Mudahnya Melafazkan Kalimah… Kenapa Guan Eng Susah ?

Rabu, 24 Mac 2010
Ucapkanlah 2 kalimah syahadah! Maksudnya; “Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah, dan aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”

Selawat dan salam kepadamu ya habibi, ya musthofa! Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat radhiyallahuanhum ajmaein serta mereka yang mengikuti akan mereka itu sampailah ke hari qiamat. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah sementara… ianya akan lenyap jua tidak bermakna, kecuali kamu beriman kepada Allah swt.


Bertemu kembali di dalam rangka bicara kita sesama ummat, tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga hubungan sesama muslim, melakukan penambahbaikan (islah) untuk kepentingan ummat dan berpesan-pesan di atas kebenaran seterusnya berpesan-pesan supaya menetapi kesabaran. Kalimah Thoyyibah, adalah rangkaian kata-kata yang perlu dilafazkan oleh setiap individu sebagai bukti bahawa dia telah sanggup menjadi seorang Muslim atau orang Islam. Itulah `bar code` bagi setiap ahli ummah, sebagai bukti pengenalan yang akan dikenali serta diguna pakai dalam `mesin pengimbas` identiti ummah untuk seluruh ummat Islam. Secara zahirnya tidaklah susah untuk menyebut atau belajar menyebut rangkaian kalimah itu. Lidah tidak bertulang! burung tiung pun jika diajarkan menyebutnya selalu akan dapat menyebutnya dengan baik insyaAllah. `Tape recorder` atau alat rakaman yang canggih, lagi mudah dan pantas melakukannya.

Makhluk atau benda yang tak ditaklifkan kepada mereka seruan agama ini kita letak sebelah dahulu. Cuma sengaja ditimbulkan tadi sekadar nak menampakkan dengan jelas bahawa lafaz kalimah thoyyibah itu akan bererti atau dikira sebagai bukti, apabila dilafazkan dalam keadaan sedar oleh mereka yang beraqal yang hidup dengan jasad dan rohnya sekali.(Samada jin atau manusia) Jika kita sedar, beraqal waras, malah kita pula hidup dengan jasad serta roh, bolehkah kita mempermain-mainkan ikrar keimanan kepada Allah swt? Tentu tidak sama sekali saudaraku ! Tetapi mengapa realitinya di sekeliling kita hari ini tidak begitu, kalimah thoyyibah atau ikrar tersebut seolah-olah tidak bernilai langsung kepada individu-individu ummat kini. Mungkin mereka ini salah faham atau memang tak faham langsung akan makna kalimah keramat itu.

Mari kita cuba menyoroti akan maksud kalimah tersebut secara umumnya, mungkin bermanfaat untuk kebaikan kita bersama. Kalimah ini sebenarnya menjadi penting kerana ia telah mengangkat atau membezakan seseorang itu menjadi manusia sebenarnya yang telah dijadikan oleh Allah swt dengan segala sifat-sifat kemanusiaannya. Sebaliknya tanpa ucapan kalimah ini akan menjatuhkan atau menjadikan seseorang itu serendah-rendah malah sehina-hina makhluk yang dijadikan oleh Allah swt.

Secara tabienya semua manusia samada beriman atau tidak akan mengakui bahawa makan dan minum penting untuk kelangsungan hidup kita di atas mukabumi ini. Tetapi ada kalanya kita makan tak minum, atau sebaliknya. Ada ketikanya kita tidak makan dan tidak minum langsung seperti berpuasa atau terputus bekalan, tetapi kita masih mampu untuk meneruskan hidup ini dengan izin Allah. Pengambilan terhadap makan dan minum ini hanya ketika-ketika yang diperlukan sahaja manusia itu akan mengambilnya samada dia beriman kepada Allah atau tidak. Satu perkara penting lagi yang semua manusia samada beriman atau tidak, mesti mengambilnya sejak saat kelahirannya di bumi ini sampailah saat terakhir kehidupannya, tidak berhenti-henti terus menerus semasa jaga maupun ketika tidur lena iaitu pernafasan oksigen. Dengan sendirinya manusia itu akan membawa bekalan oksigen ini ke mana-mana yang tidak terdapat bekalan oksigen ketika mereka berhajat untuk ke tempat tersebut, seperti dasar lautan atau ruang angkasa. Ya ! semua manusia tahu apa akibatnya jika kita ketiadaan bekalan oksigen tersebut, kita akan mati dengan izin Allah swt.

Sedangkan satu perkara yang terlebih penting dari dua perkara di atas yang perlu ummat manusia seluruhnya tahu (termasuk Lim Guan Eng dan sekutunya) ialah lafaz atau pengakuan akan kalimah thoyyibah yang disebut pada awal perbicaraan kita kali ini. Ia amat penting melebihi keperluan kita kepada perkara-perkara asas kehidupan kita. Ia satu lafaz yang mudah disebut tetapi membawa maksud dan pengertian yang cukup penting bagi seluruh kehidupan serta kejadian diri kita sendiri.

Apabila seseorang itu telah sedar malah redha mengakui akan keimanannya kepada Allah dan RasulNya dengan melafazkan kalimah tersebut maka dia telah mengakui akan hakikat kewujudan atau kejadian dirinya sendiri sebagai makhluk Allah yang dilahirkan untuk hidup di bumi sementara sampai waktu yang diizinkan Allah kepadanya. Dengan pengakuan tersebut dia sedar bahawa dirinya cuma sebagai hamba kepada Pencipta. Sebagai hamba dia akan taat dan menuruti segala ajaran Tuhannya yang disampaikan melalui RasulNya iaitu Muhammad saw. Sebab itu kalimah ini akan membezakan atau menjadi `bar code` kepada ummat Islam samada dia menjadi hamba Allah yang beriman atau menjadi `hamba` juga, tetapi tidak beriman.

Mereka yang jahil ini sebenarnya berusaha menyembunyikan atau memadamkan `bar code` yang ada pada semua makhluk ciptaan Allah swt. Mereka terlindung atau tidak mendapat hidayah ataupun disesatkan oleh iblis laknatullah untuk melihat dan seterusnya menerima diri mereka sendiri sebagai hamba yang dijadikan Allah swt. Mereka sombong malah berlagak angkuh bahawa semua ini terjadi dengan sendirinya tiada yang Maha Pencipta. Inilah sebenarnya makhluk yang sehina-hinanya kerana mereka manusia yang dilahirkan sebagai manusia tetapi menafi atau membunuh kemanusiaan yang ada dalam dirinya sendiri.

Saudaraku yang muslim!.. juga manusia seluruhnya. Ada segolongan lagi yang lebih hina dari mereka yang tak beriman tadi, iaitu mereka yang berpura-pura beriman dengan melafazkannya dengan begitu baik sekali bersama-sama orang yang beriman tetapi hanya Allah swt sahaja yang mengetahui bahawa mereka tidak mahu pun hidup di atas mukabumi ini sebagai hamba yang taat, ikhlas menurut cara hidup Islam yang sebenar. Mereka lebih bijak mereka-reka cipta alasan atau hujah-hujah yang mengelirukan kadang-kadang nampaknya begitu `syar`ie ` sekali bagi mengelabui ummat yang lemah aqalnya. Tetapi insyaAllah kita yakin dengan janji Allah bahawa segala lakonan dan tipu daya mereka semuanya itu akan dapat dikenali oleh orang yang benar-benar beriman kerana maksud al-quran ada menyebutkan:-

`Sesungguhnya penolong kamu hanya Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman` dan `Sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman sebagai penolong, merekalah yang akan mendapat kemenangan`- al-maidah 55-56.

Biarpun manusia merupakan kejadian makhluk yang paling sempurna ciptaan Allah, tetapi manusialah yang paling terkedepan dalam kehilangan sifat-sifat manusiawinya. Sedangkan makhluk-makhluk yang lain masih kekal dengan sifat-sifat tabienya masing-masing dalam meneruskan kehidupan makhluk tersebut mengikut ketetapan Rabbul Jalil. Logiknya lembu tidak pernah cuba untuk menjadi singa, supaya nampak lebih gagah, malah ia tetap dengan tabienya menjadi lembu memakan rumput, mengeluarkan susu dan sebagainya. Singa pun tak pernah menabalkan dirinya sebagai raja, bebas berbuat dan membaham sesiapa sahaja, hanya sekadar untuk keperluan dan kelangsungan kehidupan spesisnya sahaja, tidak lebih dari itu.

Tetapi manusia apabila tidak beriman sanggup melakukan apa sahaja, menyondol dan membaham apa jua yang boleh menguntungkannya, mencampur adukkan yang haq dan batil, bermuka-muka dengan sesiapa sahaja kerana tiada dosa dan pahala bagi mereka. Sebab itu saya begitu yakin dan percaya dengan ketetapan ajaran Islam, keyakinan, penghayatan dan perlaksanaan akan tuntutan kalimah thoyyibbah ini sebenarnya menjadi pengukur untuk mengangkat atau membezakan seseorang itu menjadi manusia sebenarnya atau sebaliknya. Tanpa ucapan kalimah ini akan menjatuhkan atau menjadikan seseorang itu serendah-rendah malah sehina-hina makhluk yang dijadikan oleh Allah swt. Tidak hairanlah Nabi Nuh as boleh membenarkan anjing dan babi menaiki bahteranya tetapi tidak, manusia yang tidak mahu beriman.

Sekian, `Tepuk dada.. tanyalah hati nurani sendiri!`

1 luah rasa:

  1. Iman adalah mutiara, di dlm hati manusia, yang meyakini Allah, Maha Esa, Maha Kuasa.

    Iman x dpt diwarisi dari seorg ayah yg btaqwa,
    Ia x dpt dijual beli,
    ia tiada di tepian pantai...

    - Raihan: Iman Mutiara -
    Album: Puji-pujian

    Ringan pada lafaz, berat pada pengertian dan tuntutannya... Jika begitu mudah, nescaya semua orang dah beriman.

Catat Ulasan