Apakah Sama Sebelum Dan Selepasnya

Rabu, 22 September 2010

‘Aku nak makan puas lepas ni..Tak kisah la kalau masuk ke tandas dua tiga kali..Janji aku kenyang sakan.’

‘Mari kita jalan raya dulu..Ala,nanti bila sampai di rumah Amin kita solat la berjemaah di rumahnya nanti..Amin dah tunggu tu..Kalau kita solat kat masjid dulu nanti lama pulak dia tunggu kita.’

Sudah biasa mendengar kenyataan-kenyataan sebegini pada setiap tahun di hari lebaran yang mulia. Bahkan mungkin ada lagi kenyataan yang lebih hebat dari kenyataan di atas. Itulah hakikat yang perlu diterima logiknya kerana bukan semua orang mampu membuat perubahan secara serentak dan dalam waktu yang sama. Inilah yang diertikan sebagai ‘tabiat’. Iaitu satu perlakuan atau sikap yang sukar untuk diubah dan memerlukan masa yang panjang jika ingin melakukan perubahan.

Latihan Ramadhan

Seringkali kedengaran bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan latihan untuk menghijrahkan diri ke arah yang lebih baik dan mampu membentuk kualiti diri yang hebat. Memang saya tidak nafikan kebenaran tersebut.

Manakan tidaknya,kalau kita menyelusuri sirah,sudah tentu kita ketahui bahawa kebanyakan peperangan yang dilalui oleh tentera Islam dimenangi pada bulan Ramadhan iaitu diantaranya Pembukaan Kota Mekah,Perang Badar,Peperangan Ain Jalut,Penaklukan Kota al-Andalus dan Peperangan al-Hattin.

Walhal kalau dinilai logiknya sudah tentu tentera-tentera Islam tidak mampu untuk menghadapi peperangan kerana berpuasa di siang hari dan memerlukan tenaga yang cukup untuk melawan musuh Islam pada ketika itu.

Inilah yang menjadi kekuatan sebenar tentera Islam pada ketika itu kerana memahami erti puasa yang sebenar dan dihayati dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kewajipan yang diberikan.

Kerana puasa bukan semata-mata melatih sifat dan sikap tetapi melatih kuat rohani diri,yakni kekuatan dalaman kita. Teorinya umpama kita makan. Makanan akan memberikan kekuatan pada tenaga dan potensi diri tetapi makanan dalam bentuk ibadah pula akan menguatkan pula rohani dan potensi dalaman diri. Jesteru tidak hairanlah kalau kemenangan sentiasa dimiliki oleh tentera Islam di bulan Ramadhan pada ketika itu.

Letihan Ramadhan

Berbeza pula dengan keadaan seperti sekarang. Kita tidak berperang lagi. Saya khususnya keadaan kita di Malaysia. Tetapi berapai ramai orang Islam sentiasa ‘kalah’ semasa di bulan Ramadhan.

‘Ada yang tidur sepanjang hari’

‘Ada yang membatalkan mesyuarat selama sebulan di bulan Ramadhan’ (Biasalah,kalau ada mesyuarat adalah makan-makan)

‘Ada yang terlalai di bazar Ramadhan sehingga waktu-waktu fardhu diabaikan’

‘Ada yang sibuk di Lailatul Kamdar dan bukannya sibuk mencari Lailatul Qadar’

...dan sebanyak macam alasan dan kerenah lagi di bulan Ramadhan.

Yang pasti ianya realiti.

Sudah terang lagi bersuluh.

Macam mana hendak melahirkan individu muslim yang berkualiti andai makna puasa ini masih belum dimengertikan sedalam yang mungkin konsep dan perlaksanaannya. Teori dan praktikalnya. Definisi dan pengamalannya.

Hari ini orang Islam sudah dikalahkan tidak lagi secara peperangan yang nyata melibatkan kekuatan tenaga dan stategi tetapi kalah dek dikawal oleh hawa nafsu yang memang di antara salah satu musuh Islam yang merbahaya wabaknya.

Benarlah seperti apa yang dijelaskan oleh Nabi kepada para sahabat bahawa peperangan yang paling besar itu bukanlah ketika berperang dengan musuh-musuh Islam bahkan peperangan yang paling besar umat Islam ialah peperangan melawan nafsu diri yang cuba untuk sentiasa mengawasi.

Inilah letihan Ramadhan yang mengundang bencana kepada umat Islam bahkan musibah yang berlaku ini terjadi di antara bulan yang paling mulia,bulan Ramadhan.

Iktibar

Jesteru,kembalilah kita menilai diri apakah sama seperti sebelumnya amalan-amalan yang kita laksanakan ketika di bulan Ramadhan dan selepasnya. Kerana latihan Ramadhan akan menampakkan hasilnya selepas Ramadhan. Adakah kita masih istiqamah dengan amalan ibadah yang kita laksanakan ketika di bulan Ramadhan.

Yang pasti janganlah ada insan yang begitu ‘istiqamah’ sehinggakan solat sunat tarawih pun dilaksanakan selepas bulan Ramadhan.

Seni ini mengajak kita untuk menghayati keindahannya bukan memaksa diri untuk mengindahkannya.

Ibnu Abbas As-Syakirin

22/09/2010

12.26 p.m

0 luah rasa:

Catat Ulasan