Muslimah Yang Hebat..Ada Pengganti Seumpamanya?

Selasa, 8 November 2011

Peranan muslimat bukan lagi tersorok di sudut-sudut tersembunyi, tetapi golongan hawa ini mestilah berperanan mendepani cabaran yang semakin rencam, dengan arus pusaran yang semakin ganas dan melemaskan generasi digital era langit terbuka hari ini.

Sejarah tidak pernah gagal merakamkan bagaimana penentang-penentang agama ini terdiri daripada kalangan kaum hawa. Di zaman Nabi SAW, Ummu Jamil, Hindun Binti Utbah menjadi penentang yang tegar terhadap seruan dakwah. Bahkan seorang perempuan yahudi, iaitu Zainab Binti al Harith telah meracun baginda SAW selepas perang Khaibar (7 Hijrah). Di zaman moden, pembantaian kepada umat Islam juga digerakkan oleh wanita berhati kering seperti Condolezza Rice (Amerika Syarikat), Lipni (Israel).

Dalam rakaman langit sejarah yang berpaksikan kebenaran, generasi awal muslimat memainkan peranan yang sangat penting, darah merah berkubang di Mekah dan Sumaiyyah menjadi mercu tanda sejarah dengan segunung ketabahan. Khaulah sebagai pengobar janji perlawanan, mencetak anak-anak peminang bidadari, Aishah sebagai serikandi ilmu dengan sehamparan ingatan yang sangat menggugah, menguasai AL Quran dan persoalan agama hingga menjadi tarikan pesona terbesar sebagai gudang ilmu yang terus mengalirkan pencerahan. Ummu Nusaibah Binti Kaab mengotakan janjinya dengan menjadi perisai Nabi SAW di medan tempur Uhud (3 Hijrah) yang melakar sejarah itu. Nusaibah adalah seorang muslimat yang berbaiah dalam peristiwa Perjanjian Aqabah yang kedua dan tidak pernah lelah berjuang dengan barisan kaum muslimin.

Islam disepanjang pentas zaman tidak pernah melupakan serikandi-serikandi agama yang merenjiskan haruman mawar pada prasasti syuhada. Di zaman moden ini menyaksikan Zainab al Ghazali, tokoh sesepuh perjuangan Islam di Mesir, beliau berbaiah dengan Imam Hasan al Banna selaku peranannya sebagai ketua Jemaah Muslimat Mesir, akhirnya mendekam dalam penjara dalam tempoh yang panjang dengan hirisan-hirisan penyiksaan yang tak tertanggung kejerihannya. Tokoh ini dibebaskan di zaman Anwar Sadat untuk mendapatkan sokongan massa, terus berbakti di ladang dakwah walaupun diintip, dikekang sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah. Ratusan ribu manusia yang menyolatkan jenazahnya, sebagai penghormatan dan menghantar ke tempat terakhir persemadian. Mesir menangis kerana kehilangan sang pejuang muslimah yang gigih, beliau adalah ‘ibu penggegar penguasa Taghut’ yang sangat inspiratif dan mengesankan.

Mesir juga tidak gagal untuk melahirkan muslimah-muslimah lain yang hebat seperti Aminah Qutb dan Hameedah Qutb (adik beradik Sayyid Qutb) dan ramai yang telah menderita di celah jeriji penjara pengap. Pengorbanan mereka ini telah menghantar kepada kebangkitan perjuangan Mesir mutakhir ini.

Antara muslimah yang menggegar dunia moden ialah Maryam Jameelah yang tidak lelah meruak keharuman agama ini lewat tulisan-tulisan yang mencerahkan akal. Berasal daripada keturunan Yahudi yang disapa hidayah Tuhan, akhirnya menjadi anak angkat almarhum Maulana Maududi. Kegigihannya belajar tentang Islam sangat mengkagumkan,dengan kurniaan kegeniusan, Maryam begitu banyak meninta buku-buku berkaitan Islam sebagai cara hidup, sejarah gerakan Islam dan pelbagai tema penting Islam.

Sosok muslimat pemberani yang dipakej dengan kekuatan intelektual ini pula, menggalang perjuangan Islam di bumu jihad, iaitu Dr Maryam Solleh di bumi Isra’ antara contoh sosok yang wajib diteladani oleh para muslimat. Beliau yang merupakan gabungan aktivis, pemikir, juga seorang ibu dengan anak yang ramai telah terjun sepenuh masa di jalan dakwah, mencerah masyarakat Palestin dengan ilmu, mengobar semangat dan juga pemimpin barisan hadapan HAMAS. Menggenggam ijazah PhD daripada Universiti Ummu Qurra, Arab Saudi bukanlah tiket untuk Dr Maryam hidup bersalut kemewahan tetapi untuk bersama kafilah yang berjuang membebaskan Masjidil Aqsa yang mulia.

Muslimah adalah ciptaan Allah SWT yang unik, emosinya tak terjangkau, meledak-ledak dalam masa yang sama boleh menjadi sesejuk air di gunung. Penciptaannya sangat unik, kisahnya sangat berwarna warni, perempuan adalah peniup obor semangat, dibelakang seorang tokoh adijagat atau maestro perjuangan adalah kaum hawa yang dicipta dengan seribu keunikan.

Peranan Muslimat di Medan Amal Islam..

0 luah rasa:

Catat Ulasan