Jatuh Cinta Sebagai Ibadah

Selasa, 11 Disember 2012
Seorang yang mentaati Allah dan bergelar mukmin tidaklah bermakna dia tidak akan jatuh cinta atau memiliki fitrah untuk berpasangan. Bezanya cuma dia menjadikan cintanya itu sebagai ibadah manakala orang ramai selalu menjadikan cinta itu sebagai dosa dan derhaka kepada Allah. 

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah tentang orang beriman yang jatuh cinta, 'فأما إذا ابتُلى ب
العشق وعف وصبر ، فإنه يثاب على تقواه لله ' Adapun jika dia diuji dengan cinta (rindu) namun dia menjaga kehormatannya dan bersabar maka sesungguhnya dia mendapat pahala di atas bertaqwa kepada Allah. [Majmuk Al-Fatawa]

Ada 3 cara menjadikan cinta sebagai ibadah :

1. Menginginkan kebaikan kepada orang yang dicintai. Tidak salah menyukai seseorang kemudian menginginkan kebaikan menimpanya seperti berdoa untuknya, melakukan kebaikan atau membantunya dll.

2. Tidak melalaikan diri dan orang yang dicintai dari mengingati Allah sebaliknya menjauhi perkara yang haram serta berusaha dengan jalan yang halal untuk bernikah atau beriman kepada takdir dan bersabar jika tidak berhasil memilikinya. Orang yang beriman cintanya 'diinsurankan' oleh keyakinan dan percaya pada rahmat Allah.

3. Sentiasa meletakkan cinta kepada Allah melebihi cinta kepada makhluk dan menjadikan cinta kepada manusia dan pasangan sebagai tanda kesyukuran kepada rahmat Allah. Dalam apa jua keadaan, seorang yang beriman sentiasa meletakkan kecintaan dan kebenciannya menurut kehendak Allah. Cinta dan benci kerana Allah SWT.

0 luah rasa:

Catat Ulasan