'Problem Sentence' VS 'Solvse Sentence'

Khamis, 27 September 2012

Izzati dan Halimah duduk di ruangan tamu rumah sambil menonton televisyen. Kebetulan, rancangan penyiaran pada ketika itu ialah berita jam 8 malam. Sambil-sambil menunggu cerita ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’ yang akan bersiaran pada jam 9 malam nanti, mereka bercadang untuk menonton berita dahulu. Adalah juga sedikit sebanyak maklumat dan isu semasa yang diperolehi nanti.

Salah satu isu yang tergempar ialah kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sehingga kini. Banyak usaha untuk menangani masalah tersebut tetapi kadar kes buang bayi semakin hari semakin meningkat saban tahunnya.

“Halimah, kau tengok tu. Sampai naik muak dah aku tengok berita. Tak ada cerita lain lagi nak diceritakan. Sikit-sikit, kes buang bayi. Apa nak jadi la dengan manusia akhir zaman sekarang ni,” luah Izzati dengan nada marahnya.

“Ye lah, dah jenis lelaki bernafsu serakah. Bila dah macam dirasuk, akal tak dapat nak fikir sangatlah. Perempuan tu pun satu, suka sangatlah dengan mamat-mamat macam tu. Dah mengandung baru terasa seribu satu penyesalan. Benda dah jadi, baru nak insaf.” Jawab Halimah.

“Kenapa tak hukum je perempuan yang buang bayi tu. Hukum dengan sekeras-kerasnya.
Yang lelaki tu pun sama juga. Baru mereka rasakan nanti. He he he.” Izzati ketawa.


‘Problem Sentence’ vs ‘Solve Sentence’

Dialog di atas sebenarnya hanyalah satu contoh untuk menunjukkan cara manusia berbicara dan berfikir.

Dalam pemerhatian saya sehingga kini, kebanyakan daripada kita seringkali menggunakan dua jenis ayat apabila membicarakan sesuatu isu iaitu ayat penyelesaian dan ayat masalah.

Dalam pemerhatian saya juga, kebanyakan daripada kita lebih menggunakan ayat masalah berbanding ayat penyelesaian. Situasi dialog di atas adalah merupakan ayat masalah.

Saya berfikir, jika sekiranya dialog-dialog seumpama ini menjadi amalan majoriti manusia ketika berbicara, maka, saya tidak menjadi hairan mengapa isu-isu semasa yang berkaitan dengan kes buang bayi dan pelbagai lagi isu lain tidak akan selesai.

Saya bukanlah hendak mempertikaikan cara manusia bertutur tetapi ingin memberitahu bahawa dengan bicara kita menggunakan ayat masalah sebenarnya tidak merubah apa-apa masalah. Bicara kita hanyalah bicara picisan sehingga dikhuatiri membuang masa sahaja. Bercerita bukan main panjang. Tetapi, tergantung dan tiada apa yang berubah bahkan semakin parah.

Sepatutnya, bicara dan berfikir kita biarlah dengan ayat penyelesaian. Bila berbicara akan sesuatu isu, pasti akan ada jalan keluarnya. Paling kurang pun, kita dapat mengajak orang lain berfikir risau bersama-sama. Dan, lebih baik lagi, apabila kita dapat sama-sama membantu menyelesaikan masalah yang dibicarakan.

Sesuatu masalah akan dapat diselesaikan bila kita sedar dan mampu mengubah cara berfikir kita. Bila ramai orang mampu berfikir dan berbicara dengan ayat penyelesaian sebenarnya akan memudahkan urusan kehidupan kita dan manusia di sekeliling kita.

Meluahkan masalah, lantas bercerita tanpa arah tuju dan titik temu, itu ‘problem sentence’.
Menyatakan masalah, lantas membina kaedah dan mencambah solusi, itu ‘solve sentence’.
Arahnya perlu solusi.
Solusinya perlu konklusi.

0 luah rasa:

Catat Ulasan