Amanah Yang Dibelai Mereka

Sabtu, 19 November 2011
Irdina Zahra Bt Eswandy,anak buah yang pertama..Bakal mendapat anak buah yang kedua daripada kakakku,Ernawita Bt Abbas..InsyaAllah


Pagi ini saya mesti ke poliklinik berjumpa dengan doktor untuk membuka jahitan di bahagian mata saya akibat kemalangan pada hari Sabtu minggu yang lepas. Manakan tidaknya, sepatutnya 2 hari yang lepas saya sudah membuka jahitan luka di mata ini atas arahan bertulis dari pembantu doktor yang bertugas merawat di wad kecemasan di Hospital Serian minggu yang lepas.

Ditambah lagi dengan nasihat seorang doktor juga merupakan sahabat saya walaupun umurnya lebih tua berbanding saya, Dr. Ridhwan, mengatakan kalau lambat dibuka dikhuatiri akan bernanah di tempat yang dijahit. Menjadi tak keruan hati insan ini mendengar. Bak kata pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa tangga. Baik menyegerakannya dari ianya terus melarat dan menghindar dari jangkitan kuman yang tidak diingini.

Walaupun datang ke poliklinik di awal pagi, sudah ramai manusia yang mula membanjiri memenuhi ruang atmostfera bangunan untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Bermacam-macam ragam manusia yang boleh dilihat dengan keadaan mata yang tak berapa elok ini.

Dan yang paling saya tertarik ialah melihat insan-insan yang bergelar ibu bapa sambil mengendong bayi yang saya rasa masih berumur kurang dari 2 bulan. Majoriti. Itu mungkin menjadi kebiasaan pada pandangan biasa manusia tetapi saya melihat dari satu sudut yang menyebabkan hati saya tersentuh.

AMANAH…..

Insan yang lahir dimukabumi ini khususnya kepada mereka yang bergelar ibu bapa adalah amanah yang wajib dipikul oleh setiap mereka.

Walaupun saya tidak punya pengalaman lagi untuk mendidik anak itu tidak bermakna saya tidak mengabaikan aspek yang bakal saya pikul ini (insyaAllah,jika dipanjangkan umur akan melalui saatnya itu).

Hakikat menjaga amanah yang dikurniakan oleh Allah ini sememangnya berat. Ianya memerlukan kesabaran dan kesungguhan untuk menghadapinya. Ibu bapalah yang menjadi titik tolak perjalanan anak-anak mereka.

“Setiap anak dilahirkan didalam keadaan fitrah, maka ke dua orang tuanya yang menjadikan anaknya beragama Yahudi, Nashrani, atau Majusi.”

Dan yang bergelar ibu bapa pula adalah pemimpin bagi anak-anak ini. setiap tindakan dan keputusan akan dipertanggunjawabkan kerana dalam pendidikan anak ini kesannya amat besar sekali. Ia bukan sahaja berlegar di sekitar pembinaan Baitul Muslim sahaja tetapi seterusnya juga akan mempengaruhi ruang lingkup yang lebih besar termasuklah masyarakat,negara sehingga Daulah Islamiyyah itu sendiri.

Teringat akan kata-kata yang dilontarkan oleh Imam al-Ghazali :

”Jika ingin melihat masa depan sesebuah bangsa/negara, lihatlah kepada pemuda-pemudanya”

Dan hakikatnya di atas kebijaksanaan kepemimpinan ibu bapa itu sendiri.

Nabi Muhammad Shalallahu’alaihi wasalam bersabda :

Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya dari apa yang dia pimpin. Seorang imam adalah pemimpin, dan dia akan dimintai dari apa yang dia pimpin. Dan seorang laki-laki adalah pemimpin keluarganya, dan dia akan ditanya dari kepemimpinannya tersebut. Dan seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya, dan dia akan ditanya mengenai kepemimpinannya tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya tersebut.”

Moga-moga diri saya dan anda semua menjadi insan yang hebat dalam memimpin sesuatu urusan di dunia ini. Seni kehidupan adalah seni yang unik. Pentadbir di mukabuminya adalah manusia yang lahir dari air mani yang hina tetapi mulia kerana amanah.

0 luah rasa:

Catat Ulasan