HAMPIR-HAMPIR GURU ITU MENJADI RASUL

Rabu, 16 Mei 2012


1. Ini adalah kata-kata penyair terkenal Ahmad Syauqi (1932M), yang meletakkan guru pada darjat yang tinggi. Mulianya kerana telah menyambung kerja para rasul iaitu mengajar, membimbing dan mendidik ummah. Setiap insan memang disuruh untuk menuntut ilmu, maka satu pihak akan menuntut ilmu yang dipanggil pelajar, dan satu pihak lagi akan mengajar yang dipanggil guru atau mu’allim. Allah Azza wa Jalla memberikan fadhilat kepada orang yang menuntut ilmu, dengan memudahkannya jalan ke syurga. 

Nabi SAW bersabda:

Barangsiapa melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT permudahkan baginya jalan ke syurga. (Riwayat al-Bukhari)

2. Tidak dapat dinafikan usaha dan lelah seorang guru dalam membina tamadun dan peradaban manusia. Gurulah yang mempersiapkan seorang doktor yang berjaya, membentuk seorang jurutera yang baik, akauntan yang mahir dan menteri yang bertanggungjawab. Dengan ilmu dan guru, bumi menjadi subur, pokok mengeluarkan hasil dan bunga mekar mengharum. Guru memimpin ummah agar kenal dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Guru juga mengembangkan potensi akal manusia yang secara fitrah sukakan kebaikan dan benci kepada kemungkaran. Gurulah yang menjadikan kita setinggi langit dalam pencapaian, lantas mampu menulis kebanggaan ummah dengan tinta cahaya matahari sehingga dunia mendengar suara keimanan dan tauhid.

3. Guru telah mengubah daripada sebuah impian menjadi kenyataan, daripada pengikut menjadi pemimpin, dan daripada pembaca sejarah kepada pencipta sejarah. Inilah yang cuba digambarkan oleh penyair Ahmad Syauqi. Ia lahir daripada cintanya kepada ilmu, yang disampaikan oleh seorang yang bernama guru. Tetapi penyair ini tidak pernah menjadi guru, tidak pernah merasai kesukaran seorang guru dan tidak pernah berhadapan dengan pelbagai karenah perangai anak murid. Namun, seorang penyair lain, Ibrahim Tuqan (1941M) yang pernah menjadi guru mempunyai pandangan lain. Dia memberi respon terhadap Ahmad Syauqi dengan syairnya antara lain menyebut:

Jika Syauqi cuba mengajar walau satu jam, dia akan merasai perit dan deritanya hidup, cukuplah bagi seorang guru masalah dan cabaran, pagi dan petang sentiasa dengan buku yang memerlukan semakan.

4. Tugas guru adalah tugas yang sangat sukar, tidak mudah bagi seseorang menyatakan bahawa aku ingin menjadi guru sebelum berfikir banyak kali. Tugas guru memerlukan keikhlasan dan kesungguhan. Ia mesti adil dengan pelajar-pelajarnya. Ia juga menuntut mu’amalah seumpama dengan anak sendiri. Dan yang paling penting ia mesti amanah terhadap ilmunya. Rasulullah SAW sangat amanah terutamanya dalam menyampaikan wahyu. Dalam peristiwa anak angkatnya, Zaid bin Harithah menceraikan isterinya yang akhirnya Allah memerintahkan agar nabi mengahwininya pula, menjadi bukti amanahnya nabi SAW. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab 37: 

Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian( manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti. Kemudian setelah Zaid selesai kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya), dan sememangnya perkara yang dikehendaki oleh Allah itu tetap berlaku.


Imam al-Qurtubi (671H) ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa nabi SAW bimbang orang ramai akan menyebut baginda berkahwin dengan bekas menantunya. Lalu Rasulullah SAW berulangkali menasihati Zaid agar terus bersama isterinya dan tidak menceraikannya. Namun Allah SWT menghendakinya dengan hikmah yang lain iaitu membatalkan hukum yang berkaitan dengan anak angkat, yang diamalkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam. 

Diriwayatkan daripada Anas RA bahawa:

Zaid bin Harithah datang mengadu kepada nabi SAW, lalu nabi berkata: Bertakwalah kepada Allah dan janganlah engkau ceraikan isterimu. Anas berkata: Jika Muhammad SAW itu seorang yang menyembunyikan sesuatu, nescaya baginda akan sembunyikan ayat ini (ayat 37 surah al-Ahzab). (Riwayat al-Bukhari)


5. Oleh sebab itu, hampir-hampir guru menjadi rasul kerana amanahnya. Walaupun ramai guru yang baik dan amanah, tetapi pada masa yang sama terdapat segelintir guru yang tidak mengetahui peranannya. Mereka tidak merasa bangga menjadi seorang guru. Tambahan pula pelajar pada zaman ini tidak sama dengan beberapa dekad yang lalu. Globalisasi, internet, hiburan dan seribu satu alasan boleh diberikan, tetapi adakah berbaloi dengan memberikan alasan dan perbandingan?, sedangkan kita sebagai guru tidak melakukan sesuatu di atas amanah yang sedang kita pikul. Bukankah nabi SAW pernah mengingatkan kita akan amanah yang bakal dipertanggungjawabkan ini?. 

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. (Riwayat al-Bukhari) 


6. Hampir-hampir guru menjadi rasul kerana kesabarannya. Sabar dengan anak murid, sabar dengan pentadbiran, sabar dengan masyarakat dan sabar dengan kehendak peribadi. Di samping tugas sampingan yang begitu banyak, melibatkan pengurusan, maka sabar adalah kunci kejayaan seorang guru. Sabar bukan bermakna mengalah dan mendiamkan diri, tetapi sabar menuntut perancangan dan strategi. Penambahbaikan selepas muhasabah dan perlaksanaan yang bijak, sangat penting untuk menghadapi semua cabaran dalam pendidikan.

7. Membentuk seorang manusia bukan seperti membuat rumah. Batu-bata dan kayu yang diangkat, tidak akan membantah walau sedikit pun. Ia tidak bernyawa dan tidak punyai perasaan. Tetapi, yang bernama manusia ini cukup unik, punyai hati dan perasaan, suka membantah, cepat terasa dan punyai ego yang cukup tinggi. Bahkan terdapat hati manusia yang lebih keras daripada batu, sedangkan sekeras-keras batupun akan lekuk kerana titisan air yang berterusan. Inilah hati umat yang dihadapi oleh nabi Musa AS. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 74 bermaksud:

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.


8. Hampir-hampir guru menjadi rasul kerana keikhlasannya. Guru tidak meminta bayaran dan ganjaran daripada anak muridnya. Cukuplah balasan dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT dan pahala yang tetap mengalir hingga hari kiamat. Inilah sifat para rasul yang benar yang manusia diminta untuk mengikutinya. 

Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah Yasin ayat 20-22:

Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Ikutlah Rasul-rasul itu. Ikutlah orang-orang yang tidak meminta daripada kamu sesuatu balasan, sedangkan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.


9. Lalu mengapa dengan budaya baru pada hari ini, setiap kali sambutan hari guru anak-anak akan meminta ibu bapanya membelikan hadiah untuk guru mereka. Bukan satu, tetapi setiap guru yang mengajarnya. Di pihak guru yang mendapat hadiah pula, pastinya ia berbeza-beza, ada yang mahal dan ada yang murah. Tidak kurang ada guru yang dapat banyak hadiah dan ada yang dapat sedikit. Guru yang diminati akan mendapat banyak dan begitulah sebaliknya. Ia telah menjadi budaya yang diamalkan.

10. Banyak persoalan yang timbul, adakah hadiah yang mahal menggambarkan pemberinya sangat menghormati guru? Adakah guru yang mendapat hadiah yang sedikit menunjukkan dia bukan seorang guru yang baik? Dan apakah nasib seorang guru disiplin yang garang dan tegas pada hari ini ya? Kalau ia menyebabkan natijah negatif; berbangga, ujub, kesan pemarkahan dan membeza-bezakan anak murid atau guru, maka budaya ini perlu segera dihentikan. Hadiah bukan kayu ukur yang berkesan dalam hal ini. Bertakwalah kepada Allah SWT wahai guru. Sebenarnya kejayaan cemerlang, sahsiah unggul dan doa daripada anak murid itulah hadiah yang paling istimewa buat seorang guru.

11. Kesimpulannya, jadilah guru yang amanah, sabar dan ikhlas. Peringatan ini saya tujukan khusus kepada semua guru yang bercita-cita untuk mendapat darjat ‘hampir-hampir menjadi rasul’.

0 luah rasa:

Catat Ulasan