Retorika Maulidur..Yang makin jauh dari Rasul SAW?

Khamis, 25 Februari 2010
`Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar`
Al-Fath 29.

Selawat dan salam kepada Rasul junjungan, Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat yang bersama-samanya memperjuangkan fikrah kebenaran. Setelah sekian lama terpaksa `berperang` dengan diri, keluarga, kerjaya, dan berbagai-bagai tanggungjawab lain akhirnya… dapat juga kita bertemu semula dalam membicarakan perihal kehidupan ummat Islam di mana-mana pun jua. Apabila telah lama tidak duduk mengadap di depan komputer, menulis.. fikiran jadi payah untuk membuat tumpuan tentang apa yang mahu diketengahkan. Selama tiga, empat minggu ini… tidak banyak perkembangan yang saya mampu ikuti kecuali banyak masa terpaksa `bergelut` dengan kerjaya sendiri sahaja.. ‘Ala.. kullihal..! Riuh rendah orang ramai menarik perhatian saya, terutamanya ummat Islam bersiap sedia untuk menyambut `Maulidur Rasul saw`.

Pantas! Semua orang menjadi teruja..tertarik..terpanggil untuk memberi `kredit` dengan sambutan pelbagai cara terhadap tokoh agung manusia istimewa tersebut (Muhammad saw). 12 Rabiul Awwal tarikh yang `diboldkan` dalam semua kalendar sebagai hari kelepasan atau hari cuti umum. Sebagai ummat Islam semestinyalah kita sentiasa mengingat, mencontohi, meneladani malah merindui akan semua perkara yang berkaitan dengan tokoh ummat itu. Dalam hal ini penulis juga tidak pernah menentang perarakan maulidur Rasul atau acara sambutan yang munasabah anjuran pihak kerajaan maupun bukan kerajaan walaupun sambutan ini tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah saw.

Tetapi cukupkah dengan hanya perarakan maulidur Rasul atau sambutan acara, menunjukkan bahawa kita bersungguh untuk mendukung hasrat dan cita-cita Rasul saw serta ummat Islam? Adakah dengan hanya mengadakan perarakan dan pelbagai acara sambutan setiap tahun.. cukup untuk membuktikan bahawa kita sayangkan Rasulullah dan ajaran yang ditinggalkannya? Ataupun kita hanya sekadar beretorika dan mengambil kesempatan di atas sentimen ummat yang kasihkan Rasul serta Nabi junjungan mereka. Kita pun mengambil kesempatan berpolitik untuk mengaburi pandangan ummat Islam bahawa kita bersama-sama memperjuangkan aspirasi ummah dengan menyanjungi Nabi mereka.

Jika beginilah sikap sebenar mereka yang menyambut maulidur Rasul itu, samalah kedudukan mereka dengan Abu Lahab yang begitu gembira semasa mendapat tahu kelahiran Muhammad saw bahawa beliau mendapat seorang putera saudara lelaki. Begitu gembira beliau sehingga membebaskan hamba dan menyembelih unta. Sebaliknya Abu Lahab tidak pula mahu beriman dan mengakui kerasulan Muhammad saw sehingga akhir hayatnya. Begitu juga dengan Abu Talib hanya berbangga dengan Nabi saw sebagai seorang keturunannya iaitu suku Quraisy, bani Hasyim. Beliau sanggup berkorban dan menghadapi kesusahan bersama-sama Nabi semasa pihak musyriken Mekah memulaukan ummat Islam selama 3 tahun lebih. Beliau kasih dan sanggup mempertahankan batang tubuh Nabi saw tetapi tetap tidak mahu beriman dengan risalah Islam serta ajarannya. Ternyata komitmen mereka terhadap maulid dan keturunan tidak bermakna di sisi ajaran Islam.

Ajaran Islam mengajar dan menunjukkan contoh kepada kita bahawa cara seseorang sepatutnya `menyambut` maulidur Rasul ialah dengan menyambut, menerimapakai, mengiya, mempraktik, melaksanakan dan mencontohi segala ajarannya dalam kehidupan kita sebagai seorang yang beriman kepada Rasul saw. Sebab kemuliaan Rasul ialah kemuliaan risalah ajarannya, sebab kemulian risalah ajarannya pula ialah kerana datang dari Pencipta Yang Maha Mulia, Allah swt. Begitu juga bagi ummat manusia di zaman mana pun jika hanya menerima `kewujudan` manusia istimewa itu sahaja sebagai tokoh sekian… dan sekian… serta sekian.. tanpa menerima risalah ajarannya (al-Islam) jadilah mereka sia-sia di dunia dan di akhirat sama dengan golongan dengan Abu Lahab dan Abu Talib serta kuncu-kuncu mereka.

Saya tertarik dengan maksud ayat al-Quran di atas`Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Seterusnya lagi Allah swt menjelaskan lebih lanjut akan sifat-sifat golongan yang bersama-sama Rasul saw di sepanjang zaman… Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud, …..…… iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir.

Saya suka mengajak para pembaca terutamanya ahli-ahli gerakan Islam melihat atau mengkaji maksud `seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya` kerana bagi saya tanaman yang mengeluarkan tunas ialah tanaman yang `hidup subur`(membina Hadharah) dan insyaAllah akan mengeluarkan hasil yang baik bagi kegunaan ummah semasa. Yang terlebih penting lagi bagi saya ialah akan dapat menjadi benih baru yang baik pula untuk meneruskan tugasnya membina Hadharah Islamiyyah bersambung… dan bersambung… sehinggalah ketentuan Allah swt berlaku kepada semua hamba-hambaNya.

Sebab itu bagi pandangan saya, gerakan Islam yang tidak membina hadharah Islamiyyah ialah gerakan Islam yang gagal. Lebih malang lagi jika mereka yang mendakwa sebagai gerakan Islam itu, tetapi membina hadharah jahiliyyah supaya ianya subur, berkembang.

Begitulah pelbagai suasana yang bersimpang siur terhidang atau terhampar di hadapan ummah semua untuk kita sendiri sebagai ummat Islam melihat, menilai dan seterusnya memilih untuk bersama-sama mereka yang tetap membawa risalah kebenaran bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang subur bertapak di bumi menunjangi kehidupan ummah.

Sebagai mengakhiri buletin kali ini, saya petik kata-kata Ibrahim Bin Adham sebagai renungan kita bersama;

1) Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2) Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.
3) Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4) Orang yang cintakan kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat husnul khatimahnya (kesudahan).
5) Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6) Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7) Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah kamu harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya.

0 luah rasa:

Catat Ulasan