga negara-negara Teluk yang hampir 100% penduduknya muslim pun begitu juga. Bagi saya mudah sahaja iaitu, kerana memang tidak ada dalam kepala pemerintahnya kemahuan tersebut malah begitu juga sebahagian besar rakyatnya sendiri. Yang ada dalam pemikiran mereka ialah macam mana nak hidup maju, mewah dan lebih senang lagi dari semasa ke semasa. Mereka leka tenggelam dalam ujian kesenangan dunia.Ukuran kemajuan dan kesenangan ialah hadharah kebendaan. Mereka takut dan kalut jika ada suara-suara kebenaran supaya segala hasil mahsul negara diagihkan menurut syariat Islam supaya rakyat marhaen yang diutamakan dahulu bukannya kroni atau kerabat.

Sebenarnya ummah jangan mudah tergoda dan percaya atau terpengaruh dengan gelojak semangat yang mahukan `Negara Islam` tetapi tidak tahu, bagaimana mahu mencapainya, seperti kebanyakan mereka yang berjuang Islam melalui pilihanraya aliran tempurung demokrasi. Mereka yakin bila dapat menguasai majoriti 2/3, maka akan dapatlah `impian` itu terlaksanakan. Mereka lupa, Nabi Muhammad saw telah ditawarkan oleh pihak kerajaan musyrikeen Mekah melalui `Speaker Parlimen` atau yang paling berkuasa dalam kerajaan Mekah untuk menjadi Raja atau PM tetapi baginda menolak cara berfikir dan bertindak sebegitu bagi menegakkan sebuah Daulah atau Hadharah Islamiyyah yang bersifat Negara. Alasan baginda begitu popular selalu kita dengarnya “Jika sekiranya matahari diletakkan di sebelah tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan akan perkara ini (perjuangan Islam sebenar) nescaya tidak akan aku meninggalkannya”. Kenapa Rasul saw menolaknya…adakah ketika itu Nabi saw tak tahu bersiasah atau berpolitik ? Jika ikut logik pemikiran sekular, inilah peluang keemasan untuk Nabi berdakwah atau berkempen menguasai Parlimen an-Nadwah.

Tetapi Nabi saw mengajar kita menurut logik pemikiran tasawwur Islam, Islam itu akan tertegak dengan ditegakkan syariatnya. Syariat pula tidak akan mampu untuk ditegakkan melainkan dengan ummah menegakkan Hadharah Islamiyyah sedikit demi sedikit bersama-sama. Sebenarnya di sinilah titik perbezaan atau pemisahan di antara perjuangan Islam yang sebenar berbanding perjuangan `Islam` yang palsu. Perjuangan `Islam` tempelan tidak memerlukan kesedaran dan penghayatan individu atau peribadi. Mereka hanya bersemangat `di luar diri mereka sahaja` mahu kepada syariat Islam, jiwa dan batin mereka tetap keras tidak mahu tunduk menjadi hamba kepada Allah yang Esa. Jika kita lihat contoh sebenar, Nabi saw bersama sahabat sedikit demi sedikit membina hadharah kecil-hadharah kecil (keluarga dan kelompok)13 tahun tanpa ragu dan berputus asa. Nabi serta ummat Islam berhijrah ke Madinah setelah ternyata hadharah kecil-hadharah kecil yang baginda semaikan di sana membesar dan memerlukan kepimpinan Daulah dengan segala kekuatannya.

Pelek dan bercanggah sekarang, pemimpin golongan tersebut boleh melantik menantu sendiri memegang jawatan penting atau memberi konsesi balak kepada syarikat milik bukan Islam hanya kerana syarikat tersebut setuju `menderma` kembali ratusan ribu ringgit kepada PASTI Negeri Kelantan contohnya. Kes tersebut dan beberapa kes lain yang sedemikian adalah contoh terang lagi bersuluh bahawa perjuangan golongan tersebut tiada kaitan langsung dengan tanggungjawab membina Hadharah Islamiyyah yang Nabi dan generasi awalan tidak pernah tinggalkan. Saya berani meletakkan mereka ini sebenarnya sama sahaja dengan ketua-ketua negara ummat Islam Brunei dan Teluk, mereka pun juga, tak ada kesedaran dan kemahuan membina Hadharah Islamiyyah. Pemimpin-pemimpin negara ummat Islam tersebut tahu jika mereka menurut kemahuan Islam yang sebenar alamat hilanglah kesenangan, kemewahan malah sanjungan terhadap status mereka sekarang.

Malang sungguh bagi mereka… kerana diperlihatkan indah dan bernafsu akan kehidupan yang palsu lagi sementara… dunia penuh pancaroba!

No April Fool

Khamis, 1 April 2010